Mesej utama
Steroid adalah kerap digunakan selepas pemindahan buah pinggang untuk membantu mencegah badan daripada menolak buah pinggang baru. Walau bagaimanapun, mereka boleh mengakibatkan kesan-kesan sampingan, seperti pertambahan berat badan, gula dalam darah yang tinggi, dan tulang yang lebih lemah. Terdapat pilihan yang berbeza untuk mengurangkan penggunaan steroid, tetapi mereka perlu dipertimbangkan dengan teliti terhadap kemungkinan risiko penolakan buah pinggang (di mana sistem imun badan menyerang buah pinggang yang telah dipindahkan).
Kami telah menemui bahawa penghindaran atau penarikan steroid dalam orang dewasa yang menerima pemindahan buah pinggang mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian atau betapa lama buah pinggang yang telah dipindahkan terus berfungsi. Penghindaran steroid mungkin meningkatkan risiko penolakan buah pinggang, tetapi penarikan steroid kemudian boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko penolakan.
Penghindaran steroid mungkin mengurangkan risiko mengalami diabetes selepas pemindahan. Penghindaran atau penarikan steroid mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap jangkitan atau komplikasi berkaitan jantung.
Apakah isu yang dibangkitkan?
Pemindahan buah pinggang biasanya merupakan rawatan pilihan untuk orang dengan kegagalan buah pinggang (semasa buah pinggang berhenti berfungsi dengan betul). Kebanyakan orang dengan pemindahan buah pinggang menerima steroid sebagai sebahagian daripada rawatan mereka. Steroid membantu mencegah penolakan buah pinggang baru (di mana sistem imun badan menyerang buah pinggang yang telah dipindahkan) tetapi juga boleh mengakibatkan kesan-kesan sampingan seperti pertambahan berat badan, gula dalam darah tinggi, dan tulang yang lebih lemah.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui manfaat dan risiko pengurangan penggunaan steroid selepas pemindahan buah pinggang. Khususnya, kami telah melihat kepada dua strategi utama.
Penghindaran steroid, di mana steroid digunakan untuk kurang daripada 14 hari selepas pemindahan.
Penarikan steroid, di mana steroid digunakan untuk lebih daripada 14 hari tetapi kemudian dihentikan pada suatu ketika selepas itu.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada manfaat dan risiko penghindaran atau penarikan steroid selepas pemindahan buah pinggang.
Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah mengulas 53 kajian yang melibatkan 8317 penerima pemindahan buah pinggang; tiga daripada kajian tersebut melibatkan kanak-kanak. Bilangan peserta yang telah dirawakkan ke dalam kajian ini adalah antara 21 hingga 560, dan kebanyakan kajian telah dijalankan di Eropah dan Amerika Syarikat. Kajian-kajian tersebut telah membandingkan kaedah berbeza untuk mengurangkan penggunaan steroid.
Dalam kalangan penerima buah pinggang orang dewasa, kami telah menemui bahawa penghindaran atau penarikan steroid mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian atau betapa lama buah pinggang yang dipindahkan terus berfungsi. Penghindaran steroid mungkin meningkatkan risiko penolakan buah pinggang, tetapi penarikan steroid kemudian boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko penolakan.
Penghindaran steroid mungkin mengurangkan risiko mengalami diabetes selepas pemindahan.
Penghindaran atau penarikan steroid mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap jangkitan atau komplikasi berkaitan jantung.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sangat sedikit sehingga sederhana keyakinan terhadap bukti disebabkan kajian-kajian telah menggunakan pelbagai rawatan tambahan yang berbeza, dan kebanyakan kajian telah diterbitkan lebih daripada 10 tahun yang lalu. Tambahan pula, strategi-strategi tersebut mungkin hanya sesuai untuk sesetengah penerima pemindahan buah pinggang, terutamanya mereka yang berisiko rendah untuk penolakan buah pinggang. Selain itu, kebanyakan kajian telah menyertakan orang dewasa dengan pemindahan satu buah pinggang. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap keputusan yang telah kami temui untuk kanak-kanak. Keputusan tentang penggunaan steroid perlu dibuat dalam perbincangan antara peserta dan doktor pemindahan mereka, dengan mengambil kira risiko penolakan dan keadaan kesihatan yang lain.
Adakah ini ulasan yang terkini?
Ulasan ini terkini sehingga April 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




