Mesej utama
– Ubat antidepresan adalah lebih berkesan daripada plasebo (tablet palsu) dalam meningkatkan tindak balas terhadap rawatan dan mempunyai kebolehterimaan yang setara dengan plasebo. Lebih sedikit peserta menarik diri disebabkan oleh kekurangan keberkesanan dalam kumpulan antidepresan berbanding kumpulan plasebo manakala lebih ramai peserta yang menarik diri disebabkan oleh kesan sampingan yang tidak diingini dalam kumpulan antidepresan berbanding plasebo.
– Kajian pada masa hadapan mungkin akan melaksanakan ketelusan yang lebih tinggi dalam kaedah dan pelaporan hasil kajian. Ulasan pada masa hadapan juga mungkin akan melibatkan pesakit dengan keadaan perubatan bersamaan (komorbiditi).
Apakah gangguan keresahan umum?
Gangguan keresahan umum ialah keadaan kesihatan mental yang dicirikan oleh keresahan yang berlebihan dan kebimbangan yang berterusan tentang peristiwa harian. Gangguan keresahan umum merupakan perkara yang biasa dan selalunya memberi kesan terhadap wanita dua kali ganda lebih kerap berbanding lelaki.
Bagaimanakah gangguan keresahan umum dirawat?
Rawatan yang diberikan termasuklah pelbagai pendekatan psikologi (yang berfungsi pada minda dan tingkah laku seseorang) dan ubat-ubatan. Antara ubat-ubatan yang digunakan, antidepresan (iaitu ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan), terutamanya dua jenis antidepresan yang dikenali sebagai penghalang pengambilan semula serotonin terpilih dan penghalang pengambilan semula serotonin-noradrenalina, lazimnya digunakan untuk merawat gangguan keresahan umum. Banyak kajian telah menunjukkan keberkesanannya berbanding rawatan palsu (dikenali sebagai plasebo).
Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?
Pesakit yang menghidap gangguan keresahan umum, pengamal perubatan am, dan profesional kesihatan mental.
Apa yang kami ingin tahu?
Ulasan ini bertujuan untuk menyediakan ringkasan terkini bagi semua bukti tersedia mengenai topik ini. Khususnya, kami ingin mengetahui:
– Keberkesanan antidepresan berbanding plasebo dalam merawat gangguan keresahan umum;
– penerimaan antidepresan berbanding plasebo dalam merawat gangguan keresahan umum; dan
– kesan sampingan antidepresan yang tidak diingini dan memudaratkan berbanding plasebo dalam kalangan indvidu yang mengalami gangguan keresahan umum .
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan antidepresan dengan plasebo untuk merawat orang dewasa yang mengalami gangguan keresahan umum tetapi tiada keadaan perubatan serius yang lain yang bersamaan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 37 kajian yang melibatkan 12,226 orang dewasa yang mengalami gangguan keresahan umum. Kajian-kajian tersebut berlangsung antara empat hingga 28 minggu.
Antidepresan adalah lebih berkesan daripada plasebo dalam mengurangkan keresahan dan tiada perbezaan antara antidepresan dan plasebo dalam keseluruhan jumlah orang yang menarik diri dengan lebih awal daripada kajian-kajian tersebut.
Lebih sedikit individu dalam kumpulan antidepresan menarik diri dengan lebih awal daripada kajian-kajian tersebut kerana antidepresan dianggap tidak berkesan berbanding plasebo dan lebih ramai individu dalam kumpulan antidepresan menarik diri lebih awal daripada kajian-kajian tersebut disebabkan oleh kesan sampingan yang tidak diingini berbanding plasebo.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin dengan penemuan kami kerana ia terpakai kepada pesakit yang mengalami gangguan keresahan umum tetapi tanpa keadaan perubatan bersamaan yang lain. Walau bagaimanapun, bukti tidak cukup kukuh untuk mencipta garis panduan klinikal bagi pesakit dengan keadaan perubatan bersamaan lain kerana mereka dikecualikan daripada analisis kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).