Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah kaedah penyambungan semula yang terbaik untuk orang yang menjalani prosedur Whipple bagi mengurangi kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa (pelekatan ductus perkumuhan pankreas pada usus) mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen berbanding pankreatikojejunostomi invaginasi (kemasukan tunggul pankreas ke dalam usus), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Tiada kajian melihat kepada kesan tidak diingini atau memudaratkan.

  • Kami tidak tahu sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa adalah lebih baik, sama dengan, atau lebih teruk daripada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa tradisional.

  • Penyelidikan masa hadapan diperlukan untuk melihat manfaat dan kemudaratan pankreatikojejunostomi duktus ke mukosa berbanding jenis pankreatikojejunostomi yang lain.

Apakah fistula pankreas selepas pembedahan?

Pankreas ialah kelenjar pencernaan yang terletak di bahagian belakang abdomen bahagian atas yang mengawal gula dalam darah. Rawatan pembedahan standard untuk kanser atau radang pankreas ialah pembuangan sebahagian kepala pankreas bersama-sama dengan usus yang berdekatan, melalui pembedahan yang dikenali sebagai prosedur Whipple. Prosedur Whipple melibatkan pankreatikojejunostomi (menghubungkan semula pankreas dan usus) untuk membolehkan jus pankreas yang mengandungi enzim pencernaan memasuki sistem pencernaan. Fistula pankreas pasca pembedahan berlaku apabila penyambungan semula tidak sembuh dengan baik, menyebabkan kebocoran jus pankreas daripada pankreas ke tisu abdomen. Fistula pankreas pasca pembedahan merupakan satu komplikasi yang melambatkan pemulihan daripada pembedahan dan sering memerlukan pembedahan lebih lanjut untuk memastikan penyembuhan yang lengkap.

Apakah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan fistula pankreas selepas pembedahan?

Kaedah untuk menyambung semula pankreas dan usus bagi orang yang menjalani prosedur Whipple termasuk:

  • pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa (pelekatan duktus perkumuhan pankreas pada usus);

  • invaginasi pankreatikojejunostomi (pemasukan tunggul pankreas ke dalam usus);

  • mengikat pankreas dan usus.

Pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa ialah kaedah yang lazim digunakan di seluruh dunia untuk mengurangi kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen selepas prosedur Whipple. Walau bagaimanapun, manfaat dan mudarat pankreatikojejunostomi duktus ke mukosa berbanding jenis pankreatikojejunostomi yang lain masih tidak pasti.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa untuk orang yang menjalani prosedur Whipple adalah lebih baik daripada jenis pankreatikojejunostomi yang lain untuk mengurangi:

  • kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen;

  • kadar kematian;

  • kesan yang tidak diingini;

  • kadar operasi semula;

  • kadar perdarahan selepas pembedahan;

  • kadar komplikasi keseluruhan; dan

  • tempoh tinggal di hospital.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa dengan mana-mana jenis pankreatikojejunostomi yang lain atau jenis pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa yang berbeza selepas prosedur Whipple. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 14 kajian (3 baharu dalam kemas kini ini) yang melibatkan 2140 dewasa yang menjalani prosedur Whipple terbuka. Kajian-kajian terdiri daripada 64 hingga 308 orang dan dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; kebanyakannya dilakukan di China (empat kajian). Kebanyakan kajian berlangsung selama kira-kira dua tahun; hanya empat kajian yang berlangsung selama empat tahun atau lebih. Lima kajian telah dibiayai oleh geran bukan komersial.

Keputusan utama

Pengulas menemui 12 kajian melibatkan 1678 dewasa d mana pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa dibandingkan dengan pankreatikojejunostomi invaginasi dalam kalangan orang yang menjalani pankreatikoduodenektomi. Pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen, kadar kematian, kadar pembedahan semula, kadar perdarahan pasca pembedahan, kadar komplikasi keseluruhan dan tempoh penginapan hospital dibandingkan dengan pankreatikojejunostomi invaginasi, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Tiada kajian melaporkan tentang kesan tidak diingini.

Kami menemui dua kajian yang melibatkan 462 dewasa di mana pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa yang diubah suai dibandingkan dengan pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa tradisional dalam kalangan orang yang menjalani prosedur Whipple terbuka. Kami tidak tahu sama ada kaedah yang diubah suai dapat mengurangkan kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen, kadar kematian, peristiwa tidak diingini, kadar pembedahan semula, kadar perdarahan pasca pembedahan, kadar komplikasi keseluruhan atau tempoh penginapan hospital .

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami berkeyakinan sangat rendah terhadap bukti kerana kebanyakan kajian mempunyai masalah dengan cara ia dijalankan atau dilaporkan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Wu X, Hu L, Zhou S, Liu Z, Gong J, Deng Y, Cheng Y. Duct-to-mucosa versus other types of pancreaticojejunostomy for the prevention of postoperative pancreatic fistula following pancreaticoduodenectomy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD013462. DOI: 10.1002/14651858.CD013462.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan