Mesej utama
• Elektroensefalografi bersepadu amplitud (aEEG) mungkin tidak cukup tepat untuk mengenal pasti bayi yang mengalami sawan, dan juga episod sawan individu yang terjadi pada bayi.
• Rawatan yang berdasarkan kepada aEEG sahaja boleh membawa kepada rawatan dengan ubat anti-sawan yang tidak mencukupi atau tidak perlu.
Mengapakah penting untuk mengesan sawan dengan tepat?
Sawan adalah aktiviti elektrik otak yang tidak normal dan jangka pendek. Ia bukan masalah biasa, tetapi masalah serius dalam tempoh awal kelahiran. Ia berlaku sebagai tindak balas kepada masalah seperti kurang oksigen atau bekalan darah ke otak, gula dalam darah yang rendah, dan jangkitan pada otak. Bayi boleh mengalami satu atau banyak episod sawan. Setiap sawan boleh menjadi sesingkat 10 saat atau selama beberapa minit.
Sawan pada bayi baru lahir boleh membahayakan otak dan mempunyai kesan yang berpanjangan. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti sawan dengan tepat.
Apakah ujian aEEG?
Elektroensefalografi (EEG) ialah kaedah pengukuran elektrik otak yang isyarat bukan invasif. Merakam aktiviti elektrik otak dengan menggunakan 10 hingga 20 perakam (wayar kecil yang dipasang pada kepala) adalah cara terbaik untuk mengesan sawan. Ini dipanggil elektroensefalografi konvensional, atau cEEG. Walau bagaimanapun, cEEG tidak selalunya mudah didapati di unit rawatan rapi neonatal, sukar dilakukan, dan memerlukan kepakaran yang tinggi untuk mentafsir.
Elektroensefalografi bersepadu amplitud (aEEG) ialah bentuk EEG yang ringkas dan mudah dilaksanakan tetapi memberikan kurang maklumat daripada cEEG. aEEG disediakan daripada isyarat EEG dan hanya memerlukan 2 hingga 4 perakam, yang boleh digunakan oleh jururawat neonatal. Doktor di wad yang menjaga bayi boleh mentafsir aEEG untuk mengesan sawan.
Terdapat beberapa mesin rakaman aEEG yang berbeza: sesetengahnya menggunakan 2 elektrod manakala yang lain menggunakan 4 elektrod. Sesetengah mesin juga menunjukkan isyarat EEG asal dari aEEG yang disediakan. aEEG boleh disediakan daripada cEEG yang telah direkodkan untuk tujuan penyelidikan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Sejauh manakah ketepatan aEEG dalam mengenal pasti bayi yang mengalami sawan, dan episod sawan individu pada bayi?
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan aEEG dengan cEEG untuk mengesan sawan pada bayi-bayi yang baru lahir. Kami membaca butiran cara kajian dijalankan dan penemuannya. Kami meringkaskan keputusan dan menganggarkan kebolehpercayaan mereka.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 16 kajian yang berkaitan dengan jumlah 562 bayi-bayi yang baru lahir. Daripada 16 kajian, 3 menerangkan ketepatan aEEG hanya untuk mengenal pasti bayi yang mengalami sawan, 3 menerangkannya hanya untuk mengesan sawan individu, dan 10 untuk mengesan kedua-dua bayi dengan sawan dan sawan individu.
Tempoh rakaman, bilangan dedawai aEEG, penggunaan isyarat EEG yang tidak diproses, dan latihan serta pengalaman pentafsir aEEG adalah berbeza-beza mengikut kajian.
Dalam hanya 2 kajian, doktor di wad membaca aEEG, mencerminkan amalan klinikal kehidupan sebenar. Dalam kajian lain, pakar neonatal mentafsirkan aEEG pada peringkat seterusnya. Kaedah tafsiran kemudian aEEG tidak begitu berguna untuk pengurusan segera pada bayi.
Secara purata, aEEG mengesan 71 daripada 100 bayi yang mengalami sawan. Ini bermakna ia terlepas 29 bayi dengan masalah sawan ini. Ia melabelkan 16 bayi mengalami sawan sedangkan sebenarnya mereka tidak mengalami sawan.
Kajian yang disertakan melaporkan ketepatan pembolehubah aEEG dalam mengesan sawan individu, daripada serendah 0 hingga setinggi 86 sawan yang dikesan dengan betul daripada 100.
Penemuan ulasan ini mencadangkan bahawa aEEG mungkin tidak cukup tepat untuk mengenal pasti bayi yang mengalami sawan dan episod sawan individu dalam bayi.
Apakah batasan bukti?
Ulasan ini mempunyai beberapa batasan, yang paling penting ialah keputusan kajian berubah secara meluas tanpa sebarang sebab yang jelas, mengurangkan kebolehpercayaan bukti. Satu lagi keterbatasan bukti ialah hanya 2 kajian sahaja yang melaporkan kesan tafsiran aEEG di wad dalam keadaan sebenar dalam ketepatan aEEG.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).