Mesej utama
-
Bukti semasa tidak memberikan kesimpulan kukuh tentang keselamatan rawatan dengan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin, satu protein yang membantu saluran darah di dalam retina mata tumbuh secara normal, dalam bayi pramatang yang lahir sebelum cukup bulan dan berat kurang daripada 1500 gram.
-
Bukti terkini tidak membenarkan kesimpulan kukuh tentang kesan rawatan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin untuk pencegahan retinopati pramatang, satu penyakit dalam bayi pramatang di mana saluran darah di belakang mata tidak tumbuh secara normal.
-
Setakat ini, kajian faktor-1 pertumbuhan seperti insulin dalam bayi pramatang mungkin tidak mengesan manfaat atau kesan sampingan yang penting.
Apakah retinopati pramatang dan faktor pertumbuhan seperti insulin-1?
Retinopati pramatang ialah penyakit biasa dalam bayi yang lahir pramatang dengan berat kelahiran kurang daripada 1500 gram. Hal ini disebabkan apabila saluran darah di belakang mata tidak tumbuh secara normal. Retinopati pramatang boleh menyebabkan masalah penglihatan atau kebutaan.
Faktor-1 pertumbuhan seperti insulin ialah protein yang membantu saluran darah di dalam retina mata tumbuh secara normal semasa hamil. Apabila bayi dilahirkan terlalu awal, mereka mungkin tidak mempunyai faktor-1 pertumbuhan seperti insulin di dalam badan dan ia mungkin menyebabkan saluran darah di dalam retina untuk tumbuh secara tidak normal, membawa kepada perkembangan retinopati pramatang.
Bagaimanakah retinopati pramatang dirawat?
Pada masa kini, retinopati pramatang dirawat dengan laser yang membakar retina di belakang mata bayi untuk menghentikan rangsangan saluran darah abnormal yang mungkin merosakkan penglihatan, atau dengan ubat-ubatan yang disuntik ke dalam mata sementara untuk menghentikan saluran darah abnormal daripada terus tumbuh dan merosakkan penglihatan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian faktor-1 pertumbuhan seperti insulin kepada bayi pramatang mencegah atau merawat retinopati pramatang. Kami juga ingin mengetahui sama ada pemberian faktor-1 pertumbuhan seperti insulin kepada bayi pramatang menyebabkan sebarang kesan-kesan sampingan atau masalah serius, atau telah mempunyai kesan terhadap isu perubatan yang lain yang disebabkan oleh pramatang, seperti pendarahan otak atau penyakit paru-paru pramatang.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian penyelidikan yang membandingkan rawatan dengan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin sama ada kepada plasebo (satu rawatan ‘dummy’ atau palsu) atau kepada rawatan standard, iaitu unit penjagaan intensif neonatal biasa (NICU) yang bukan biasanya melibatkan pemberian faktor-1 pertumbuhan seperti insulin, dalam bayi pramatang yang berisiko menghidap retinopati pramatang. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menyertakan dua kajian dengan jumlah 140 bayi pramatang. Kajian yang disertakan menguji rawatan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin dan memantau hasilnya sehingga lima hingga enam tahun.
Kami menemui keputusan kajian semasa tidak membenarkan kesimpulan yang pasti tentang keberkesanannya dalam mencegah atau merawat retinopati pramatang. Keputusan kajian semasa juga tidak membenarkan kesimpulan yang pasti tentang keselamatan rawatan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin dalam bayi pramatang, termasuk kesan memudaratkan atau kematian.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti kajian adalah sangat rendah dan hasil penyelidikan lanjutan mungkin berbeza daripada keputusan ulasan kajian ini. Dua faktor utama yang telah mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, kami hanya mengenal pasti dua kajian rawatan faktor-1 pertumbuhan seperti insulin dalam bayi pramatang dan tidak ramai bayi yang mengambil bahagian di dalamnya. Ini bermakna mungkin tidak terdapat peserta yang menerima rawatan yang mencukupi untuk menentukan sama ada ia benar-benar memberi perbezaan. Kedua, kajian yang kami temui mempunyai masalah dengan reka bentuk atau care mereka dijalankan, yang mungkin menjejaskan ketepatan keputusan mereka.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




