Langkau ke kandungan utama

Progestagens (hormon seks sintetik) untuk gejala sakit yang berkaitan dengan endometriosis

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Progestagen (hormon seks sintetik) yang diambil melalui mulut (secara lisan) mungkin mengurangkan gejala sakit yang berkaitan dengan endometriosis dengan lebih baik berbanding dengan plasebo (rawatan palsu). Berapa banyak progestagen boleh mengurangkan gejala sakit bergantung pada jenis kesakitan dan tempoh rawatan. Perbandingan progestagen oral dengan strategi rawatan hormon yang lain menunjukkan keputusan yang tidak meyakinkan untuk sakit keseluruhan, sakit pelvis, haid yang menyakitkan dan seks yang menyakitkan.

• Perbandingan progestagen depot (suntikan bertindak panjang) dengan kontraseptif oral, terapi hormon pelepas gonadotropin (GnRH) (agonis dan antagonis GnRH, yang berfungsi dengan mengurangkan paras estrogen dan progesteron), peranti pelepas levonorgestrel intrauterin (peranti kecil yang dimasukkan ke dalam rahim yang melepaskan progestagen levonorgestrel), dan implan kontraseptif etonogestrel (batang plastik kecil diletakkan di bawah kulit lengan) menunjukkan keputusan yang tidak meyakinkan untuk kesakitan keseluruhan, sakit pelvis, sakit haid dan seks yang menyakitkan. Progestagen depot mungkin mempunyai lebih sedikit kesan tidak diingini berbanding dengan agonis GnRH . Tiada perbezaan yang jelas dalam kesan tidak diingini apabila progestagen depot dibandingkan dengan rawatan yang lain.

• Walaupun wujudnya kebatasan, ulasan itu menekankan keperluan untuk penyelidikan tambahan dalam rawatan endometriosis.

Apakah itu endometriosis?

Endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang serupa dengan lapisan rahim (uterus) tumbuh di bahagian badan yang lain. Ia menjejaskan 5% hingga 10% wanita dalam usia reproduktif dan bilangan individu yang pelbagai jantina tidak diketahui. Endometriosis sering menyebabkan sakit, terutamanya semasa haid. Pil hormon, suntikan, atau implan - dipanggil progestagen - sedang dikaji sebagai rawatan. Mereka mungkin dapat mengecutkan pertumbuhan tersembunyi endometriosis.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana progestagen berfungsi di kalangan pesakit endometriosis. Secara khusus, kami berminat dengan kesan progestagen pada sakit, kualiti hidup dan kepuasan pesakit. Kami juga ingin mengetahui sama ada progestagen mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai progestagen terhadap plasebo (rawatan dummy) atau ubat yang lain di kalangan pesakit endometriosis bergejala. Pemilihan dan analisis kajian melibatkan beberapa pengarang dan alat ulasan.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 33 kajian yang merekrut 5059 individu dengan endometriosis.

Penemuan berikut terhad oleh bilangan kajian yang kecil untuk setiap perbandingan dan setiap hasil.

• Berbanding dengan plasebo, progestagen oral berkemungkinan mengurangkan sakit keseluruhan pada enam bulan dan sakit haid pada tiga bulan.
• Berbanding dengan kontraseptif oral dan agonis GnRH, progestagen oral tidak mempunyai kesan yang jelas terhadap pengurangan sakit, kualiti hidup dan kesan tidak diingini.
• Berbanding dengan agonis GnRH, progestagen depot mengurangkan kesakitan haid tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada sakit pelvis pada enam bulan. Risiko untuk mengalami sebarang kesan tidak diingini mungkin lebih rendah dengan progestagen depot berbanding agonis GnRH.
• Berbanding dengan antagonis GnRH, progestagen depot mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap pengurangan kesakitan atau risiko mengalami sebarang kesan tidak diingini. Walau bagaimanapun, orang yang menerima progestagen depot lebih berkemungkinan besar untuk menarik diri daripada kajian ini oleh sebab kesan yang tidak diingini.
• Kami tidak pasti tentang kesan progestagen depot berbanding dengan implan etonogestrel terhadap sakit, kepuasan pesakit dan kesan buruk.

Penemuan-penemuan ini mencadangkan keberkesanan yang berlainan antara progestagen yang berbeza terhadap gejala endometriosis, menekankan keperluan untuk penyelidikan lanjut.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Hanya terdapat beberapa kajian dalam setiap kumpulan perbandingan. Kebanyakan kajian tersebut mempunyai sedikit peserta. Kajian yang lebih besar dengan lebih ramai peserta diperlukan untuk mengetahui sama ada penemuan ini adalah konklusif.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti tersebut adalah terkini sehingga 29 Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (IMU University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Chen I, Kives S, Zakhari A, Nguyen DB, Goldberg HR, Choudhry AJ, Le A-L, Kowalczewski E, Schroll JBennekou. Progestagens for pain symptoms associated with endometriosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD002122. DOI: 10.1002/14651858.CD002122.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan