Langkau ke kandungan utama

Manakah yang lebih berkesan dalam mengurangkan komplikasi pasca pembedahan selepas pembedahan pankreas – penggunaan tiub saliran atau tiada tiub saliran?

Mesej utama

  • Tidak jelas sama ada penggunaan saliran (tiub) menjejaskan komplikasi pasca pembedahan selepas pancreaticoduodenectomy (prosedur Whipple, pembedahan besar yang melibatkan pankreas, duodenum, dan organ lain) atau distal pancreatectomy (pembedahan pembuangan badan dan ekor pankreas).

  • Kami tidak tahu sama ada saliran aktif (sedutan) selepas pancreaticoduodenectomy adalah lebih baik, lebih teruk, atau sama seperti saliran pasif (tiada sedutan).

  • Pembuangan saliran awal mungkin lebih baik daripada pembuangan saliran lewat bagi kadar jangkitan perut untuk orang yang menjalani pancreaticoduodenectomy dengan risiko komplikasi selepas pembedahan yang rendah.

Apakah pembedahan pankreas?

Pembedahan pankreas dilakukan untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk kanser pankreas, pankreatitis kronik (keadaan di mana keradangan berulang merosakkan pankreas secara kekal), dan kanser hempedu dan duodenal. Kadar komplikasi pasca pembedahan selepas pembedahan pankreas adalah tinggi, antara 30% hingga 60%.

Bagaimana ini diuruskan?

Penggunaan saliran pembedahan adalah amalan yang sangat biasa selepas pembedahan pankreas. Bagaimanapun, penempatan rutin saliran pembedahan untuk mengelakkan komplikasi pasca pembedahan selepas pembedahan pankreas telah dipersoalkan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin membandingkan (1) penggunaan saliran berbanding tanpa saliran, (2) jenis saliran berbeza, dan (3) jadual berbeza untuk pembuangan saliran, dengan melihat pada:

  • bilangan kematian pada 30 hari;

  • bilangan kematian pada 90 hari;

  • kadar jangkitan abdomen;

  • kadar jangkitan luka;

  • kadar komplikasi berkaitan saliran.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

  • penggunaan saliran berbanding tiada saliran;

  • jenis saliran yang berbeza; atau

  • jadual berbeza untuk pembuangan saliran.

Tiada sekatan pada bahasa, tarikh penerbitan, atau tetapan kajian. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 12 kajian melibatkan sejumlah 2550 orang. Kajian dijalankan di Amerika Utara, Eropah, dan Asia dan diterbitkan antara 2001 dan 2024. Lapan kajian dibiayai oleh geran bukan komersial. Satu kajian dibiayai oleh sebuah syarikat komersial.

Keputusan utama

Penggunaan saliran (270 orang) berbanding tiada saliran (262 orang) selepas pancreaticoduodenectomy (2 kajian)

Tidak jelas sama ada penggunaan saliran menjejaskan bilangan kematian pada 30 hari, bilangan kematian pada 90 hari, kadar jangkitan luka, atau kadar jangkitan abdomen selepas pancreaticoduodenectomy dibandingkan tanpa saliran. Tiada kajian melaporkan komplikasi berkaitan saliran.

Penggunaan saliran (318 orang) berbanding tiada saliran (308 orang) selepas pancreaticoduodenectomy (2 kajian)

Tiada kematian pada 30 hari dalam kedua-dua kumpulan. Tidak jelas sama ada penggunaan saliran menjejaskan bilangan kematian pada 90 hari, kadar jangkitan luka, atau kadar jangkitan abdomen selepas pancreaticoduodenectomy dibandingkan tanpa saliran. Tiada kajian melaporkan komplikasi berkaitan saliran.

Saliran aktif (222 orang) berbanding saliran pasif (219 orang) selepas pancreaticoduodenectomy (3 kajian)

Tidak jelas sama ada penggunaan saliran menjejaskan bilangan kematian pada 30 hari, kadar jangkitan luka, atau kadar jangkitan abdomen selepas pancreaticoduodenectomy dibandingkan saliran pasif. Tiada kajian melaporkan jumlah kematian pada 90 hari. Tiada komplikasi berkaitan saliran dalam kedua-dua kumpulan.

Pembuangan saliran awal (279 orang) berbanding pembuangan saliran lewat (278 orang) selepas pancreaticoduodenectomy (3 kajian)

Pembuangan saliran awal boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan kematian pada 30 hari atau kadar jangkitan luka selepas pancreaticoduodenectomy dibandingkan dengan pembuangan saliran lewat. Tiada kematian pada 90 hari dalam kedua-dua kumpulan. Pembuangan saliran awal mungkin mengakibatkan sedikit pengurangan dalam kadar jangkitan abdomen (71 kurang jangkitan abdomen bagi setiap 1000 peserta). Tidak ada kajian yang melaporkan komplikasi berkaitan saliran.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana ada kemungkinan orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan maklumat tentang apa yang kami minati. Tambahan pula, beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk kami memastikan keputusan hasil kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Miao C, Hu Y, Bai G, Cheng N, Cheng Y, Wang W. Prophylactic abdominal drainage for pancreatic surgery. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD010583. DOI: 10.1002/14651858.CD010583.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan