Langkau ke kandungan utama

Adakah pemakanan DASH membantu mereka yang berisiko atau tidak berisiko menghidap penyakit kardiovaskular?

Mesej utama

- Kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengatakan bahawa pemakanan DASH menghalang serangan jantung, strok, atau kematian akibat penyakit jantung.

- Pemakanan DASH mungkin boleh memberikan sedikit atau tiada kesan memudaratkan, tetapi kami tidak pasti mengenai perkara ini disebabkan oleh bukti terhad.

- Kami memerlukan kajian yang lebih besar dan lebih panjang untuk mengetahui sama ada pemakanan DASH benar-benar boleh mencegah masalah jantung yang serius dan untuk mengenalpasti sama ada ia selamat untuk jangka masa panjang.

Apakah itu penyakit kardiovaskular?

Penyakit kardiovaskular ialah satu istilah di mana jantung dan saluran darah adalah terjejas. Ia biasanya dikaitkan dengan pengumpulan deposit lemak di dalam saluran darah, yang menyebabkan penyempitan. Ini boleh mengakibatkan darah beku, iaitu gumpalan darah yang terbentuk dalam saluran darah. Darah beku boleh mengakibatkan serangan jantung (di mana aliran darah ke jantung tersumbat secara tiba-tiba) atau angin ahmar (di mana bekalan darah ke bahagian otak terputus). Penyakit kardiovaskular adalah sebab utama kematian dan hilang upaya, tetapi biasanya boleh dielakkan dengan mengikuti gaya hidup sihat. Banyak sebab yang boleh meningkatkan peluang seseorang untuk menghidap penyakit kardiovaskular. Ianya dipanggil 'faktor risiko'. Salah satu faktor yang paling penting dan biasa dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular ialah pemakanan.

Apakah pemakanan DASH, dan bagaimana ia berfungsi?

Pemakanan DASH direka untuk membantu menurunkan tekanan darah tinggi, yang merupakan faktor risiko utama untuk penyakit jantung. Ia menekankan pengambilan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, dan protein tanpa lemak serta mengurangkan garam, daging merah dan gula. Terdapat bukti kukuh bahawa pemakanan DASH membantu dalam tekanan darah tinggi, yang mungkin juga membantu mencegah penyakit jantung. Namun, kami masih belum memahami sepenuhnya, kesannya terhadap pencegahan penyakit jantung. Mencegah penyakit jantung boleh menjadi pencegahan utama, iaitu menghentikan serangan jantung atau angin ahmar pertama kali, atau sebagai pencegahan sekunder, iaitu mencegah ulangan selepas kejadian pertama berlaku.

Apakah yang kita ingin ketahui?

- Kesan pemakanan DASH terhadap pencegahan utama penyakit kardiovaskular.

- Kesan pemakanan DASH terhadap pencegahan sekunder penyakit kardiovaskular.

- Sama ada pemakanan DASH menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pemberian pemakanan DASH dengan:

- pemakanan biasa, yang tidak termasuk sebarang sekatan diet atau rancangan pemakanan khusus;

- program minimum, termasuk risalah maklumat atau nasihat pemakanan am yang disediakan oleh profesional perubatan; atau

- satu lagi program pemakanan berstruktur, seperti pemakanan Mediterranean.

Kami telah membandingkan dan merumuskan setiap hasil keputusan kajian, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap keputusan berdasarkan jenis kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 1397 peserta tanpa penyakit kardiovaskular (iaitu kajian pencegahan primer). Kami tidak menemui kajian yang melibatkan peserta dengan penyakit kardiovaskular (iaitu kajian pencegahan sekunder). Tempoh susulan terpendek ialah 16 minggu dan paling lama ialah 18 bulan. Kesemua lima kajian dibiayai oleh organisasi awam atau Pertubuhan Tanpa Untung (termasuk Institut Jantung, Paru-paru dan Darah Kebangsaan AS, Institut Penyelidikan Berpusatkan Pesakit AS dan Institut Kardiologi di Poland).

Keputusan utama

Ulasan kami menemui bahawa masih tidak jelas sama ada pemakanan DASH boleh mengurangkan risiko masalah jantung yang serius, termasuk serangan jantung, strok, keperluan untuk pembedahan jantung atau kematian akibat penyakit kardiovaskular. Pemakanan DASH mungkin boleh mengakibatkan sedikit atau tiada langsung kesan memudaratkan, tetapi kami tidak pasti mengenai perkara ini disebabkan oleh bukti terhad.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana beberapa sebab. Pertama, dalam beberapa kajian, peserta mungkin telah mengetahui jenis pemakanan yang mereka sedang makan, yang mana boleh menjejaskan keputusan. Kedua, kebanyakan kajian disertai oleh peserta yang tidak mempunyai penyakit jantung, sedangkan kami ingin juga melihat bagaimana pemakanan mempengaruhi orang yang mengalami penyakit jantung. Akhirnya, kajian adalah kecil dan tidak mengikuti peserta untuk jangka masa yang lama, jadi kami tidak sepenuhnya yakin dengan hasil kajian itu. Kajian jangka panjang yang lebih besar diperlukan untuk memahami sejauh mana pemakanan DASH dapat melindungi daripada masalah jantung yang serius dan untuk memastikan ia selamat dalam jangka masa panjang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga Mei 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohd Azizuddin Amir Shariffuddin (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Bensaaud A, Seery S, Gibson I, Jones J, Flaherty G, McEvoy JW, Jordan F, Tawfick W, Sultan SAH. Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) for the primary and secondary prevention of cardiovascular diseases. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD013729. DOI: 10.1002/14651858.CD013729.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan