Mesej utama
• Dalam jangka masa pendek, laser faraj mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan wanita yang mencapai kontinensia, dan walaupun laser faraj mungkin meningkatkan inkontinensia seperti yang dilaporkan oleh pesakit berbanding rawatan palsu (sham), peningkatan tersebut adalah kecil dan mungkin tidak memberikan perbezaan yang ketara kepada pesakit. Kami mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan ini.
•Dalam jangka masa sederhana, mungkin terdapat lebih ramai wanita yang mencapai kontinens dalam kalangan mereka yang menerima rawatan laser faraj berbanding yang menerima rawatan palsu; namun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam inkontinensia seperti yang dilaporkan oleh pesakit. Kami mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan ini.
•Tiada kesan sampingan utama yang tidak diingini dilaporkan dalam kalangan wanita yang menerima rawatan laser faraj, rawatan palsu atau pelincir, ataupun rawatan estrogen topikal.
Apakah itu inkontinensia kencing stres?
Inkontinensia kencing stres ialah kebocoran air kencing yang tidak terkawal ketika melakukan aktiviti fizikal atau meneran.
Apakah rawatan untuk inkontinensia kencing stres?
Inkontinensia kencing stres secara tradisional dirawat dengan terapi fizikal lantai pelvik, krim estrogen topikal, alat kemasukan faraj atau pesari (peranti boleh tanggal yang dimasukkan ke dalam faraj untuk menyokong organ pelvik), dan pembedahan seperti suntikan uretra atau sling uretra. Laser faraj ialah terapi klinikal dan beberapa tahun kebelakangan ini telah diterokai sebagai rawatan untuk inkontinensia kencing stres, namun keselamatan dan keberkesanannya masih belum dapat dipastikan. Terdapat beberapa persatuan perubatan profesional yang telah mengeluarkan amaran terhadap penggunaan peranti berasaskan tenaga seperti laser faraj untuk merawat inkontinensia kencing disebabkan oleh kekurangan data yang kukuh tentang keselamatan dan keberkesanan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada laser faraj lebih baik berbanding rawatan palsu atau rawatan kawalan (seperti pelincir topikal) atau rawatan topikal (seperti estrogen topikal) dalam memperbaiki gejala inkontinens dalam jangka masa pendek dan panjang. Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan laser faraj dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan penggunaan laser faraj dengan rawatan palsu atau rawatan kawalan (seperti pelincir topikal) atau rawatan topikal (seperti estrogen topikal) dalam kalangan wanita yang mengalami inkontinensia kencing stres. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui sembilan kajian yang melibatkan sejumlah 689 wanita dengan tekanan inkontinensia kencing. Sembilan kajian membandingkan laser faraj dengan rawatan palsu atau pelincir, dan satu kajian membandingkan laser faraj dengan estrogen topikal. Tujuh kajian melaporkan data jangka pendek (kurang daripada satu tahun), dan dua kajian melaporkan data jangka pendek dan sederhana (satu hingga lima tahun).
Kami mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan berikut.
• Dalam jangka masa pendek, bilangan wanita yang mencapai kontinens (ukuran objektif seperti yang dilaporkan oleh penyelidik) mungkin serupa dengan kumpulan yang menerima rawatan laser faraj dan kumpulan rawatan palsu atau pelincir. Dalam jangka masa sederhana, terdapat lebih ramai wanita yang mungkin mencapai kontinens dalam kalangan mereka yang menjalani rawatan laser faraj berbanding rawatan palsu atau pelincir.
Dalam jangka masa pendek, laser faraj mungkin meningkatkan inkontinens seperti yang dilaporkan oleh pesakit berbanding rawatan palsu, tetapi peningkatan tersebut adalah kecil dan mungkin tidak memberi kesan ketara kepada pesakit. Dalam jangka masa sederhana, terdapat peningkatan yang mungkin serupa dalam ukuran kontinens seperti yang dilaporkan oleh pesakit antara rawatan laser faraj dan rawatan palsu.
Terdapat peningkatan yang mungkin serupa dalam inkontinens urinari seperti yang dilaporkan oleh pesakit antara wanita yang menerima rawatan laser faraj dan mereka yang menerima krim estrogen topikal.
•Tiada kesan sampingan utama yang tidak diingini dilaporkan dalam kalangan wanita yang menerima rawatan laser faraj, rawatan palsu atau pelincir, ataupun rawatan estrogen topikal.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti kerana kemungkinan peserta dalam kajian mengetahui jenis rawatan yang mereka terima; tidak semua kajian menyediakan data bagi semua perkara yang kami ingin ketahui; dan jumlah kajian yang ada tidak mencukupi untuk memberi kepastian terhadap keputusan. Kajian-kajian yang dimasukkan mengukur kejayaan rawatan dengan cara yang berbeza dan pada titik masa yang berbeza, yang menyukarkan proses penggabungan hasil kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 29 April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jasmine Lee (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).