Mesej utama
-
Senaman mungkin sederhana berkesan berbanding tiada terapi untuk mengurangkan gejala kemurungan.
-
Bukti menunjukkan senaman memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam pengurangan gejala kemurungan berbanding terapi psikologi atau antidepresan, tetapi kesimpulan ini adalah berdasarkan beberapa kajian kecil.
-
Kajian-kajian tersebut mengukur hasil pada akhir rawatan, dan kebanyakan kajian tidak menyusuli peserta dalam jangka masa panjang.
-
Kesan yang tidak diingini daripada senaman adalah tidak lazim, hanya mempengaruhi sebilangan kecil peserta.
Apakah itu kemurungan?
Kemurungan adalah penyakit lazim, yang mempengaruhi lebih 100 juta orang di seluruh dunia. Kemurungan boleh memberi impak yang ketara ke atas kesihatan fizikal, serta mengurangkan kualiti hidup mereka.
Bagaimana kemurungan dirawat?
Penyelidikan menunjukkan kedua-dua rawatan farmakologi (ubat antidepresan) dan terapi psikologi (iaitu rawatan bercakap yang bertujuan untuk mengubah pemikiran, emosi atau tingkah laku seseorang) berkesan untuk merawat kemurungan. Walau bagaimanapun, ramai orang lebih suka mencuba pendekatan alternatif . Beberapa garis panduan kesihatan mencadangkan senaman boleh digunakan sebagai rawatan alternatif .
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada senaman mengurangkan gejala kemurungan dan meningkatkan kualiti hidup orang dengan kemurungan, dan kami ingin tahu bagaimana senaman berbanding ubat-ubatan, terapi psikologi dan rawatan alternatif . Kami juga ingin tahu jika senaman dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini dan jika ia berbaloi untuk harga yang dibayar. Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu yang diterbitkan pada 2013.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) (iaitu kajian di mana orang diletakkan dalam kumpulan rawatan secara rawak) yang menilai keberkesanan senaman untuk merawat kemurungan dalam kalangan dewasa (berumur 18 tahun ke atas). Kajian-kajian perlu membandingkan senaman dengan rawatan aktif lain (contohnya ubat atau terapi psikologi) atau intervensi tidak aktif (contohnya tiada rawatan , dimasukkan ke dalam senarai menunggu, atau diberi rawatan plasebo (iaitu rawatan tidak aktif yang kelihatan seperti rawatan sebenar)). Semua kajian mesti melibatkan orang dewasa dengan diagnosis kemurungan, dan aktiviti fizikal yang dijalankan mesti sesuai dengan definisi 'senaman'.
Kami menjelaskan, menilai dan merumus keputusan-keputusan kajian. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti saiz kajian dan kaedah yang diguna untuk menjalankannya. Kami encari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian hingga November 2023.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 73 kajian melibatkan sekurang-kurangnya 4985 dewasa dengan kemurungan. Risiko bias sesetengah kajian adalah tinggi, yang mengurangkan keyakinan kami terhadap penemuan-penemuannya.
Senaman mungkin mengurangkan gejala kemurungan berbanding tiada terapi, walaupun bukti kesan jangka panjang adalah tidak pasti.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam gejala kemurungan antara orang yang melakukan senaman dan mereka yang menerima terapi psikologi. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam gejala kemurungan antara orang yang melakukan senaman dan mereka yang mengambil antidepresan.
Tidak kelihatan perbezaan antara pelbagai intervensi dari segi kebolehterimaan sebagai rawatan, seperti yang diukur dengan bilangan peserta yang melengkapkan kajian.
Manfaat senaman berbanding tanpa terapi, terapi psikologi atau rawatan farmakologi terhadap kualiti hidup adalah tidak konsisten dan tidak pasti.
Peristiwa buruk daripada senaman adalah tidak lazim. Sebilangan kecil peserta yang mengalaminya sering melaporkan masalah otot dan sendi atau kemurungan yang semakin teruk.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kebanyakan kajian sertakan bilangan orang yang agak kecil dan berisiko bias tinggi dari segi kaedah-kaedah penyelidikan yang mereka gunakan. Selain itu, kebanyakan kajian hanya meinilai kesan senaman untuk tempoh yang singkat. Faktor-faktor ini mengehadkan keyakinan kami terhadap penemuan ulasan. Penyelidikan masa hadapan harus memfokus kepada memperbaik kualiti kajian, mengenal pasti ciri-ciri senaman yang berkesan untuk pelbagai orang, dan memastikan pelbagai jenis orang disertakan dalam kajian supaya isu ekuiti kesihatan dapat dipertimbangkan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wong Wai Kay (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.