Mesej utama
Mengambil persediaan zat besi oral (melalui mulut) mungkin meningkatkan simpanan zat besi dalam darah dibandingkan tidak mengambil persediaan zat besi oral .
Lebih tinggi zat besi dalam darah bermakna lebih ramai orang boleh menderma yang mana telah ditangguhkan (dihentikan daripada menderma kerana tahap zat besi yang rendah).
Lebih ramai orang yang mengambil tablet zat besi mungkin mengalami kesan tidak diingini seperti masalah usus semasa mengambil tablet, sekurang-kurangnya pada mulanya, dibandingkan orang yang tidak mengambil tablet zat besi.
Apakah makanan tambahan zat besi, dan bagaimana ia boleh membantu dalam pendermaan darah?
Kekurangan zat besi merupakan akibat biasa penangguhan (berhenti daripada menderma) dalam orang yang ingin menderma darah. Jika zat besi dikeluarkan dari badan melalui pendermaan darah tidak digantikan, maka penderma mungkin mengalami kekurangan zat besi. Semua penderma akan ditapis pada setiap lawatan untuk tahap zat besi yang rendah. Zat besi biasanya boleh diisi semula melalui pemakanan yang sihat, tetapi ia boleh mengambil masa yang lama. Makanan tambahan zat besi menggunakan tablet atau suntikan boleh mengurangkan masa ini dan membantu penderma kembali dapat menderma lebih awal.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian tablet zat besi atau suntikan zat besi kepada bakal penderma darah akan meningkatkan simpanan zat besi dalam darah mereka, dan kurang kemungkinan mereka ditangguhkan (dihentikan) daripada menderma kerana mereka mempunyai terlalu sedikit zat besi dalam darah mereka.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang dibandingkan pemberian suplemen zat besi (sebagai tablet, suntikan, atau infusi (ke dalam vena)) dengan tanpa pemberian makanan tambahan zat besi, serta membandingkan berbeza jenis zat besi dan dos zat besi berbeza . Kami membanding dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 8 kajian baharu, dengan sejumlah 38 kajian (7475 orang). Zat besi paling kerap diberikan sebagai tablet harian (secara oral), dengan hanya lima kajian yang melihat kaedah yang lain (suntikan atau infusi terus ke dalam darah).
Tablet zat besi mungkin meningkatkan simpanan zat besi dalam darah apabila diambil dalam masa beberapa minggu atau bulan dibandingkan dengan tidak mengambil tablet zat besi. Ini mungkin membolehkan lebih ramai orang menderma pada percubaan mereka yang seterusnya (kadar penangguhan yang lebih rendah) (7 kajian, 1647 orang untuk penangguhan).
Lebih ramai orang yang mengambil tablet zat besi mengalami kesan tidak diingini , kebanyakannya masalah usus seperti sakit perut, sembelit (najis keras), dan cirit-birit (najis cair dan berair), dibandingkan mereka yang tidak mengambil tablet zat besi (8 kajian, 2641 orang).
Tiada perbezaan dalam masalah bukan usus (seperti sakit kepala) antara orang yang mengambil tablet zat besi dan mereka yang tidak, dan mereka yang mengambil tablet zat besi menemui mereka mempunyai kurang "kelemahan" berbanding mereka yang tidak mengambil tablet.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari tinggi hingga sangat rendah. Dalam beberapa kes, keyakinan kami adalah terhad kerana sebahagian kajian yang digunakan adalah sangat lama atau melibatkan bilangan peserta yang kecil. Selain itu, ada kajian yang tidak melaporkan semua hasil yang dirancang, dan terdapat kemungkinan bahawa peserta dalam kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka terima. Kami ingin menilai bagaimana jenis-jenis zat besi yang berbeza atau dos yang berbeza memberi kesan yang berbeza, serta kesannya terhadap lelaki dan wanita secara berasingan, dan juga sama ada mereka sudah mempunyai simpanan zat besi yang rendah dalam darah. Namun, tidak semua kajian memberikan maklumat ini, jadi jawapan yang diperoleh tidak sejelas yang diharapkan.
Adakah bukti ini yang terkini?
ulasan ini mengemas kini ulasan kami sebelum ini, akhir diterbitkan pada tahun 2014. Bukti ini terkini sehingga Januari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadhirah Azizan (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




