Langkau ke kandungan utama

Ubat manakah yang membantu mengurangkan kesakitan neonat semasa penyedutan paru-paru ?

Mesej utama:

Kami tidak dapat menemui bukti berkualiti baik yang mencukupi tentang ubat-ubat yang terbaik untuk merawat kesakitan semasa penyedutan endotrakeal.

Secara keseluruhannya, ia tidak jelas sama ada ubat yang dikaji dalam ulasan ini mengurangkan kesan negatif (kemudaratan) seperti tekanan darah dan perubahan kadar degupan jantung, pendarahan otak yang teruk atau tempoh masa bayi menggunakan ventilator mekanikal.

Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya ubat-ubatan yang berbeza untuk merawat kesakitan semasa penyedutan endrotrakeal.

Apakah penyedutan endotrakeal (paru-paru)?

Ramai neonat (bayi baru lahir) mengalami kesukaran bernafas. Untuk membantu mereka, ventilator mekanikal (alat pernafasan) digunakan. Ventilator berfungsi dengan memasukkan tiub fleksibel melalui mulut atau hidung bayi dan ke bawah salur udara (trakea). Penempatan tiub tersebut dikenali sebagai prosedur endotrakeal (bermaksud akses yang diperolehi melalui trakea). Semasa bayi diletakkan pada alat pernafasan, tiub mesti sentiasa bersih dan jelas. Proses ini dipanggil penyedutan endotrakeal.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui cara mengurangkan kesakitan neonat semasa penyedutan endotrakeal menggunakan ubat melegakan kesakitan atau menenangkan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari pengkalan data perubatan untuk kajian yang membandingkan dua jenis ubat untuk mengurangkan kesakitan neonat semasa penyedutan endotrakeal. Ubat-ubatan termasuk ubat penahan sakit opioid seperti morfin dan alfentanil; sedatif (ubat menenangkan) seperti midazolam; dan anestetik (ubat yang melambatkan tindak balas otak dan sistem saraf terhadap kesakitan) seperti ketamin.

Apa yang kami temui?
Kami telah menemui tujuh kajian terhadap 1242 neonat. Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Kajian yang terbesar telah menyertakan 898 bayi; yang terkecil menyertakan 10; satu kajian menyertakan 150 bayi, dan empat kajian yang selebihnya menyertakan kurang daripada 100 bayi. Tiada kajian disokong dari segi kewangan oleh syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama:

Hasil semasa penyedutan endotrakeal

Opioid berbanding dengan plasebo (bahan tanpa kesan perubatan)

Ia tidak jelas sama ada morfin mengurangkan kesakitan atau tempoh masa bayi menggunakan pengudaraan mekanikal.

Ia tidak jelas sama ada alfentanil mengurangkan kesakitan atau kadar degupan jantung.

Meperidine boleh mengurangkan tanda-tanda tingkah laku kesakitan seperti menangis.

Morfin boleh tidak mengakibatkan tekanan darah yang rendah.

Morfin mungkin mengurangkan sedikit kejadian pendarahan otak yang teruk.

Opioid berbanding dengan sedatif (midazolam)

Ia tidak jelas sama ada morfin mengurangkan kesakitan.

Morfin boleh mengakibatkan pengurangan yang besar dalam tempoh masa bayi menggunakan pengudaraan mekanikal.

Morfin boleh tidak mengurangkan kejadian pendarahan serebrum yang teruk (pendarahan otak).

Tiada kajian melaporkan perubahan tekanan darah atau kadar degupan jantung, atau tanda-tanda tingkah laku kesakitan (seperti menangis).

Sedatif berbanding dengan plasebo

Midazolam boleh mengurangkan kesakitan.

Ia tidak jelas sama ada ketamin mengurangkan kesakitan, atau mempengaruhi kadar degupan jantung atau tekanan darah.

Ia tidak jelas sama ada midazolam mengurangkan tempoh masa bayi menggunakan pengudaraan mekanikal dan mengurangkan kejadian pendarahan otak yang teruk.

Tiada kajian yang melaporkan tentang tanda-tanda tingkah laku kesakitan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan terhadap penemuan kami untuk hasil kritikal kami adalah rendah hingga sangat rendah kerana kebanyakan kajian adalah kecil, dan terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan keputusannya.

Opioid vs plasebo:

Kami tidak yakin bahawa opioid (morfin, alfentanil) mengurangkan kesakitan atau mengubah kadar degupan jantung.

Kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa opioid (meperidine) mengurangkan tanda-tanda tingkah laku kesakitan.

Opioid vs sedatif:

Kami tidak yakin bahawa opioid (morfin) mengurangkan kesakitan.

Sedatif vs plasebo:

Kami tidak yakin bahawa ketamin mengurangkan kesakitan atau mempengaruhi kadar degupan jantung; tanda-tanda tingkah laku kesakitan tidak diukur.

Kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa midazolam mengurangkan kesakitan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Wai Sum (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Pirlotte S, Beeckman K, Fiander M, Cracknell J, Ooms I, Cools F. Pharmacological interventions for the prevention of pain during endotracheal suctioning in ventilated neonates. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD013355. DOI: 10.1002/14651858.CD013355.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan