Langkau ke kandungan utama

Antibiotik untuk mencegah jangkitan selepas pembedahan untuk rawatan keguguran

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada antibiotik rutin mempunyai sebarang kesan ke atas risiko mendapat jangkitan rahim (jangkitan dalam rahim) selepas pembedahan untuk rawatan keguguran, berdasarkan hasil gabungan daripada kesemua enam ujian.

Walau bagaimanapun, berdasarkan keputusan daripada ujian yang dilakukan dengan baik (85% daripada jumlah wanita dalam kajian), kami yakin bahawa antibiotik rutin mengurangkan risiko mendapat jangkitan rahim selepas pembedahan untuk rawatan keguguran.

Kami tidak pasti sama ada antibiotik rutin mempunyai sebarang kesan ke atas risiko muntah dan cirit-birit, tetapi ia mungkin meningkatkan risiko tindak balas alahan. Kami tidak pasti tentang kesan lain daripada penggunaan antibiotik rutin, seperti rawatan masa depan dan kemasukan ke hospital untuk jangkitan rahim.

Apakah keguguran atau kehilangan kehamilan awal?

Kehilangan kehamilan awal (sebelum ini dipanggil keguguran) ialah kehilangan bayi yang tidak disengajakan sebelum 24 hingga 28 minggu kehamilan. Hampir satu daripada enam wanita akan mengalami kehilangan bayi semasa kehamilan dalam tempoh hidup mereka. Di seluruh dunia, dianggarkan 23 juta kehilangan kehamilan awal berlaku setiap tahun, yang bersamaan dengan 44 kehilangan kehamilan awal setiap minit.

Kehilangan kehamilan awal boleh dirawat dengan tiga cara: wanita boleh menunggu sehingga tisu kehamilan yang tinggal berlalu dengan sendirinya, mereka boleh mengambil ubat untuk membantu mengeluarkan tisu, atau mereka boleh menjalani prosedur untuk mengeluarkan tisu kehamilan dari rahim. Prosedur untuk rawatan kehilangan kehamilan awal (sebelum ini dirujuk sebagai rawatan pembedahan atau pemindahan rahim) biasanya dilakukan, tetapi meningkatkan risiko wanita mendapat jangkitan dalam rahim jika dibandingkan dengan cara lain untuk merawat kehilangan kehamilan awal.  

Jangkitan selepas kehilangan kehamilan awal telah dilaporkan setinggi 30% di beberapa negara berpendapatan rendah. Ia boleh menyebabkan kematian dan kecacatan. Ia juga boleh membawa kesan jangka panjang untuk kesuburan. 

Antibiotik diberikan secara rutin sebelum atau semasa banyak prosedur pembedahan untuk mencegah berlakunya jangkitan (dikenali sebagai profilaksis antibiotik). Ini termasuk prosedur untuk melakukan pengguguran (juga dikenali sebagai penamatan kehamilan). 

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin menilai sama ada pemberian antibiotik semasa prosedur untuk rawatan kehilangan kehamilan awal akan membantu mengurangkan risiko jangkitan wanita, dan sama ada penggunaan rutin mereka dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang serius.

Apa yang kami lakukan?

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan dari literatur perubatan untuk menjawab soalan ini. Kami mengenal pasti enam kajian rawak (setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk menerima salah satu rawatan). Kajian-kajian tersebut dijalankan di lapan negara, dan melibatkan 4,371 wanita yang menjalani prosedur untuk rawatan kehilangan awal kehamilan. Wanita-wanita tersebut diberikan sama ada antibiotik, plasebo (antibiotik palsu), atau tiada rawatan. 

Apakah yang kami temui?

Apabila kami menggabungkan keputusan daripada semua enam kajian, kami tidak pasti sama ada antibiotik rutin memberi perbezaan dalam risiko mendapat jangkitan rahim. Namun, apabila kami hanya meneliti penemuan gabungan daripada tiga kajian yang dijalankan dengan baik, dan yang merangkumi 85% daripada wanita tersebut, kami yakin bahawa penggunaan antibiotik rutin mengurangkan risiko jangkitan pada rahim selepas prosedur untuk kehilangan kehamilan awal.

Kami tidak dapat memastikan sama ada antibiotik rutin mengurangkan kemasukan ke hospital pada masa hadapan untuk rawatan jangkitan, atau mengurangkan keperluan untuk antibiotik lanjut untuk merawat jangkitan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Tidak semua wanita kekal dalam kajian mereka hingga tamat; ada yang tidak menghabiskan ubat mereka. Terdapat maklumat terhad mengenai kesan sampingan antibiotik, seperti muntah, cirit-birit, dan tindak balas alahan, sama ada ringan atau serius.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Ahmed SI, Ammerdorffer A, Moakes CA, Cheshire J, Gülmezoglu AM, Coomarasamy A, Lissauer D, Wilson A. Prophylactic antibiotics for uterine evacuation procedures to manage miscarriage. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD014844. DOI: 10.1002/14651858.CD014844.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan