Mesej utama
- Tiada intervensi yang menunjukkan prestasi yang lebih baik untuk rawatan korioretinopati serous pusat (CSC) berbanding yang lain.
- Kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk menilai manfaat dan potensi kemudaratan rawatan untuk CSC.
Apakah korioretinopati serous pusat (CSC) dan bagaimana ia dirawat?
CSC ialah gangguan pada bahagian belakang mata. Saluran darah koroid, iaitu lapisan nipis antara sklera (lapisan luar putih mata) dan retina (lapisan dalam tisu saraf pada belakang mata) bocor, mengakibatkan pengumpulan cecair dalam tisu sekeliling dan pemisahan makula, iaitu merupakan bahagian tengah retina. CSC biasanya menjejaskan orang muda dan pertengahan umur, terutamanya lelaki. Ia boleh membawa kepada masalah penglihatan. Kebanyakan yang mengalami CSC pulih dengan sendirinya, tetapi sesetengah orang terus mengalami masalah dan boleh kehilangan penglihatan kekal. Pelbagai rawatan telah dicadangkan untuk CSC, termasuk rawatan laser, ubat oral, dan suntikan agen biologi untuk mengurangkan jumlah cecair di bahagian belakang mata.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui jenis rawatan yang sedia ada, dan bagaimana rawatan tersebut dibandingkan antara satu sama lain, untuk mencari rawatan mana yang lebih baik dan selamat berbanding yang lain untuk merawat orang dengan CSC.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang meneliti semua rawatan untuk CSC. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menemui 67 kajian dengan jumlah 4015 orang yang mendaftar daripada Eropah, Amerika Utara dan Selatan, Timur Tengah dan Asia. Semua peserta yang mendaftar adalah serupa dari segi umur dan kebanyakannya adalah lelaki. Para peserta mempunyai keterukan dan tempoh penyakit yang berbeza. Kebanyakan kajian (28, 42%) tidak melaporkan sumber dana; lapan kajian adalah dibiayai oleh industri, 21 kajian adalah bukan industri, dan 10 kajian tidak menerima sebarang sumber sokongan. Kajian tersebut mempertimbangkan julat rawatan yang luas dan menemui beberapa perbezaan dalam kesan. Sebagai kesannya, tidak mencukupi kajian bagi mana-mana rawatan untuk memberikan bukti yang baik tentang kesan rawatan. Tiga intervensi (terapi fotodinamik berdos rendah, suplemen, dan epleneron) boleh merupakan pilihan rawatan yang berkesan, tetapi bukti adalah tidak pasti dan tiada bukti bahawa mereka adalah lebih baik daripada rawatan yang lain. Tiada kemudaratan serius dilaporkan dalam kajian tersebut.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti disebabkan kami tidak menemui banyak kajian yang besar dan bukan kesemua kajian memberikan data yang kami minati. Penemuan ini menunjukkan bahawa penyelidikan yang diterbitkan masa depan adalah berkemungkinan besar untuk mempunyai impak yang penting terhadap kesimpulan yang disediakan pada masa ini untuk ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).