Mesej Utama
Kini, terdapat soal selidik yang lebih pendek untuk saringan gangguan kebimbangan dalam kalangan orang dewasa, yang mungkin patut dipertimbangkan sebelum menggunakan Inventori Kebimbangan Beck (BAI). Pada masa ini, masih belum jelas sama ada BAI harus digunakan untuk mengesan gangguan kebimbangan dalam kalangan orang dewasa, kerana:
-
bilangan kajian dirangkumkan dalam analisis kami adalah kecil;
-
kualiti kajian adalah terhad; dan
-
kebanyakan kajian memasukkan populasi daripada pelbagai tetapan klinikal khusus dengan pelbagai penyakit sedia ada yang berbeza.
Mengapakah pengesanan yang tepat untuk gangguan kebimbangan ini penting?
Walaupun gangguan kebimbangan ini adalah lazim, ia selalunya tidak dapat dikesan, termasuklah dalam individu yang boleh mendapat manfaat melalui rawatan. Oleh sebab itu, sesetengah pakar mencadangkan saringan untuk kebimbangan. Pakar lain tidak menyokong saringan kerana ia boleh menunjukkan gangguan kebimbangan secara palsu sedangkan ia tidak wujud (dikenali sebagai ‘positif palsu’), atau terlepas pandang orang yang mengalami kebimbangan (dikenali sebagai ‘negatif palsu’). Keputusan positif palsu boleh mengambil sumber daripada mereka yang paling memerlukannya, dan boleh mengakibatkan kebimbangan yang tidak perlu, ujian dan rawatan lanjut, manakala keputusan negatif palsu boleh melambatkan rawatan. Istilah ‘sebarang gangguan kebimbangan’ (AAD) merangkumi pelbagai keadaan kesihatan mental. Ini termasuk, antara lain, ‘gangguan kebimbangan umum’ (GAD) dan ‘gangguan panik’ (PD).
Apakah Inventori Kebimbangan Beck?
Inventori Kebimbangan Beck (BAI) adalah satu soal selidik. Pada asalnya, ia dibangunkan untuk mengukur tahap keterukan kebimbangan, tetapi ia juga digunakan dalam kajian saringan. Individu menjawab 21 soalan, setiap satu pada skala 0 hingga 3. Selepas menjawab semua soalan, skor dijumlahkan untuk mendapatkan jumlah skor antara 0 hingga 63. Skor keseluruhan yang sama dengan atau melebihi nilai tertentu (yang dipanggil batas akhir) menunjukkan bahawa gangguan kebimbangan mungkin berlaku. Bagi BAI, batas akhir ≥ 16 sering digunakan. Penggunaan BAI membolehkan keputusan yang mudah dan cepat. Individu yang mempunyai skor BAI yang tinggi boleh dirujuk untuk tindakan selanjutnya.
Apakah yang ingin diketahui? Kami ingin mengetahui sejauh mana BAI boleh memberitahu sama ada orang dewasa mempunyai gangguan kebimbangan atau tidak.
Apakah yang dilakukan? Kami mencari kajian yang menggunakan BAI untuk mengesan kebimbangan. Kemudian kami menggabungkan keputusan kajian tersebut.
Apakah yang ditemukan?
Ulasan ini memasukkan keputusan sepuluh kajian yang mempunyai maklumat tentang BAI dalam mengesan AAD (analisis kami yang paling penting), lapan kajian yang memberikan maklumat tentang GAD dan empat kajian tentang PD. Secara keseluruhannya, 14 kajian dengan 6232 peserta telah dimasukkan dalam ulasan ini. Sembilan kajian datang daripada pelbagai tetapan klinikal khusus, dua daripada tetapan bukan klinikal dan tiga daripada tetapan campuran.
•
Keputusan gabungan menunjukkan bahawa jika BAI diberikan kepada sekumpulan 1000 individu dan 270 daripadanya telah mengesahkan AAD:
• Daripada 241 individu yang diuji positif untuk AAD, 95 akan dilabel secara palsu sebagai mempunyai AAD (positif palsu).
• Daripada 759 individu yang diuji negatif, 124 akan dilabel secara palsu sebagai tidak mempunyai AAD (negatif palsu).
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian tersebut sangat pelbagai, dengan hanya beberapa kajian setiap analisis, dan kualiti kajian adalah terhad, bermakna kami tidak pasti tentang keputusannya. Juga, sesetengah individu dalam kajian mengalami kebimbangan sebelum mereka mengisi BAI, atau maklumat ini tidak tersedia. Oleh itu, beberapa kajian memasukkan individu yang mengambil bahagian dalam kajian ini tetapi tidak mewakili individu yang harus disaring.
Apakah yang ingin dimaksudkan?
Oleh sebab data kajian adalah terhad, kami tidak dapat memastikan sama ada BAI merupakan ujian saringan yang baik. Keputusan ini terutamanya mencerminkan penggunaan BAI dalam pelbagai tetapan klinikal khusus. Walau bagaimanapun, kami tidak faham sepenuhnya sama ada BAI berfungsi lebih baik untuk individu tertentu atau dalam tetapan tertentu. Kini, terdapat soal selidik yang lebih pendek yang telah dibangunkan untuk saringan gangguan kebimbangan, yang mungkin wajar dipertimbangkan terlebih dahulu.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 12 Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.