Mesej utama
- Bukti yang sedia ada daripada kajian jangka pendek mencadangkan bahawa terdapat sedikit sehingga tiada perbezaan antara perencat renin dan penyekat reseptor angiotensin dari segi kadar kematian, penarikan diri disebabkan oleh kesan-kesan yang tidak diingini, peristiwa-peristiwa serius yang tidak diingini, peristiwa-peristiwa yang tidak diingini, dan kawalan tekanan darah untuk orang dengan hipertensi primer yang ringan.
- Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh daripada kajian jangka panjang, sebarang perbezaan potensi antara kedua-dua ubat-ubatan untuk ukuran jantung dan saluran darah adalah tidak diketahui.
- Kajian yang lebih besar dalam jangka masa panjang adalah diperlukan, yang merangkumi julat orang yang lebih besar dan memberi tumpuan kepada ukuran kesihatan jantung dan saluran darah.
Apakah hipertensi?
Hipertensi primer, yang juga dikenali sebagai hipertensi esensial, adalah sejenis tekanan darah tinggi yang bermula dengan sendirinya dan ia tidak diakibatkan oleh masalah kesihatan lain. Hipertensi meningkatkan risiko strok, serangan jantung, dan penyakit buah pinggang. Garis panduan hipertensi mengesyorkan penyekat reseptor angiotensin (ARBs) sebagai pilihan rawatan pertama untuk orang dengan hipertensi, tetapi tidak membuat pengesyoran khusus untuk perencat renin.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada perencat renin adalah lebih baik daripada ARBs untuk orang dengan hipertensi primer.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang memeriksa perencat renin berbanding dengan ARBs dalam orang dengan hipertensi primer. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami dalam bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 11 kajian yang melibatkan 6780 orang, dengan purata umur antara 52 hingga 59 tahun, yang mempunyai hipertensi primer ringan dan tiada masalah jantung. Kajian tersebut berlangsung antara empat minggu dan sembilan bulan. Kesemua kajian telah membandingkan aliskiren, sejenis perencat renin, dengan satu ARB. ARB tertentu yang telah digunakan adalah losartan dalam empat kajian, valsartan dalam tiga kajian, irbesartan dalam tiga kajian, dan telmisartan dalam satu kajian.
Bukti yang sedia ada daripada kajian jangka pendek mencadangkan bahawa sedikit sehingga tiada perbezaan antara perencat renin dan ARBs dalam orang dengan hipertensi primer ringan dari segi kadar kematian, penarikan diri disebabkan oleh kesan-kesan yang tidak diingini, peristiwa-peristiwa serius yang tidak diingini, peristiwa-peristiwa yang tidak diingini, dan kawalan tekanan darah. Kami tidak menemui data untuk penyakit buah pinggang peringkat akhir.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami adalah terhad disebabkan kebimbangan tentang bagaimana sesetengah kajian telah dijalankan.
Tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan tentang keputusan kadar kematian.
Kami kurang yakin tentang keputusan tekanan darah diastolik disebabkan keputusan daripada satu kajian berbeza daripada keputusan yang lain.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami telah mencari untuk bukti sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).