Langkau ke kandungan utama

Sejurus selepas mengeluarkan bayi pramasa dari mesin pernafasan, adakah bermanfaat untuk menyampaikan aliran udara bertekanan yang stabil melalui hidung untuk memastikan salur udara mereka terbuka?

Mesej utama

• Tekanan salur udara positif berterusan nasal (menyampaikan aliran udara stabil ke paru-paru melalui hidung) boleh mengurangkan masalah pernafasan selepas bayi pramasa dikeluarkan dari mesin pernafasan.
• Kami tidak tahu sama ada tekanan salur udara positif berterusan nasal mengurangkan risiko kembali ke mesin pernafasan atau mengurangkan risiko kerosakan paru-paru akibat mesin pernafasan.
• Kami fikir tidak perlu kajian lanjut mengenai topik ini.

Apakah tekanan salur udara positif berterusan nasal?

Tekanan saluran udara positif berterusan(CPAP) adalah satu bentuk sokongan pernafasan yang sering disebut sebagai ventilasi tidak invasif. Bayi dengan CPAP bernafas sendiri, tetapi aliran udara bertekanan yang stabil membantu menjaga salur udara dan paru-paru terbuka dan membuat pernafasan lebih mudah. CPAP biasanya disampaikan melalui hidung (nasal CPAP). Oksigen biasanya disampaikan bersama tekanan positif mengikut keperluan bayi.

Bagaimanakah CPAP nasal dapat membantu bayi pramasa?

Bayi yang berpenyakit paru-paru mungkin perlukan bantuan pernafasan melalui ventilator. Tiub dimasukkan ke dalam salur udara dan ventilator mengembangkan paru-paru secara regular, mengambil alih kebanyakan tugas bernafas untuk bayi. Walaupun ventilator boleh menyelamatkan nyawa, ia juga boleh memudaratkan paru-paru bayi. Oleh itu, penting untuk mengeluarkan bayi dari mesin pernafasan (ekstubasi) secepat mungkin. Walau bagaimanapun, akibat paru-paru bayi dan mekanisme kawalan pernafasan yang kurang matang, mereka sering sukar untuk bernafas dengan sendiri. Mereka perlu kemasukan semula tiub ke dalam paru-paru dan diletak semula kepada ventilator. Penggunaan CPAP nasal sejurus selepas ekstubasi mungkin mengkurangkan risiko ini.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin membandingkan CPAP nasal dengan tanpa CPAP. Pada masa lalu, oksigen diberi melalui kotak kepala, tudung plastik jernih yang mengelilingi kepala bayi dan memberi oksigen yang hangat dan lembap. Kaedah lain untuk menyampaikan aliran oksigen bertekanan rendah juga tersedia, seperti tiub nipis yang diletakkan ke dalam hidung bayi. Kami ingin tahu sama ada bayi yang diekstubasi kepada CPAP nasal mengalami kurang kesukaran bernafas selepas ekstubasi, dan berisiko lebih rendah untuk keperluan kemasukan semula tiub (reintubasi). Kami juga ingin tahu sama ada CPAP nasal mengurangkan risiko kerosakan paru-paru dan membantu perkembangan normal otak bayi selama dua tahun atau lebih.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melibatkan bayi pramasa yang dianggap bersedia untuk ekstubasi dan diberi sama ada CPAP nasal atau tiada CPAP. Kami mensintesis penemuan dari kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti menggunakan kriteria yang ditetapkan.

Apakah yang kami temui?

Kami temui sembilan kajian yang menyertakan 726 bayi. Lapan kajian adalah dari negara berpendapatan tinggi (AS, UK, Yunani, Jepun, dan Australia), dan satu dari Chile (dikelaskan sebagai pendapatan pertengahan atas ketika kajian itu dijalankan). Tujuh kajian telah dijalankan sebelum tahun 2000. Semua kajian membandingkan CPAP nasal dengan oksigen di kotak kepala.

Keputusan utama

Bayi yang diberi CPAP nasal selepas ekstubasi kurang kemungkinan mengalami kesukaran bernafas dan memerlukan reintubasi berbanding bayi yang diberi oksigen kotak kepala; walau bagaimanapun, keputusan untuk reintubasi sangat tidak pasti. Kami tidak tahu sama ada CPAP nasal mengurangkan kerosakan paru-paru akibat ventilator, dan tiada kajian yang menjelaskan perkembangan otak dari usia dua tahun.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah. Pertama, beberapa kajian menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan ralat dalam keputusan mereka. Orang yang melakukan kajian itu mengetahui sama ada bayi itu menerima NCPAP atau tidak, dan ini boleh mempengaruhi cara mereka merawat bayi tersebut. Kedua, keputusan merentasi kajian-kajian yang berbeza agak tidak konsisten. Akhirnya, oleh kerana keputusan-keputusan agak tidak tepat, kami tidak dapat tahu sama ada manfaatnya besar atau kecil.

Adakah bukti ini mutakhir?

Kajian ini mengemas kini ulasan terdahulu (2003). Bukti adalah terkini sehingga September 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Ho JJ, Kidman AM, Chua B, Chang G, Fiander M, Davis PG. Nasal continuous positive airway pressure immediately after extubation for preventing morbidity in preterm infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 10. Art. No.: CD000143. DOI: 10.1002/14651858.CD000143.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan