Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat pelbagai rawatan bukan farmakologi untuk mengurus sembelit dan inkontinens najis dalam kalangan orang dengan penyakit neurologi pusat?

Mesej utama

- Dalam kalangan orang dengan penyakit neurologi pusat, sesetengah rawatan bukan ubat, seperti probiotik dan urutan perut, boleh memperbaik gejala sembelit yang dilapor sendiri, manakala yang lain, seperti penilaian kejururawatan holistik, mungkin memperbaik gejala inkontinens najis (FI) yang dilapor sendiri.

- Bukti adalah sangat tidak pasti sama ada sesetengah rawatan bukan ubat (probiotik dan penilaian kejururawatan) memberi sebarang kesan ke atas kualiti hidup orang ramai, masa yang diperlukan untuk penjagaan usus, atau risiko kesan berbahaya atau tidak diingini rawatan tersebut.

- Penyelidikan lanjutan, termasuk ukuran hasil teras khusus, diperlukan dalam bidang ini. Pembangunan ukuran hasil perlu bergantung kepada gejala kualiti hidup utama yang penting kepada kumpulan individu ini.

Bagaimanakah sembelit dan FI (inkontinens najis) mempengaruhi orang dengan penyakit neurologi pusat?

Orang dengan penyakit neurologi pusat, seperti penyakit Parkinson, kecederaan saraf tunjang, sklerosis berbilang dan strok, sering menderita masalah usus. Ini termasuklah sembelit dan FI di mana sesetengah orang akan mengalami kedua-dua masalah. Ia boleh menjadi sangat sukar untuk mengurus sembelit tanpa menyebabkan kebocoran najis atau menghentikannya tanpa menyebabkan sembelit. Orang dengan penyakit neurologi pusat sering perlu memerlukan lebih banyak masa untuk buang air besar, yang boleh menyebabkan kebimbangan,distres dan kurang kualiti hidup.

Bagaimanakah sembelit dan FI diurus dalam kalangan orang dengan penyakit neurologi pusat?

Sembelit dan FI dalam kalangan orang dengan penyakit neurologi pusat boleh diurus dengan beberapa cara. Pilihan bukan ubat untuk pengurusan usus termasuklah rawatan konservatif, seperti membuat pengubahsuaian diet (cth. mengambil probiotik atau prebiotik). Terapi fizikal termasuklah senaman, mengurut kawasan sekitar perut, atau menggunakan air untuk membersihkan usus daripada najis. Pembedahan juga merupakan pilihan rawatan bukan ubat.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu keberkesanan intervensi bukan ubat untuk merawat orang dengann sembelit, FI, atau kedua-duanya, akibat penyakit neurologi pusat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat pilihan pengurusan konservatif, terapi fizikal atau pembedahan berbanding tanpa rawatan, penjagaan biasa (penjagaan yang disampaikan di rumah atau di hospital oleh profesional penjagaan kesihatan) atau rawatan "dummy" yang tidak mengandungi sebarang ubat dalam kalangan orang dengan sembelit, FI, atau kedua-duanya, akibat penyakit neurologi pusat. Kami membanding dan meringkaskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap keputusan tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 25 kajian melibatkan 1598 orang dengan penyakit neurologi pusat dan sama ada sembelit, FI, atau kedua-duanya. Lapan kajian sertakan orang dengan penyakit Parkinson, tujuh kajian menyertakan orang dengan kecederaan saraf tunjang, lima kajian menyertakan orang dengan strok, dua kajian menyertakan peserta dengan sklerosis berbilang, satu kajian memasukkan peserta dengan spina bifida, satu kajian sertakan orang dengan demensia dan satu kajian memasukkan orang dengan masalah pembelajaran yang teruk. Hampir semua kajian-kajiant dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Dua kajian dibiaya oleh industri manakala tiga kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan. Satu kajian mengisytiharkan para pengarang tidak menerima sokongan kewangan. Kajian selebihnya dibiaya sama ada oleh geran penyelidikan, hospital atau pihak berkuasa tempatan, badan amal atau organisasi bukan untung.

Keputusan utama

Kami mendapati 13 kajian membandingkan pilihan pengurusan konservatif dengan penjagaan biasa, tiada rawatan aktif atau plasebo. Pilihan pengurusan konservatif boleh mengakibatkan pengurangan besar dalam gejala inkontinens najis yang dilapor sendiri, dan juga boleh memperbaik gejala sembelit. Selain itu, intervensi konservatif boleh membawa kepada pengurangan purata masa yang diambil untuk penjagaan usus. Walau bagaimanapun, bukti sangat tidak pasti sama ada intervensi konservatif berkesan dalam memperbaik kesejahteraan khusus keadaan, atau berapa banyak kesan sampingan yang mungkin timbul dalam rawatan ini. Tiada kajian yang melaporkan Skor Disfungsi Neurogenik Usus , alat yang diguna untuk mengukur disfungsi usus dalam kalangan orang dengan penyakit neurologi pusat.

Kami mendapati 12 kajian membandingkan terapi fizikal dengan penjagaan biasa, tiada rawatan aktif atau plasebo. Terapi fizikal mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam gejala inkontinens najis tetapi boleh memperbaik sembelit dengan sederhana. Walau bagaimanapun, terapi fizikal mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada Skor Disfungsi Neurogenik Usus. Bukti adalah sangat tidak pasti sama ada terapi fizikal berkesan dalam memperbaik kesejahteraan khusus, jumlah masa yang diperlukan untuk penjagaan usus atau berapa banyak kesan sampingan yang mungkin ditimbulkan oleh rawatan ini.

Apakah batasan bukti?

Secara am, kami kurang yakin dengan bukti kerana cara kajian-kajian dijalankan. Dalam banyak kajian, adalah mungkin untuk orang mengetahui rawatan yang mereka terima, yang mungkin telah mempengaruhi keputusan, dan banyak kajian bermasalah dengan cara melapor keputusan. Di samping itu, kajian-kajian sering mempunyai sangat sedikit peserta . Terdapat kekurangan ukuran seragam dalam penyelidikan yang membolehkan bahagian penyelidikan yang berbeza dibandingkan dan maklumat tentang potensi kesan sampingan rawatan adalah sangat terhad.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 27 Mac 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Unit Kualiti, Hospital Seberang Jaya). Disunting Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Todd CL, Johnson EE, Stewart F, Wallace SA, Bryant A, Woodward S, Norton C. Conservative, physical and surgical interventions for managing faecal incontinence and constipation in adults with central neurological diseases. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 10. Art. No.: CD002115. DOI: 10.1002/14651858.CD002115.pub6.