Langkau ke kandungan utama

Penapis-penapis

Evidence

Handbooks/Manuals

Berita

Apakah manfaat dan risiko tambahan zat besi untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik malaria?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Tambahan zat besi tidak meningkatkan risiko malaria dalam kalangan kanak-kanak apabila perkhidmatan pencegahan dan pengurusan malaria tersedia.

  • Tambahan zat besi boleh meningkatkan sedikit risiko malaria di kawasan tanpa perkhidmatan pencegahan dan pengurusan malaria, tetapi peningkatan risiko adalah kecil.

  • Kajian masa depan diperlukan untuk lebih memahami kumpulan kanak-kanak mana yang paling mendapat manfaat, sama ada asid folik mengubah kesan zat besi, dan cara pemberian zat besi yang selamat di persekitaran perkhidmatan malaria terhad .

Apakah anemia dan malaria?

Anemia ialah keadaan di mana badan tiada sel darah merah sihat yang cukup untuk membawa oksigen kepada tisu-tisu. Ia sering disebabkan oleh kekurangan zat besi dalam diet, yang membawa kepada gejala seperti keletihan, kelemahan, dan pertumbuhan serta perkembangan yang lemah dalam kalangan kanak-kanak.

Malaria adalah penyakit serius yang disebabkan oleh parasit yang disebar kepada orang melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti. Ia lazim di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Gejala termasuk demam, menggigil, dan penyakit seperti selesema, dan boleh mengancam nyawa jika tidak segera dirawat.

Di kawasan endemik malaria, iaitu malaria sentiasa wujud dan berlaku pada kadar yang agak stabil dan boleh diramal sepanjang tahun, terdapat kebimbangan pemberian tambahan zat besi kepada kanak-kanak mungkin meningkatkan risiko mereka mendapat malaria. Ini kerana parasit malaria memerlukan zat besi untuk membesar, oleh itu paras zat besi yang lebih tinggi dalam darah berpotensi membantu parasit tersebut. Walau bagaimanapun, anemia boleh melemahkan sistem imun, menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan, termasuk malaria.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada pemberian tambahn zat besi kepada kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik malaria adalah selamat dan berkesan. Secara khusus, kami berhasrat untuk menentukan sama ada pemberian tambahan zat besi kepada kanak-kanak di kawasan endemik malaria mempengaruhi risiko:

  • malaria klinikal (ditakrif sebagai demam dan parasit malaria dalam darah);

  • malaria teruk (bentuk penyakit yang lebih berbahaya yang boleh mengakibatkan koma, anemia teruk, atau kegagalan organ);

  • kematian; dan

  • kemasukan ke hospital atau lawatan ke klinik.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada pemberian tambahan zat besi (dengan atau tanpa asid folik) kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang tinggal di kawasan penularan malaria yang tinggi. Ini termasuk semua kajian-kajian daripada versi ulasan 2016 serta kajian-kajian yang baru dikenal pasti. Kami sertakan kajian yang membandingkan tambahan zat besi dengan plasebo (pil palsu) atau tiada rawatan. Kami juga sertakan kajian-kajian yang melihat pemberian zat besi bersama rawatan antimalaria.

Kami temui 40 kajian melibatkan 33,785 kanak-kanak. Kami bandingkan dan ringkaskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

  • Rawatan zat besi menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam malaria klinikal; mengurangkan sedikit risiko malaria teruk; dan boleh menyebab sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian atau kemasukan ke hospital dan lawatan klinik.

  • Zat besi dengan asid folik boleh menyebab sedikit atau tiada perbezaan dalam malaria teruk, kematian dan kemasukan ke hospital.

  • Di kawasan dengan pencegahan dan pengurusan malaria yang baik termasuk kelambu, penyemburan untuk mengurangkan populasi nyamuk dan akses kepada ujian dan rawatan, zat besi boleh mengurang risiko malaria klinikal. Di kawasan di mana sumber tersebut tidak tersedia, zat besi boleh meningkatkan risiko malaria klinikal.

  • Zat besi yang digabung dengan profilaksis malaria dapat mengurangkan malaria klinikal dengan ketara; mungkin tidak mengurangkan risiko kematian; dan mungkin mengurangkan kemasukan ke hospital dan lawatan ke klinik.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah berbeza-beza. Kami yakin tambahan zat besi oral tidak meningkatkan risiko malaria klinikal atau teruk. Dalam kes di mana keyakinan kami terhad, kajian-kajian tidak memberi maklumat terperinci tentang cara ia dijalankan, menyukarkan untuk tahu jika penemuan mereka boleh dipercayai. Di kawasan tanpa perkhidmatan pencegahan dan pengurusan malaria, bukti adalah kurang pasti kerana ia berdasarkan terutamanya kepada satu kajian besar. Akhir sekali, maklumat kami tentang kesan gabungan zat besi dengan asid folik adalah terhad.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 20 Mei 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Itzkovich M, Neuberger A, Harris I, Yahav D, Paul M, Gilboa M. Oral iron supplements for children in malaria-endemic areas. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD006589. DOI: 10.1002/14651858.CD006589.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan