Langkau ke kandungan utama

Adakah pesakit yang pernah mengalami angin ahmar atau strok mini mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk menghidap strok sekali lagi, jika mereka menjalani rawatan belon dan stent untuk melebarkan saluran darah di leher di samping perubahan gaya ...

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Menambah prosedur belon atau stent (angioplasti endovaskular untuk melebarkan saluran darah di leher) di samping rawatan lazim boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemungkinan terjadinya angin ahmar atau strok mini (serangan iskemia sementara (TIA)) susulan berbanding dengan rawatan lazim sahaja.

  • Tahap keyakinan kami terhadap penemuan adalah terhad kerana kajian bersaiz kecil, tiga kajian tersebut ditamatkan awal, dan peserta serta doktor yang terlibat mengetahui rawatan yang diberikan, maka keberkesanan sebenar mungkin lebih baik atau lebih buruk daripada yang keputusan tunjukkan.

  • Kita memerlukan lebih banyak kajian yang bersaiz lebih besar, dan dijalankan dengan lebih baik untuk menyiasat persoalan ini. Kajian masa hadapan harus menumpukan di mana dan sejauh mana keparahan penyempitan saluran darah, apa kaedah yang digunakan untuk menanganinya, dan memantau pesakit untuk lebih lama.

Apakah itu stenosis arteri vertebra?

Arteri vertebra merupakan saluran darah yang mengalir dari tulang selangka sepanjang tulang belakang di leher dan membekalkan darah ke bahagian belakang otak. Lama-kelamaan, deposit lemak boleh terkumpul di dinding saluran darah ini, menjadikannya sempit dan menyekat aliran darah. Ini dipanggil stenosis. Dalam kajian dalam ulasan ini, sesetengah pesakit mengalami penyempitan di bahagian arteri vertebra di luar tengkorak dan bahagian yang berada di dalam tengkorak. Penyempitan ini meningkatkan risiko strok (kerosakan otak akibat kehilangan bekalan darah) atau strok mini (serangan iskemia sementara (TIA)). Sesetengah orang tidak menunjukkan gejala, dan penyempitan hanya dapat dilihat pada imbasan. Pesakit yang pernah mengalami strok atau strok mini yang disebabkan penyempitan arteri vertebra menghidap stenosis arteri vertebra simptomatik (VAS).

Bagaimanakah stenosis arteri vertebra (VAS) simptomatik dirawat?

VAS simptomatik dirawat dengan mengurus faktor risiko, contohnya, dengan berhenti merokok, bersenam, dan menurunkan berat badan. Ubat-ubatan yang mengurangkan risiko darah beku, mengawal tekanan darah dan kolesterol, dan menguruskan diabetes juga digunakan.

Bagi sesetengah pesakit, doktor memasukkan tiub kecil (kateter) melalui arteri di pangkal paha atau pergelangan tangan dan menujukannya ke segmen arteri vertebra yang sempit. Belon dikembangkan untuk melebarkan kawasan yang sempit, dan kadangkala stent (tiub kecil) diletakkan di kawasan sempit untuk memastikan saluran arteri tetap terbuka. Prosedur ini dipanggil 'angioplasti endovaskular.'

Rawatan pembedahan lain, yang bukan menjadi tumpuan ulasan ini (seperti pembedahan rekonstruksi terbuka, pembedahan pintasan, dan endarterektomi), telah digunakan, tetapi ianya lebih invasif dan boleh mempunyai risiko dan masa pemulihan yang berbeza.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penambahan angioplasti endovaskular kepada rawatan lazim (perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan) mengurangkan kemungkinan penghidap VAS bergejala mengalami angin ahmar atau strok mini ulangan berbanding dengan pesakit yang menerima penjagaan lazim sahaja. Kami juga ingin mengetahui sama ada ia mengurangkan risiko kematian atau komplikasi serius (seperti stenosis ulang) dan meningkatkan fungsi harian peserta.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal yang menyelidik gabungan angioplasti endovaskular dan rawatan lazim berbanding rawatan lazim sahaja dalam kalangan penghidap VAS simptomatik.

Kami membandingkan dan menggabungkan keputusannya. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 429 orang penghidap VAS bergejala (kebanyakannya lelaki) dengan purata umur 63 tahun. Dalam kalangan ini, 231 peserta menjalani angioplasti endovaskular berserta rawatan lazim, dan 198 orang menerima rawatan lazim sahaja. Sebahagiannya mengalami penyempitan di dalam tengkorak dan yang lain di luar tengkorak.

Tiga kajian ditamatkan awal, dan mustahil untuk memastikan peserta dan doktor tidak mengetahui rawatan yang telah diberikan. Secara keseluruhan, menggabung prosedur berserta rawatan perubatan boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kematian atau kejadian angin ahmar dalam tempoh 30 hari, atau terhadap angin ahmar, TIA, atau kematian semasa susulan. Beberapa orang mengalami komplikasi serius daripada prosedur tersebut. Tiada kajian melaporkan keputusan untuk stenosis ulang (penyempitan saluran darah berulang) atau hasil fungsi yang baik. Tempoh susulan adalah jangka pendek (dalam tempoh 30 hari selepas rawatan) atau jangka panjang (dari 30, dalam lingkungan 32 hingga 42 bulan selepas rawatan).

Keputusan utama

Bagi penghidap VAS simptomatik, penambahan angioplasti endovaskular dengan rawatan lazim boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan pada:

  • kematian atau kejadian angin ahmar jangka pendek (30 hari) (4 kajian; 429 peserta);

  • angin ahmar jangka panjang () daripada arteri vertebra yang dirawat (4 kajian; 429 peserta);

  • sebarang angin ahmar, kematian, atau strok mini semasa tempoh susulan (4 kajian; 429 peserta).

Beberapa orang mengalami komplikasi serius daripada prosedur tersebut. Tiada kajian melaporkan keputusan untuk stenosis ulang atau hasil fungsi yang baik.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah atas beberapa sebab:

  • Kajian adalah kecil, dan hanya beberapa peserta yang pernah mengalami angin ahmar atau strok mini.

  • Tiga kajian tamat awal, jadi mereka tidak melaporkan semua data yang ingin kami selidiki.

  • Peserta kajian mengetahui rawatan yang diterima, dan mungkin mempengaruhi keputusan.

  • Tiga kajian telah selesai antara tahun 2014 dan 2017, jadi mereka tidak menggunakan teknik, stent dan rawatan yang terkini.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga 9 Disember 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Zhang X, Cui S, Wang T, Wang X, Yang K, Dmytriw AA, Li J, Xu W, Li T, Ma Y, Yang B, Jiao L, Xu R. Percutaneous transluminal angioplasty and stenting for vertebral artery stenosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 4. Art. No.: CD013692. DOI: 10.1002/14651858.CD013692.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan