Langkau ke kandungan utama

Ubat manakah yang terbaik untuk mengurangkan kehilangan darah berlebihan selepas bersalin dan paling kurang kesan tidak diingini?

Mesej utama

  • Kebanyakan ubat (uterotonik) untuk mencegah kehilangan darah berlebihan selepas bersalin (pendarahan postpartum (PPH)) adalah lebih berkesan berbanding tiada rawatan.

  • Ergometrine bersama oksitosin, dan misoprostol bersama oksitosin adalah paling berkesan berbanding oksitosin (rawatan standard).

  • Semua uterotonik, kecuali carbetocin, dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan tidak diingini berbanding oksitosin.

Apakah perdarahan postpartum dan bagaimana ia dirawat?

Perdarahan postpartum (PPH) adalah kehilangan darah berlebihan, lebih daripada 500 mL, dalam 24 jam pertama selepas bersalin. Ia adalah penyebab paling lazim ibu meninggal dunia semasa bersalin di seluruh dunia. Rawatan, seperti transfusi darah atau histerektomi adalah beban ke atas kesihatan wanita dan perkhidmatan kesihatan. Untuk mengurangkan risiko PPH, klinisian sering memberi ubat untuk membuat rahim (rahim) mengecut - uterotonik. Uterotonik termasuklah oksitosin, misoprostol, ergometrine, carbetocin, prostaglandin suntikan dan gabungan ubat-ubatan ini. Ia boleh mengakibatkan kesan tidak diingini, termasuk loya, muntah, cirit-birit dan demam. Oksitosin kini disyorkan sebagai ubat standadr untuk mengurangkan risiko PPH.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu uterotonik mana yang paling berkesan dalam mencegah PPH dan paling kurang kesan tidak diingini. Kami berminat dengan cara ia mencegah kehilangan darah (lebih daripada 500 mL dan lebih daripada 1000 mL); sama ada uterotonik tambahan atau transfusi darah diperlukan; dan kesan-kesan tidak diingini .

Apa yang kami lakukan?

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan dan boleh dipercayai yang menyiasat uterotonik untuk mencegah PPH.

Apa yang kami temui?

Kami temui 122 kajian melibatkan 121,931 wanita di 48 negara. Kebanyakan wanita melahirkan secara normal (vagina) di hospital.

Semua uterotonik lebih berkesan dalam mencegah kehilangan darah berbanding plasebo (ubat palsu) atau tanpa rawatan. Kami tidak pasti tentang suntikan prostaglandin dan ergometrin kerana kami tidak menemui banyak bukti mengenainya. Dua uterotonik yang paling berkesan ialah ergometrin ditambah oksitosin dan misoprostol ditambah oksitosin.

Kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih Berdasarkan keputusan kami, untuk kelahiran faraj, 83 wanita dalam 1000 yang diberi oksitosin akan mengalami kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih.

Berbanding oksitosin:

  • ergometrine ditambah oksitosin mengurangkan kemungkinan kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih. Daripada 1000 wanita dengan kelahiran faraj, 63 yang diberi ergometrin ditambah oksitosin akan mengalami kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih;

  • misoprostol ditambah oksitosin mungkin mengurangkan kemungkinan kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih. Daripada 1000 wanita yang kelahiran faraj, 58 yang diberi misoprostol ditambah oksitosin akan mengalami kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih;

  • carbetocin membuat sedikit atau tiada perbezaan; prostaglandin dan ergometrin yang boleh disuntik mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan. Kami tidak pasti tentang kesan misoprostol.

Kehilangan darah sebanyak 1000 mL atau lebih Berdasarkan keputusan kami, untuk kelahiran faraj, 24 wanita dalam 1000 yang diberi oksitosin akan mengalami kehilangan darah sebanyak 1000 mL atau lebih.

Berbanding oksitosin:

  • carbetocin dan prostaglandin suntikan mungkin, dan misoprostol ditambah oksitosin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan;

  • Misoprostol mungkin kurang berkesan daripada oksitosin; 30 dari 1000 wanita dengan kelahiran faraj yang diberikan misoprostol mungkin mengalami kehilangan darah 1000 ml atau lebih;

  • kami tidak pasti tentang kesan ergometrin, dan ergometrin ditambah oksitosin.

Keputusan lain Berbanding oksitosin:

  • misoprostol ditambah oksitosin mungkin mengurangkan keperluan untuk uterotonik tambahan dan keperluan untuk transfusi darah;

  • carbetocin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada keperluan untuk transfusi darah;

  • kami kurang pasti tentang ubat-ubatan lain .

Kesan yang tidak diingini Berbanding oksitosin:

  • misoprostol mungkin meningkatkan kecenderungan cirit-birit dan boleh meningkatkan kecenderungan loya, muntah dan demam;

  • prostaglandin suntikan boleh meningkatkan kecenderungan cirit-birit;

  • ergometrin mungkin meningkatkan kecenderungan loya dan muntah, dan boleh meningkatkan kecenderungan tekanan darah tinggi, sakit kepala dan cirit-birit;

  • ergometrine ditambah oksitosin boleh meningkatkan kecenderungan loya, muntah dan cirit-birit;

  • misoprostol ditambah oksitosin mungkin meningkatkan kecenderungan loya, muntah dan cirit-birit, dan boleh meningkatkan kecenderungan demam;

  • carbetocin dikaitkan dengan beberapa kesan tidak diingini.

Kami temui keputusan yang serupa, sama ada wanita melahirkan secara normal atau melalui pembedahan caesar, di hospital atau di komuniti, risiko tinggi atau rendah untuk PPH, menerima dos misoprostol yang tinggi atau rendah, dan sama ada mereka menerima satu suntikan besar atau infusi (titisan) oksitosin, atau kedua-duanya.

Apakah batasan bukti?

Kami menemui sedikit maklumat tentang kelahiran di rumah atau tentang wanita yang melahirkan melalui pembedahan caesar, atau yang mempunyai penyakit lain dan yang berisiko tinggi mendapat PPH. Kami tidak membezakan antara dos berbeza dan kaedah pemberian uterotonik berbeza . Tidak semua kajian memberi maklumat tentang kesan tidak diingini, dan mereka menggunakan kaedah berbeza untuk mengukur kehilangan darah.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga 5 Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Gallos ID, Yunas I, Devall AJ, Podesek M, Tobias A, Price MJ, Oladapo OT, Coomarasamy A. Uterotonic agents for preventing postpartum haemorrhage: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD011689. DOI: 10.1002/14651858.CD011689.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan