Mesej utama
1. Vasodilator (ubat yang melebarkan salur darah) berbanding rawatan palsu atau tanpa rawatan mungkin membantu wanita hamil, tetapi mungkin mempunyai kesan sampingan. Di samping itu, vasodilator berbanding rawatan palsu atau tanpa rawatan, dan berbanding estrogen (hormon seks wanita), boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas peluang wanita membawa kehamilan hingga cukup bulan dan melahirkan bayi.
2. Untuk membuat kesimpulan yang lebih kukuh, kami perlukan kajian-kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan baik tentang rawatan ini.
Latar belakang
Bagi wanita yang menjalani rawatan kesuburan, adalah penting untuk memastikan blastosist (bebola sel yang membahagi dengan pantas untuk menjadi janin) boleh diimplan secara normal di endometrium (lapisan rahim). Terdapat banyak ubat yang boleh meningkatkan kadar implantasi dan kelahiran hidup. Ini termasuk vasodilator, yang melebarkan salur darah untuk menebalkan endometrium dan membantu rahim relaks, antara kesan lain yang boleh menjadikan rahim lebih mudah menerima blastosist.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada vasodilator boleh membantu memperbaik kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan dan ketebalan endometrium. Kami juga ingin tahu sama ada vasodilator mempunyai sebarang kesan ke atas kadar kehamilan berganda (kembar, kembar tiga, dll.), keguguran, dan kehamilan ektopik (apabila telur yang disenyawakan mengimplan di luar rahim), dan sama ada ia mempunyai sebarang kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan vasodilator dengan plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan, atau berbanding ubat yang berbeza, dalam kalangan wanita sebarang umur yang menjalani rawatan kesuburan. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Ciri-ciri kajian
Kami temui 45 kajian yang membandingkan vasodilator dengan plasebo atau tanpa rawatan atau dengan estrogen (salah satu hormon seks utama wanita) dalam kalangan sejumlah 4404 wanita yang menjalani rawatan kesuburan. Kajian-kajian dijalankan di negara berbeza : 20 di Mesir, 12 di Iran, empat di Iraq, tiga di India, satu di Australia, satu di Perancis, satu di UK, satu di Rusia, satu di Belgium dan satu di Korea. Hanya 21 daripada 45 kajian mengisytiharkan sumber dana. Dua daripada kajian ini mengisytiharkan pembiayaan syarikat farmaseutikal. Penyelidik atau institusi bebas membiaya 19 kajian yang lain .
Keputusan utama
Vasodilator berbanding plasebo atau tiada rawatan
Hanya enam kajian melaporkan kelahiran hidup atau kadar kehamilan berterusan dalam perbandingan ini. Vasodilator berbanding plasebo atau tiada rawatan boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kadar kelahiran hidup atau kehamilan berterusan, tetapi mungkin meningkatkan peluang wanita hamil. Vasodilator mungkin mempunyai kesan sampingan, termasuk sakit kepala dan takikardia (degupan jantung lebih cepat daripada biasa), tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kadar peristiwa tidak diingini yang lain (kehamilan berganda, keguguran dan kehamilan ektopik). Kami tidak pasti tentang kesan vasodilator berbanding plasebo atau tiada rawatan terhadap ketebalan endometrium.
Vasodilator berbanding estrogen
Hanya enam kajian melaporkan kelahiran hidup atau kadar kehamilan berterusan dalam perbandingan ini. Vasodilator berbanding estrogen boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kadar kelahiran hidup atau kehamilan yang berterusan, dan kami tidak pasti sama ada ia boleh membantu wanita hamil atau meningkatkan ketebalan endometrium. Bukti tentang keguguran adalah sangat tidak pasti.
Apakah batasan bukti?
Untuk perbandingan pertama (vasodilator berbanding plasebo atau tanpa rawatan), kami sederhana yakin dengan kebanyakan bukti, tetapi kurang yakin dengan keputusan untuk kelahiran hidup dan ketebalan endometrium. Untuk perbandingan kedua (vasodilator berbanding estrogen), kami tidak yakin dengan kebanyakan bukti, dan kami sedikit yakin terhadap keputusan untuk kelahiran hidup. Batasan utama bukti termasuk beberapa kajian adalah sangat kecil, ramai wanita tahu rawatan yang mereka terima, dan keputusan kadang-kadang berbeza dengan ketara dari satu kajian kepada kajian lain.
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membuat kesimpulan lebih kukuh (13 kajian sedang dijalankan dan akan dimasukkan ke dalam ulasan ini dalam kemas kini masa hadapan).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu yang diterbitkan pada 2018. Bukti adalah terkini sehingga April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).