Mesej utama
-
Orang dengan penyakit kardiovaskular (iaitu yang menjejaskan jantung dan saluran darah) yang menggunakan dos rendah kolcisina untuk sekurang-kurangnya enam bulan akan mengurangkan risiko infarksi miokardium (serangan jantung) dan strok, tanpa meningkatkan risiko kesan-kesan sampingan serius.
-
Pengambilan dos rendah kolcisina mungkin tidak mengurangkan risiko kematian daripada sebarang sebab atau khususnya daripada penyakit jantung, atau yang menjejaskan bilangan orang yang memerlukan rawatan untuk meluaskan saluran darah di dalam jantung mereka.
-
Pengambilan kolcisina nampaknya meningkatkan risiko peristiwa buruk gastrousus (contohnya cirit-birit, loya), tetapi gelaja ini biasanya ringan dan cepat hilang.
Latar belakang
Penyakit kardiovaskular (iaitu penyakit yang menjejaskan jantung dan saluran darah anda) sering disebabkan oleh keradangan tahap rendah di seluruh badan, yang membawa kepada peristiwa-peristiwa kardiovaskular buruk utama (negatif) (seperti serangan jantung, strok, atau kematian). Kolcisina ialah ubat anti-radang terkenal yang murah, tersedia secara meluas, dan diambil oleh mulut, yang menjadikannya rawatan tambahan yang menjanjikan untuk orang berisiko tinggi untuk mengalami peristiwa-peristiwa kardiovaskular berulang.
Apakah yang ingin diketahui?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kajian yang dikenali sebagai ‘percubaan terkawal rawak’ telah dijalankan untuk mengkaji manfaat dan kemudaratan rawatan kolcisina dos rendah untuk mencegah peristiwa-peristiwa kardiovaskular lanjutan, seperti serangan jantung atau strok, selepas kejadian pertama (‘pencegahan sekunder’). Tujuan ulasan ini adalah untuk memberikan penilaian sistematik tentang manfaat dan kemudaratan penggunaan kolcisina untuk sekurang-kurangnya enam bulan pada orang dewasa dengan penyakit kardiovaskular matang atau yang telah mempunyai peristiwa kardiovaskular baru-baru ini.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang mengkaji kesan kolcisina dos rendah pada orang dengan penyakit kardiovaskular atau untuk sekurang-kurangnya enam bulan, berbanding dengan intervensi plasebo (palsu) atau tiada rawatan. Kami secara sistematik telah mengekstrak maklumat daripada semua kajian yang berkaitan dan menilai sejauh mana mereka telah dijalankan. Kemudian kami telah menggabungkan semua penemuan dan menilai kebolehpercayaan bukti tersebut.
Hasil utama kami adalah: kematian daripada sebarang sebab (kematian semua sebab), serangan jantung (infarksi miokardium), strok, rawatan untuk meluaskan saluran jantung (revaskularisasi koronari), kematian daripada sebab kardiovaskular (kematian kardiovaskular), kualiti hidup, peristiwa buruk serius (kesan-kesan sampingan negatif), dan peristiwa buruk sistem pencernaan (gastrousus).
Apakah yang ditemukan?
Kami telah mengenal pasti 12 kajian yang melibatkan 22,983 pesakit dengan penyakit kardiovaskular dan mengkaji manfaat dan kemudaratan rawatan kolcisina dos rendah.
Bukti kepastian tinggi menunjukkan bahawa rawatan dengan kolcisina dos rendah mengurangkan risiko infarksi miokardium dan strok, tanpa meningkatkan risiko peristiwa buruk serius. Walau bagaimanapun, kolcisina adalah berkaitan dengan risiko kesan-kesan sampingan gastrousus yang lebih tinggi, walaupun ini adalah gejala ringan dan cepat hilang. Bukti menunjukkan bahawa kolcisina mungkin tidak mengurangkan risiko kematian atau keperluan revaskularisasi koronari. Kesan terhadap kualiti hidup dan kemasukan ke hospital adalah tidak diketahui disebabkan oleh kajian yang sedia ada tidak mengukur hasil tersebut.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai tahap keyakinan tinggi terhadap penemuan bahawa dos rendah kolcisina mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. Tahap keyakinan kami terhadap penemuan lain adalah sederhana, jadi kemungkinan kajian masa depan mungkin mengubah penemuan tersebut. Kajian lanjutan diperlukan untuk mengkaji kesan jangka panjang terhadap kematian dan kualiti hidup. Hal ini memerlukan kajian yang berakhir lama dan melibatkan lebih banyak orang.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini adalah berdasarkan pencarian literatur perubatan yang telah dijalankan sehingga 18 Februari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.