Mesej-mesej utama
-
• Ubat-ubatan, seperti atropin, yang diberi dalam bentuk titisan mata, boleh melambatkan progresi rabun jauh (miopia) dalam kalangan kanak-kanak, dan juga mengurangkan pemanjangan bola mata akibat miopia. Dos atropin lebih tinggi adalah paling berkesan. Kami tidak pasti tentang kesan dos atropin yang lebih rendah.
-
Beberapa rawatan, termasuk jenis kanta khas cermin mata, kanta lekap dan terapi baharu menggunakan cahaya merah intensiti rendah, boleh melambatkan progresi rabun jauh, tetapi kesannya masih tidak pasti. Tiada cukup maklumat tentang risiko kesan sampingan yang tidak diingini berkaitan dengan strategi untuk mengawal miopia.
-
Adalah tidak jelas sama ada manfaat rawatan untuk melambatkan progresi miopia yang dilaporkan dapat dikekalkan untuk berapa lama.
Apa itu rabun jauh?
Rabun jauh (atau miopia) bermaksud orang sukar melihat objek yang jauh dengan jelas, manakala objek yang dekat kekal jelas. Ia lazim di seluruh dunia, dan mempengaruhi lebih separuh kanak-kanak di China dan Asia Tenggara. Rabun jauh boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan, termasuk aktiviti pendidikan dan pekerjaan. Orang yang rabun jauh mempunyai mata yang lebih panjang, yang bermaksud retina teregang. Ini meningkatkan risiko mata terhadap penyakit mata seperti glaukoma, makulopati dan penanggalan retina di kemudian hari.
Bagaimanakah rabun jauh dirawat?
Walaupun cermin mata konvensional atau kanta lekap dapat membetulkan penglihatan jauh, ia tidak melambatkan progresinya. Beberapa rawatan optik (cermin mata dan kanta lekap) serta ubat-ubatan tersedia untuk melambatkan progresi rabun jauh. Tetapi ia perlu diberi semasa zaman kanak-kanak, apabila rabun jauh progres paling cepat. Uba-ubatan seperti titisan mata atropin, mungkin berkesan, tetapi boleh meningkatkan sensitiviti cahaya dan menyebabkan masalah semasa membaca, terutamanya pada dos yang lebih tinggi. Cermin mata khas juga tersedia yang mengandungi lebih daripada satu kuasa fokus dalam kanta (kanta multifokal atau kanta periferi tambahan). Ini juga boleh diberi dalam bentuk kanta lekap lembut. Kanta lekap lain, dipanggil ‘orthokeratology’, bertujuan untuk mengubah bentuk permukaan mata buat sementara. Ia dipakai semasa tidur dan dikeluarkan pada siang hari. Kedua-dua kanta lekap lembut dan ‘orthokeratology’ boleh meningkatkan risiko jangkitan permukaan mata Rawatan memuncul melibatkan pendedahan berulang jangka pendek kepada cahaya merah intensiti rendah.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin tahu sama ada ubat-ubatan yang diguna sebagai titisan mata, terapi cahaya, dan kanta khas dalam cermin mata atau kanta lekap, boleh melambatkan progresi miopia, serta pemanjangan bola mata. Kami juga mendokumenkan risiko kesan tidak diingini semasa menggunakannya.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji ubat-ubatan, kanta dan terapi cahaya yang bertujuan untuk melambatkan progresi rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak, dan bandingkannya dengan kumpulan kawalan atau dengan ubat-ubatan dan kanta lain . Kebanyakan kumpulan kawalan menerima rawatan plasebo (palsu) atau cermin mata atau kanta lekap dengan penglihatan tunggal .
Apa yang kami temui?
Kami sertakan 104 kajian (40 kajian baharu untuk kemas kini ini) yang merawak 17,509 kanak-kanak dengan miopia.
-
Dos atropin lebih tinggi mengurangkan progresi rabun jauh, tetapi kesan atropin dos rendah mungkin kecil dan tidak pasti.
-
Berdasarkan kajian jangka pendek, ‘orthokeratology’ adalah rawatan optik yang paling berkesan untuk melambatkan pemanjangan bola mata. Walau bagaimanapun, kanta ini sering tidak diterima dengan baik, dan dalam beberapa kajian, lebih daripada separuh kanak-kanak tidak menamatkan rawatan.
-
Jenis kanta lekap lain, seperti kanta lekap lembut multifokal, dan cermin mata kawalan miopia juga mungkin mengurangkan progresi rabun jauh, tetapi, kami masih tidak pasti tentang manfaatnya.
-
Walaupun kajian jangka pendek dalam kalangan kanak-kanak Cina mencadangkan terapi cahaya merah dapat mengurangkan progresi miopia, kami sangat tidak pasti tentang penemuan ini.
-
Kesan tidak diingini yang berkaitan dengan rawatan untuk mengawal miopia tidak dilaporkan secara konsisten. Ketidakselesaan mata dalam cahaya terang dan penglihatan kabur untuk objek yang dekat adalah kesan tidak diingini berkaitan rawatan yang paling lazim dalam kajian-kajian yang menggunakan atropin. Dos atropin yang lebih rendah menunjukkan kurang kesan tidak diingini.
-
Walaupun kajian-kajian yang menguji kanta lekap tidak melapor sebarang kesan tidak diingini yang serius, terdapat maklumat terhad tentang kadar sebenar kesan tidak diingini dalam kalangan kanak-kanak di luar konteks kajian penyelidikan, atau apabila memakai kanta lekap untuk tempoh yang lebih lama.
Apakah batasan bukti?
Kebanyakan bukti adalah daripada kajian yang dijalankan dengan cara-cara yang mungkin memperkenalkan ralat dalam keputusannya, dan potensi kesan tidak diingini tidak dilaporkan dengan baik. Majoriti kajian menyusul peserta selama dua tahun atau kurang. Oleh itu, tiada cukup bukti sama ada manfaat meningkat dalam tempoh masa, dan sama ada kesannya kekal.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.