Langkau ke kandungan utama

Penutupan defek atau defek yang tidak tertutup: yang mana lebih baik untuk mencegah hernia internal selepas pembedahan bariatrik?

Soalan ulasan

Adakah penutupan defek selepas pintasan gastrik Roux-en-Y (RYGB) dalam pembedahan bariatrik mencegah hernia internal?

Mesej utama

  • Akibat kekurangan bukti, adalah tidak jelas sama ada penutupan defek adalah lebih baik daripada tidak menutup defek dalam mencegah hernia internal selepas pembedahan bariatrik.

  • Penutupan defek boleh kurangkan bilangan hernia internal berbanding tidak menutupnya.

Latar belakang

Hernia internal adalah masalah serius yang boleh berlaku selepas sejenis pembedahan penurunan berat badan yang dipanggil Roux-en-Y gastric bypass (RYGB). Semasa pembedahan ini, kantung kecil dibuat dari perut dan disambung terus ke usus kecil. Hernia internal berlaku apabila usus kecil menembusi lubang yang dicipta oleh RYGB. Jika tidak dikesan atau dirawat tepat pada masanya, ia boleh menjadi sangat berbahaya. Hernia internal boleh menghalang bekalan darah ke bahagian usus, yang membawa kepada kematian tisu. Pembedahan kecemasan diperlukan untuk merawatnya, dan sering melibatkan pembuangan bahagian usus yang rosak dan menyambung semula bahagian yang sihat. Penutupan defek disyorkan untuk mencegah hernia internal. Walau bagaimanapun, penutupan defek mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko pembedahan sambungan antara usus kecil menjadi bengkok. Pada masa kini, terdapat kurang bukti yang menunjukkan manfaat penutupan defek.

Apakah hernia internal?

Definisi. Hernia internal berlaku apabila usus bergerak ke ruang lain melalui defek di dalam perut.

Punca. Ini boleh berlaku selepas beberapa pembedahan obesiti, yang mewujudkan laluan baharu untuk usus. Laluan baharu ini kadangkala boleh mengalami defek di mana usus boleh tersangkut.

Simptom. Apabila usus tersangkut, ia boleh mengakibatkan gejala, seperti sakit, loya, muntah dan kembung perut.

Apakah pintasan gastrik Roux-en-Y (RYGB)?

Pembedahan pintasan gastrik Roux-en-Y melibatkan dua langkah utama. Pertama, pakar bedah mencipta kantung kecil di bahagian atas perut. Kedua, usus kecil dipotong dan disambung ke kantung ini, memintas bahagian lain perut dan bahagian atas usus kecil. Ini mengurangkan amaun makanan yang boleh dimakan dan diserap.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada menutup defek lebih baik daripada tidak menutupnya, dan sama ada menutupnya lebih baik dan lebih selamat untuk mencegah hernia internal selepas pembedahan bariatrik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian klinikal rawak terkawal yang membandingkan penutupan defek dengan tidak menutup defek. Kami membanding dan merumus keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami menyiasat bagaimana kejayaan penutupan defek mencegah hernia internal selepas pembedahan bariatrik. Di samping itu, kami menilai peristiwa mudarat dan tempoh tinggal di hospital.

Apakah yang kami temui?

Kami temui tiga kajian, dengan 3010 peserta, yang membandingkan penutupan defek dengan tidak menutup defek. Kajian-kajian telah dijalankan di Denmark, Amerika Syarikat, dan Sweden.

Keputusan utama

Berbanding tidak menutup defek, penutupan defek:

  • boleh kurang hernia internal;

  • ia membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi selepas pembedahan;

  • boleh ada sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kematian selepas pembedahan;

  • mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi keseluruahn pembedahan;

  • boleh menyebabkan tempoh tinggal hospital lebih lama.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad kerana keputusan hanya daripada tiga kajian.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Murakami K, Hoshino N, Hida K, Obama K, Sakai Y, Watanabe N. Closure of mesenteric defects for prevention of internal hernia after Roux-en-Y gastric bypass in bariatric surgery. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD014612. DOI: 10.1002/14651858.CD014612.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan