Mesej utama
– diagnosis apnea tidur obstruktif menggunakan kajian tidur rangkaian terhad adalah kurang rumit berbanding polisomnografi dan boleh dilakukan di rumah individu tersebut dan bukan di makmal hospital .
– Menggunakan kajian tidur rangkaian terhad mendapati terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada tahap mengantuk.
– Walau bagaimanapun, kebanyakan bukti tidak dapat dipastikan, khususnya untuk kajian Tahap IV.
Apakah apnea tidur obstruktif?
Apnea tidur obstruktif adalah keadaan di mana dinding saluran tekak menjadi kendur dan sempit atau tertutup semasa tidur. Perkara ini menghentikan pernafasan normal dan boleh menyebabkan berdengkur, mengantuk dan keletihan pada siang hari, penurunan kualiti hidup, dan peningkatan risiko penyakit jantung dan saluran darah seperti strok atau serangan jantung.
Apakah yang kami ingin tahu?
Diagnosis apnea tidur obstruktif boleh dibuat menggunakan ujian mahal dan memakan masa yang dipanggil polisomnografi yang dijalankan di makmal tidur di hospital. Ia mengambil pelbagai ukuran berbeza semasa tidur, seperti aktiviti otak, pergerakan mata, aktiviti otot dan kadar degupan jantung. Ia dikelaskan sebagai kajian tidur Tahap 1. Cara alternatif untuk mendiagnosis apnea tidur obstruktif melibatkan teknik yang mengambil ukuran yang lebih sedikit. Ini dipanggil kajian tidur rangkaian terhad dan dikelaskan sebagai Tahap II, III dan IV bergantung pada bilangan ukuran yang diambil (dengan Tahap IV mempunyai bilangan paling sedikit). Ujian sedemikian yang 'diringkaskan' adalah kurang rumit dan boleh dilakukan di rumah dan bukannya di makmal hospital . Pada masa ini tidak diketahui sama ada mendiagnosis mereka yang menghidap apnea tidur obstruktif dengan ukuran yang lebih terhad adalah lebih bagus atau lebih teruk daripada diagnosis di makmal.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian klinikal yang membandingkan (kajian tidur Tahap I) dengan kajian tidur rangkaian terhad (Tahap III atau IV) yang mengukur kehidupan individu yang terlibat, seperti tahap mengantuk, kualiti hidup, kematian dan kesan terhadap jantung dan saluran darah yang tidak diingini . Kami merumuskan keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti kajian, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 1143 orang. Satu kajian membandingkan kajian tidur Tahap III dengan kajian tidur Tahap I, satu kajian membandingkan kajian tidur Tahap IV dengan kajian tidur Tahap I, dan satu kajian membandingkan kajian tidur Tahap IV dengan kajian tidur Tahap III serta kajian tidur Tahap I. Ketiga-tiga kajian telah dijalankan di hospital. Ada rawatan yang menggunakan mesin tekanan saluran udara positif berterusan (di mana topeng diletakkan di atas mulut dan hidung seseorang untuk menolak udara perlahan-lahan ke dalam paru-paru untuk memastikan saluran udara terbuka semasa tidur). Peserta kajian ini dipantau selama empat hingga enam bulan.
Kajian tidur Tahap III berbanding kajian tidur Tahap I
Dua kajian melibatkan 701 orang membandingkan tidur Tahap III dengan tidur Tahap I. Keputusan kajian tidur Tahap III mendapati hanya sedikit atau tiada perbezaan dalam tahap mengantuk atau kualiti hidup dibandingkan dengan kajian tidur Tahap I. Kajian tidur tahap III mungkin lebih menjimatkan kos. Keputusan kajian tidur tahap III mendapati hanya sedikit atau tiada perbezaan terhadap keadaan jantung dan saluran darah, kepatuhan kepada rawatan tekanan saluran udara positif yang berterusan atau kesan tidak diingini yang serius. Tiada kajian yang melaporkan kematian.
Kajian tidur Tahap IV berbanding kajian tidur Tahap I
Dua kajian melibatkan 573 orang membandingkan tidur Tahap IV dengan tidur Tahap I. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kajian tidur Tahap IV dengan kajian tidur Tahap I apabila melihat tahap mengantuk dan keadaan jantung serta masalah saluran darah seperti serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Bukti tidak dapat mempastikan hubungkait antara kualiti hidup, ketaatan kepada rawatan tekanan saluran udara positif yang berterusan dan kesan tidak diingini yang serius. Kos kajian tidur Tahap IV adalah separuh daripada kos kajian tidur Tahap I. Tiada kajian yang melaporkan kematian.
Apakah batasan bukti?
Ketiga-tiga kajian yang disertakan dalam ulasan kami ini telah dijalankan di hospital akademik (pengajaran); ia masih tidak dapat dipastikan sama ada keputusannya akan sama jika kajian dijalankan di rumah. Tiada kajian yang melaporkan kematian.
Sejauh manakah bukti terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohd Azizuddin Amir Shariffuddin (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).