Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah aterektomi (memotong atau mengisar plak lemak yang mengeras) dalam arteri kaki lebih baik daripada prosedur invasif minimum yang lain untuk penyakit arteri periferal?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Nampaknya terdapat sedikit atau tiada perbezaan sama ada dari segi manfaat atau kemudaratan apabila penggunaan aterektomi (prosedur invasif minimum yang menggunakan peranti untuk memotong atau mengisar plak lemak yang mengeras) dibandingkan dengan rawatan konvensional, termasuk angioplasti belon (belon digunakan untuk meregangkan arteri yang menyempit atau tersumbat) dengan atau tanpa stenting (tiub yang digunakan untuk membuka segmen arteri). Walau bagaimanapun, ini berdasarkan bukti yang berkualiti rendah dan oleh itu penemuan daripada ulasan ini sangat tidak pasti.

  • Kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan lebih baik diperlukan untuk menilai penggunaan aterektomi dengan lebih baik dibandingkan rawatan konvensional yang lain.

Apakah penyakit arteri periferal (PAD)?

Penyakit arteri periferal adalah keadaan lazim di mana plak lemak akibat penyempitan atau penyumbatan arteri kaki. Individu yang menghidap keadaan ini boleh mengalami sakit semasa berjalan, sakit semasa berehat atau ulser kaki disebabkan oleh bekalan darah yang tidak mencukupi. Bilangan orang dengan penyakit arteri periferal semakin meningkat di seluruh dunia.

Bagaimanakah keadaan tersebut dirawat?

Pilihan rawatan adalah terapi berjalan kaki, pembedahan terbuka menggunakan saluran darah atau cantuman untuk memintas bahagian arteri yang menyempit atau tersumbat, atau pembedahan invasif minimum. Pilihan untuk pembedahan invasif minimum termasuk angioplasti belon, apabila belon yang kempis dimasukkan ke dalam penyempitan melalui dawai, kemudian ditiup untuk meregangkan arteri, dan stenting (digunakan sebagai tambahan kepada angioplasti belon), yang memegang bahagian belon yang diregangkan untuk sokongan tambahan.

Pilihan terakhir, yang jarang digunakan, adalah teknik yang disebut aterektomi. Rawatan ini menggunakan peranti yang memotong atau mengisar pemendapan yang mengeras (ateroma) di dalam arteri. Aterektomi kurang dikaji dengan baik berbanding kaedah rawatan yang lain. Walaupun begitu, penggunaan aterektomi semakin meningkat.

Apakah yang ingin diketahui?

Persoalan utama yang ingin kami nilai ialah sama ada aterektomi adalah lebih baik daripada angioplasti belon, stenting atau pembedahan pintasan terbuka untuk merawat orang dengan penyakit arteri periferal. Kami juga ingin mengetahui sama ada aterektomi adalah lebih baik daripada angioplasti belon untuk penyakit arteri periferal yang terletak di kaki, di atas lutut dan sama ada penggunaan belon atau stent yang melepaskan ubat mempunyai sebarang kesan terhadap hasil.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan aterektomi dengan mana-mana kaedah yang lain untuk merawat penyakit arteri periferal. Kami menggabungkan hasil kajian ini dengan kajian yang telah dikenal pasti dalam dua versi ulasan ini sebelum ini. Kami menilai keyakinan keseluruhan kami terhadap kajian-kajian ini berdasarkan reka bentuk dan saiznya.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui empat kajian baharu yang membandingkan aterektomi dengan pilihan rawatan invasif minimum yang lain (angioplasti belon dengan atau tanpa stenting), menjadikan sejumlah 11 kajian, dengan sejumlah 814 peserta, disertakan dalam ulasan ini. Hanya satu kajian membandingkan aterektomi dengan stenting, dengan selebihnya membandingkan aterektomi dengan angioplasti belon. Kebanyakan kajian sama ada dijalankan di Eropah atau Amerika Syarikat, dengan baki kajian dari China. Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan aterektomi dengan pembedahan pintasan terbuka.

Daripada penilaian data daripada kajian yang dikenal pasti, nampaknya terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara aterektomi dan angioplasti belon atau stenting primer apabila melihat hasil berikut: mengekalkan patensi saluran (keterbukaan) pada 6 dan 12 bulan, risiko kematian, risiko penyakit atau kecederaan berikutnya pada jantung atau saluran darah, kemungkinan memerlukan rawatan berulang pada arteri sasaran atau risiko komplikasi keseluruhan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti tersebut kerana, dalam beberapa kajian, ada kemungkinan peserta dan penilai menyedari rawatan yang diterima oleh individu. Tambahan pula, tidak semua peserta disusuli sepanjang tempoh kajian, dan tidak semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati.

Adakah bukti ini yang terkini?

ulasan ini merupakan kemas kini ulasan Cochrane sebelumnya diterbitkan pada tahun 2014 dan 2020. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Dikemskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Pherwani S, Gendia A, Sen S, Ambler GK, Hinchliffe RJ, Twine CP. Atherectomy for peripheral arterial disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD006680. DOI: 10.1002/14651858.CD006680.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan