Mesej utama
– Bagi individu yang mengalami kegagalan jantung dengan rentak jantung yang normal, nampaknya terdapat sedikit atau tiada kelebihan ubat warfarin (antikoagulan: ubat yang menghalang pembekuan darah dengan menyekat protein) berbanding dengan ubat antiplatelet seperti aspirin (yang menghalang pembekuan darah dengan menyekat platelet).
– Rawatan dengan warfarin membawa kepada lebih banyak masalah berdarahan berbanding dengan aspirin atau clopidogrel.
Bagaimanakah rawatan antikoagulan dan antiplatelet membantu individu dengan kegagalan jantung?
Sesetengah individu dengan kegagalan jantung mempunyai rentak jantung yang tidak normal (dikenali sebagai fibrilasi atrium) tetapi terdapat juga yang mempunyai rentak jantung yang normal (dikenali sebagai rentak sinus). Individu dengan kegagalan jantung mungkin mempunyai aliran darah yang lebih perlahan di dalam jantung, yang menyebabkan mereka berisiko membentuk darah beku. Pembekuan darah boleh dibentuk oleh protein pembekuan (faktor pembekuan) dan sel darah melekit (platelet).
Ramai individu yang mengalami kegagalan jantung dengan rentak normal mempunyai arteri jantung yang sempit, dan doktor sering memberi mereka aspirin, iaitu ubat yang boleh mengurangkan pembekuan dengan menyekat platelet. Individu dengan kegagalan jantung juga berisiko mengalami pembekuan darah (tromboembolisme) dalam paru-paru, kaki dan otak (strok iskemia), yang boleh menyebabkan hilang upaya dan kematian.
Ubat antikoagulasi oral (OAC) seperti warfarin boleh menyekat protein pembekuan dan membantu menghalang darah beku daripada terbentuk. Warfarin diketahui lebih baik daripada aspirin bagi individu dengan kegagalan jantung yang mempunyai rentak jantung yang tidak normal, jadi beberapa kajian telah mencuba untuk mengetahui sama ada semua individu dengan kegagalan jantung (termasuk mereka yang mempunyai rentak jantung normal) harus menerima OAC.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara kesan antikoagulan dan antiplatelet bagi individu dengan kegagalan jantung dan rentak jantung normal. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada jenis ubat itu memberi sebarang perbezaan kepada risiko kematian, komplikasi pembekuan (cth serangan jantung atau strok), atau masalah pendarahan yang serius.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang memberikan sekurang-kurangnya sebulan ubat antiplatelet atau antikoagulan kepada individu dewasa dengan kegagalan jantung dengan rentak normal, dan jenis rawatan yang dipilih adalah secara rawak. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan dua kajian, yang merawat sejumlah 4187 orang.
Kami menemui bahawa risiko kematian adalah hampir serupa, tidak kira sama ada individu-individu tersebut mengambil aspirin atau warfarin dalam empat kajian . Tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan faedah-faedah warfarin berbanding aspirin dalam pengurangan kemungkinan komplikasi pembekuan darah, seperti sakit jantung atau strok. Walaubagaimanapun, pesakit-pesakit yang menggunakan warfarin mengalami pendarahan yang serius sebanyak dua kali ganda berbanding dengan pesakit yang menggunakan aspirin. Satu kajian bersaiz sederhana juga dibandingkan warfarin dengan ubat antiplatelet lain, clopidogrel, dan menunjukkan keputusan yang sama: tiada perbezaan dalam kejadian kematian atau komplikasi pembekuan, tetapi peluang yang lebih tinggi untuk mengalami pendarahan yang serius.
Kemungkinan bahawa penyelidikan masa depan akan mengubah kesimpulan ini adalah rendah, kecuali ubat-ubatan yang lebih berkesan dan selamat tersedia.
Apakah batasan bukti?
Kami hanya sederhana yakin dengan bukti yang membandingkan warfarin dengan aspirin kerana terdapat beberapa kes komplikasi pembekuan dan berdarahan, dan kerana tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan risiko kematian.
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang membandingkan warfarin dengan clopidogrel kerana bukti hanya berdasarkan beberapa kes dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan penemuan itu.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ini adalah kemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga April 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Dikemaskini. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).