Langkau ke kandungan utama

Statin boleh membantu mengurangkan risiko kematian dalam kalangan penghidap penyakit buah pinggang kronik yang tidak memerlukan dialisis

Apakah isunya?
Orang dewasa yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) mempunyai risiko kejadian kardiovaskular yang tinggi, dengan tahap kolesterol serum dan trigliserida yang tinggi, faktor yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular. Terapi statin membantu menurunkan tahap kolesterol buruk (lipoprotein berketumpatan rendah) dan mempunyai kesan perlindungan kardiovaskular selain pengurangan kolesterol. Bagi orang yang tidak memerlukan dialisis, terapi statin telah terbukti mengurangkan kematian dan kejadian kardiovaskular. Namun, kajian dalam populasi ini telah menunjukkan kesan yang tidak jelas mengenai strok, kegagalan buah pinggang, dan kemudaratan seperti kerosakan otot (rabdomiolisis).

Apa yang kami lakukan?
Kami melihat 62 kajian yang diterbitkan sebelum 4 Oktober 2023 mengenai statin dalam lebih 50,000 orang pesakit CKD yang tidak memerlukan rawatan dialisis. Ulasan ini adalah ulasan sistematik yang berterusan. Carian untuk bukti baru akan dijalankan setiap tiga bulan, dan ulasan akan dikemas kini dengan sewajarnya.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati bahawa berbanding plasebo, terapi statin mengurangkan kematian dan kejadian utama berkaitan jantung, dengan satu dalam 13 orang yang menerima terapi statin mengelak kejadian berkaitan jantung dan satu dalam 26 orang mengelak kematian. Terapi statin mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap strok dan kegagalan buah pinggang (apabila pesakit bermanfaat daripada dialisis atau pemindahan buah pinggang). Manfaat terapi statin juga terbukti dalam kalangan pesakit CKD tetapi bukan penyakit jantung. Statin mempunyai beberapa potensi bahaya; walau bagaimanapun, kami mendapati mungkin terdapat tiada kesan terhadap kanser, fungsi hati atau penarikan diri daripada rawatan disebabkan kejadian buruk. Terdapat pelaporan terhad mengenai kerosakan otot dalam kajian.

Kajian tidak mengenal pasti jenis atau dos statin pilihan dalam merawat pesakit CKD yang tidak memerlukan dialisis.

Kesimpulan
Statin mengurangkan kematian, kejadian utama kardiovaskular dan infarksi miokardium dalam kalangan pesakit CKD sederhana. Keterhadan data yang berkaitan dengan ketoksikan rawatan mengakibatkan kesan-kesan yang tidak pasti.

Nota editorial: Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Tunnicliffe DJ, Palmer SC, Cashmore BA, Saglimbene VM, Krishnasamy R, Lambert K, Johnson DW, Craig JC, Strippoli GFM. HMG CoA reductase inhibitors (statins) for people with chronic kidney disease not requiring dialysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2023, Issue 11. Art. No.: CD007784. DOI: 10.1002/14651858.CD007784.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan