Langkau ke kandungan utama

Adakah intervensi realiti maya lebih berkesan berbanding intervensi alternatif atau tiada intervensi bagi pemulihan pesakit dengan multiple sclerosis?

Mesej utama

Pengunaan realiti maya mungkin dapat membantu meningkatkan keseimbangan dan kawalan postur badan, fungsi anggota atas penyertaan dan kualiti hidup, namun kualiti bukti secara keseluruhan masih terhad.
Oleh kerana keputusan ini berdasarkan kajian-kajian yang berkualiti rendah, ia harus ditafsirkan dengan teliti.

Apakah multiple sclerosis (MS)?

Multiple sclerosis merupakan penyakit neurologi yang paling biasa di kalangan orang dewasa muda. Pesakit multiple sclerosis mengalami pelbagai gejala seperti keletihan, kekurangan dalam sensori deria, kognitif dan seksual, serta kelemahan otot dan masalah koordinasi.

Bagaimanakah pengunaan realiti maya akan membantu pesakit dengan multiple sclerosis?

Realiti maya telah dicadangkan sebagai alat pemulihan baru dan pengunaannya dalam pemulihan pesakit menghidapi penyakit neurologi semakin meningkat. Intervensi realiti maya menggunakan program komputer yang membolehkan pengguna menavigasi dan berinteraksi dalam persekitaran maya. Penggunaan realiti maya dalam pemulihan menawarkan beberapa kelebihan, seperti menyediakan persekitaran yang boleh dikawal sepenuhnya, diperibadikan dan situasi yang terlalu berbahaya, mahal atau mustahil dalam kehidupan sebenar. Selain itu, tahap kesukaran dan intensiti boleh disesuaikan mengikut kemahiran pesakit, dan realiti maya berpotensi untuk meningkatkan motivasi pesakit dengan mewujudkan persekitaran latihan yang lebih menarik serta memberikan maklum balas.

Apakah yang kami ingin tahu?

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan intervensi realiti maya dalam pemulihan pesakit multiple sclerosis. Kami ingin mengetahui sama ada latihan menggunakan realiti maya membawa kepada peningkatan yang lebih baik dalam fungsi anggota bawah dan cara berjalan, keseimbangan dan kawalan postur, fungsi anggota atas, kognisi, keletihan, fungsi motor secara keseluruhan, had aktiviti, penyertaan dan kualiti hidup, serta kejadian kesan sampingan (yang memudaratkan atau tidak diingini). Kami membandingkan latihan realiti maya dengan 1) tiada intervensi dan 2) terapi konvensional atau terapi alternatif.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengenal pasti 33 kajian dengan sejumlah 1294 orang dengan multiple sclerosis, yang secara purata (berdasarkan 22 kajian) mengalami ketidakupayaan yang ketara tetapi masih mampu berjalan tanpa bantuan sejauh 500 meter. Banyak peranti dan program realiti maya yang berbeza telah digunakan. Hampir 91% (30) daripada kajian yang dirangkumkan menggunakan sistem realiti maya yang tidak immersif (contohnya skrin TV), dua kajian menggunakan peranti realiti maya separa immersif (contohnya skrin besar) dan satu kajian menggunakan paparan kepala realiti maya sepenuhnya. Kebanyakan intervensi realiti maya bertujuan untuk meningkatkan keseimbangan dan fungsi berjalan.

Apakah yang kami temui?

Sepuluh kajian menilai sama ada realiti maya boleh digunakan untuk meningkatkan fungsi gaya berjalan dan keseimbangan, dan mendapati bahawa penggunaan realiti maya mungkin tidak menghasilkan peningkatan fungsi yang lebih baik bagi kebanyakan ukuran hasil jika dibandingkan dengan tiada intervensi (kami kurang kepastian tentang keputusan ini). Dibandingkan dengan terapi konvensional, peningkatan dari segi fungsi anggota bawah dan cara berjalan berkemungkinan tidak lebih baik dengan intervensi realiti maya. Walau bagaimanapun, berkesanan realiti maya lebih tinggi dalam meningkatkan keseimbangan dan kawalan postural dibandingkan dengan terapi konvensional. Dua kajian klinikal mengkaji sama ada realiti maya akan membawa kepada peningkatan yang lebih baik dalam fungsi anggota atas berbanding tiada intervensi, dan mendapati bahawa ini mungkin benar. Realiti maya mungkin lebih berkesan dalam meningkatkan fungsi anggota atas daripada terapi konvensional. Kajian-kajian yang menilai penyertaan dan kualiti hidup mungkin menunjukkan kesan positif kepada orang yang menggunakan realiti maya, jika dibandingkan dengan tiada intervensi dan terapi konvensional (kami kurang kepastian mengenai kepuusan ini). Kami tidak dapat menilai kesan intervensi realiti maya terhadap fungsi motor keseluruhan dan kesan-kesan sampingan buruk.

Apakah batasan bukti?

Secara keseluruhan, kami mempunyai tahap keyakinan sederhana hingga rendah atau sangat rendah terhadap bukti yang ada. Ini disebabkan oleh bilangan perserta yang kecil dalam kajian-kajian yang dimasukkan dan kualiti tersebut adalah rendah. Selain itu, disebabkan oleh sifat kajian-kajian yang dimasukkan, bukti yang ada kebanyakannya terhad kepada individu dengan tahap ketidakupayaan fizikal yang agak rendah dan teknologi realiti maya yang mempunyai tahap keterbenaman (immersion) yang terhad. Tambahan pula, kaedah yang digunakan dalam kajian-kajian tersebut adalah berbeza-beza; contohnya, dari segi jenis hasil yang diukur dan reka bentuk intervensi yang dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Jasmine Lee (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
De Keersmaecker E, Guida S, Denissen S, Dewolf L, Nagels G, Jansen B, Beckwée D, Swinnen E. Virtual reality for multiple sclerosis rehabilitation. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD013834. DOI: 10.1002/14651858.CD013834.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan