Langkau ke kandungan utama

Apakah pilihan rawatan bagi wanita dengan kanser berisiko rendah dan pra-kanser pada lapisan rahim (kanser endometrium dan hiperplasia endometrium atipikal) siapa yang ingin mempunyai anak?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej Utama

• Kami menemui pelbagai pilihan rawatan pemeliharaan kesuburan untuk kanser endometrium (kanser lapisan rahim) dan hiperplasia endometrium atipikal (pra-kanser). Kami tidak tahu rawatan mana yang paling berkesan atau kaedah terbaik untuk memberikannya.

• Menambah metformin kepada rawatan progesteron boleh memberi manfaat dalam merawat kanser endometrium dan pra-kanser. Sistem intrauterin levonorgestrel (gegelung yang melepaskan hormon) mungkin bermanfaat kerana memberikan kesan yang serupa dengan kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding progesteron oral.

• Kami memerlukan lebih banyak kajian yang dijalankan dengan baik untuk menilai dan membandingkan pilihan rawatan yang berbeza.

Apakah itu kanser endometrium dan hiperplasia endometrium atipikal?

Kanser endometrium ialah kanser pada lapisan rahim. Ia merupakan kanser keenam paling kerap di seluruh dunia dan keempat paling kerap di negara berpendapatan tinggi, di mana kadarnya semakin meningkat. Hiperplasia endometrium atipikal (pra-kanser) ialah pertumbuhan sel tidak normal di lapisan rahim. Jika tidak dirawat, ia mungkin berkembang menjadi kanser endometrium. Kelewatan dalam menlahirkan anak dan peningkatan kadar obesiti kedua-duanya merupakan faktor risiko untuk kanser dan pra-kanser. Rawatan yang paling efektif untuk kanser endometrium dan pra-kanser ialah membuang rahim (histerektomi). Kanser endometrium dan pra-kanser lebih kerap berlaku selepas menopaus, tetapi sehingga 25% kes berlaku dalam kalangan wanita yang lebih muda. Ini bermaksud semakin ramai wanita kini didiagnosis dengan kanser ketika masih ingin hamil. Keadaan ini membawa kepada peningkatan bilangan wanita yang mungkin ingin mempertimbangkan rawatan pemeliharaan (pengekalan) kesuburan.

Rawatan dengan progestin (hormon wanita) biasanya disyorkan. Di samping itu, rawatan lain, seperti metformin (rawatan untuk diabetes), pembedahan bariatrik (pembedahan untuk obesiti), atau reseksi histeroskopik (prosedur menggunakan kamera nipis dan alat khas dimasukkan melalui faraj untuk membuang tisu tidak normal) sedang dikaji pada masa ini. Walau bagaimanapun, pilihan rawatan terbaik masih tidak pasti.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui rawatan mana yang berkesan untuk kanser endometrium dan pra-kanser, serta sama ada ia juga berkesan dalam mengekalkan kesuburan wanita.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat rawatan untuk kanser endometrium dan pra-kanser yang juga bertujuan untuk mengekalkan kesuburan. Kami berminat dengan pelbagai rawatan, seperti ubat-ubatan yang berbeza, pembedahan, dan program penurunan berat badan. Kami ingin mengetahui kesan rawatan yang berbeza terhadap kadar kelangsungan hidup wanita, bilangan wanita yang melahirkan bayi (kadar kelahiran hidup), tempoh wanita hidup tanpa kambuh kanser, bilangan wanita yang pulih sepenuhnya (kadar tindak balas patologi lengkap), sebarang kesan sampingan serius daripada rawatan, sama ada terdapat gejala psikologi atau kesan terhadap kualiti hidup, bilangan wanita yang mengandung, dan bilangan yang memerlukan histerektomi selepas rawatan yang tidak berjaya. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 12 kajian yang melibatkan 904 wanita. Ini termasuk enam kajian di mana wanita dipilih secara rawak untuk menerima rawatan dan enam kajian di mana rawatan tidak dibahagikan secara rawak.

Keputusan utama

Metformin ditambah dengan progestin berbanding progestin sahaja boleh sedikit meningkatkan kadar tindak balas lengkap (ketiadaan kanser yang boleh dikesan selepas rawatan) dan boleh memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap kadar kelahiran hidup atau keperluan pembedahan untuk penyakit yang berterusan/berkembang. Kajian melaporkan tiada kesan yang serius yang tidak diingini. Tiada maklumat tersedia mengenai kesan terhadap tempoh kelangsungan hidup keseluruhan wanita, atau tempoh hidup sebelum penyakit berulang, atau kualiti hidup.

Sistem intrauterin levonorgestrel ialah gegelung yang melepaskan hormon dan dimasukkan ke dalam rahim. Berbanding progestin yang diambil secara oral, ia mungkin tidak memberi kesan terhadap tindak balas lengkap (ketiadaan kanser yang boleh dikesan), tetapi mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit, seperti pertambahan berat badan. Wanita mungkin lebih cenderung untuk meneruskan rawatan dengan alat ini. Tiada maklumat tersedia mengenai keputusan lain.

Menambahkan gegelungl yang melepaskan hormon kepada progestin yang diambil secara oral mungkin tidak memberi perbezaan terhadap kelangsungan hidup, kadar kelahiran hidup, kadar penyembuhan, kualiti hidup, atau keperluan pembedahan di masa hadapan. Ia juga nampaknya tidak meningkatkan kesan yang tidak diingini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah, atas beberapa sebab. Pertama, dalam beberapa kajian, wanita tidak ditempatkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara wanita itu sendiri, dan bukannya perbezaan antara rawatan. Kedua, sesetengah bukti menumpukan pada kumpulan wanita tertentu, seperti wanita obes, manakala soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas. Akhir sekali, beberapa kajian adalah kecil. Oleh itu, penyelidikan lanjut kemungkinan besar akan mengubah atau mengesahkan keputusan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 3 Februari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Petikan
Fernandez-Montoli M-E, Sabadell J, Contreras Perez NA, Verdaguer Menéndez-Arango P, Julia Torres C, Lleberia J. Fertility-sparing treatment for atypical endometrial hyperplasia and endometrial cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD013111. DOI: 10.1002/14651858.CD013111.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan