Mesej utama
Bukti tersedia tidak menyokong secara jelas penggunaan STAI sebagai alat saringan kerana:
-
STAI tidak dibangunkan khusus untuk tujuan penyaringan, dan tiada ketetapan had yang diterima umum (skor ambang) wujud;
-
Alat ini cenderung untuk mengenal pasti individu yang mengalami kecelaruan keresahan, tetapi berkemungkinan juga melabelkan secara salah ramai orang yang tidak mempunyai keresahan;
-
Kajian yang disertakan berbeza dalam kualiti, dan kebanyakannya melibatkan orang daripada keadaan seperti hospital yang berbeza, menjadikan sukar untuk melakukan generalisasi.
Memandangkan keterbatasan ini, lebih mudah buat masa ini untuk menggunakan soal selidik yang lebih pendek yang dibuat khas untuk saringan kecelaruan keresahan dan bukannya STAI.
Mengapakah diagnosis awal kecelaruan keresahan penting?
Kecelaruan keresahan adalah perkara biasa tetapi selalunya tidak didiagnosis, yang boleh menyebabkan kelewatan rawatan dan menurunkani kualiti hidup. Saringan boleh membantu mengenal pasti keresahan lebih awal, terutamanya pada orang yang mungkin tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya. Walau bagaimanapun, ujian-ujian ini adalah tidak sempurna: jika mereka tidak menemui keresahan pada seseorang yang menghidapnya (‘negatif palsu'), mereka mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan yang tepat pada masanya. Walaupun ujian saringan perlu disahkan sekali lagi sebelum diagnosis boleh dibuat, melabelkan seseorang sebagai disyaki mengalami keresahan sedangkan mereka tidak mengalaminya ('positif palsu') boleh menyebabkan keresahan ataupun lawatan penjagaan kesihatan tambahan dengan ujian lanjutan yang tidak perlu.
Apakah State-Trait Anxiety Inventory (STAI)?
STAI merupakan soal selidik yang digunakan secara meluas untuk mengukur kecelaruan keresahan dan mempunyai dua subskala: satu untuk keresahan semasa, yang merujuk kepada perasaan keresahan sementara sebagai tindak balas kepada sesuatu situasi, dan satu lagi untuk keresahan sifat, yang merujuk kepada kecenderungan umum seseorang untuk mengalami keresahan merentasi masa dan situasi. Setiap bahagian mempunyai 20 soalan. Skor yang lebih tinggi menunjukkan tahap keresahan yang lebih tinggi. Apabila digunakan untuk saringan, satu paras ambang (dipanggil 'had' [cut-off]) akan digunakan: orang yang mempunyai markah bersamaan atau di atas tahap tersebut boleh dirujuk untuk penilaian lanjut tentang kemungkinan keresahan. STAI telah digunakan sebagai alat saringan dalam beberapa kajian, walaupun ia tidak direka untuk tujuan ini. Tiada had yang diterima secara umum, tetapi beberapa kajian individu telah mengesyorkan 40 untuk keresahan keadaan dan 44 untuk keresahan sifat.
Apakah yang ingin diketahui?
Sehingga kini, prestasi STAI sebagai alat saringan belum dianalisis di dalam mana-mana ulasan sistematik. Kami ingin melihat sejauh mana STAI mengesan dengan tepat kecelaruan keresahan dalam kalangan orang dewasa.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang melihat kepada ketepatan alat saringan STAI dalam mengesan kecelaruan keresahan dalam kalangan orang dewasa. Untuk layak dianalisis, kajian perlu membandingkan skor STAI dengan keputusan daripada temu bual klinikal yang berstruktur, kaedah sedia ada paling tepat untuk mendiagnosis kecelaruan keresahan. Kemudian, kami menggabungkan keputusan-keputusan untuk menilai secara keseluruhan ketepatan alat saringan STAI, dengan mengambil kira semua kemungkinan had ketetapan untuk kedua-dua subskala (STAI-S dan STAI-T).
Apakah yang ditemukan?
Kami menyertakan 12 kajian dari 11 buah negara, yang melibatkan 2525 peserta (475 daripadanya mempunyai kecelaruan keresahan). Kebanyakan kajian menyertakan orang yang mempunyai pelbagai masalah perubatan sedia ada yang khusus. Satu kajian menyertakan orang tanpa keadaan perubatan (pasangan pesakit kanser).
Gabungan keputusan-keputusan ini menunjukkan jika STAI diberikan kepada sekumpulan 1000 individu, dan 153 daripadanya mempunyai kecelaruan resahan yang tidak dapat dikesan:
-
STAI-S ≥ 40: daripada 508 orang yang mendapat skor bersamaan atau di atas jumlah skor, 127 dapat dikenal pasti dengan tepat sebagai mengalami kecelaruan keresahan ('positif sebenar') dan berpotensi menerima manfaat daripada rawatan lanjut. Walau bagaimanapun, baki 381 dikenalpasti secara salah sebagai berpotensi mengalami keresahan ('positif palsu') dan kemungkinan akan dirujuk untuk penilaian lanjut bagi memastikan bahawa mereka tidak perlu didiagnosis untuk kecelaruan keresahan. Walaupun ini mungkin bermanfaat bagi sesetengah orang (contohnya, untuk meneroka sebab-sebab yang lain), ia berkemungkinan tidak diperlukan bagi sesetengah golongan yang lain. Sebaliknya, daripada 492 peserta yang mempunyai skor di bawah had yang ditetapkan, 26 orang dengan keresahan dan berpotensi memerlukan rawatan akan gagal dikenalpasti ('negatif palsu'). Baki 466 peserta dikenalpasti dengan betul sebagai tidak mempunyai keresahan ('negatif sebenar').
-
STAI-T ≥ 44: daripada 463 peserta yang mendapat markah bersamaan atau di atas had ketetapan, 124 adalah 'positif sebenar' dan 339 'positif palsu'. Antara 537 skor di bawah had, 29 peserta dengan keresahan akan gagal dikenalpasti ('negatif palsu') dan 508 akan dikategorikan sebagai 'negatif sebenar'.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian-kajian adalah berbeza-beza dari segi kualiti dan kebanyakannya dilakukan dalam lokasi seperti hospital, membataskan pemahaman kami tentang bagaimana STAI akan berfungsi dalam kumpulan yang lain, seperti orang awam. Selain itu, memandangkan STAI tidak dibuat khusus sebagai alat saringan, mentafsir keputusan yang diperolehi untuk tujuan ini adalah mencabar.
Apakah yang ingin dimaksudkan?
Bukti sedia ada tidak menjawab dengan jelas sama ada STAI merupakan alat saringan yang boleh dipercayai untuk mengesan kecelaruan keresahan. Penemuan ini khususnya mencerminkan prestasi dalam persekitaran klinikal khusus, dan tidak dapat dipastikan sama ada STAI akan berfungsi dengan cara yang sama dalam persekitaran yang berbeza. Memandangkan bukti yang dikenal pasti adalah taksa dan terhad, adalah wajar untuk mempertimbangkan alat saringan yang lebih mudah yang telah dibangunkan khusus untuk saringan keresahan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini dikemaskini sehingga Mei 2024, dengan menyertakan kajian yang diterbitkan dari tahun 2008 hingga 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.