Intervensi untuk melambatkan progresi rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak

Mesej utama

• Ubat-ubatan seperti atropin, diberi sebagai titisan mata, boleh melambatkan progresi rabun jauh (miopia) dalam kalangan kanak-kanak, dan juga mengurangkan pemanjangan bola mata akibat miopia. Dos atropin yang lebih tinggi adalah paling berkesan. Kami tidak pasti mengenai kesan dos atropin yang lebih rendah.

• Beberapa rawatan, termasuk jenis kanta khas pada cermin mata serta kanta sentuh, mungkin melambatkan progresi rabun jauh, tetapi kesannya masih tidak pasti dan tiada maklumat yang cukup tentang risiko kesan yang tidak diingini.

• Adalah tidak jelas sama ada laporan manfaat ubat atau kanta terhadap progresi miopia dapat dikekalkan di masa akan datang.

Apa itu rabun jauh?

Rabun jauh (atau miopia) bermaksud sesorang sukar melihat objek yang jauh dengan jelas, manakala objek yang dekat kekal jelas. Ia adalah lazim di seluruh dunia, dan mempengaruhi lebih separuh kanak-kanak di China dan Asia Tenggara. Rabun jauh boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan, termasuk aktiviti pendidikan dan pekerjaan. Tambahan juga, orang yang rabun jauh mempunyai mata yang lebih panjang, yang bermaksud retina diregangkan. Ini menyebabkan mata lebih berisiko mendapat penyakit mata seperti glaukoma, masalah pada makula dan penanggalan retina di kemudian hari.

Bagaimanakah rabun jauh dirawat?

Walaupun cermin mata konvensional atau kanta sentuh mampu membetulkan penglihatan jauh, ia tidak melambatkan progresinya. Beberapa rawatan optik (cermin mata dan kanta sentuh) dan ubat-ubatan yang tersedia bertujuan memperlahankan progresi rabun jauh. Tetapi ia perlu diberi pada zaman kanak-kanak, apabila rabun jauh progres paling cepat. Ubat-ubatan seperti titisan mata atropin mungkin berkesan, tetapi boleh menyebabkan peningkatan sensitiviti kepada silau dan menyebabkan masalah semasa membaca, terutamanya pada dos yang lebih tinggi. Cermin mata khas juga tersedia, yang merangkumi lebih daripada satu kuasa fokus dalam kanta (kanta multifokal atau kanta periferi tambahan). Ini juga boleh disediakan sebagai kanta sentuh lembut. Kanta sentuh lain, dipanggil orthokeratology, bertujuan untuk mengubah bentuk permukaan mata buat sementara waktu dan dipakai semasa tidur dan dikeluarkan di siang hari. Kedua-dua kanta sentuh lembut dan orthokeratology boleh meningkatkan risiko jangkitan pada permukaan mata

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada ubat yang digunakan sebagai titisan mata, dan kanta khas dalam cermin mata atau kanta sentuh, boleh melambatkan progresi miopia, serta pemanjangan bola mata. Kami juga mendokumenkan risiko kesan yang tidak diingini daripada intervensi tersebut.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menguji ubat dan kanta yang bertujuan memperlahankan progresi rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak, berbanding kumpulan kawalan atau ubat dan kanta lain. Kumpulan kawalan biasanya menerima rawatan plasebo (sham) atau cermin mata atau kanta sentuh penglihatan tunggal .

Apa yang kami temui?

• Dos atropin lebih tinggi boleh mengurangkan progresi rabun jauh, tetapi kesan atropin dos rendah mungkin kecil dan tidak pasti.

• Berdasarkan kajian jangka pendek, orthokeratology adalah rawatan optik yang paling berkesan dalam memperlahankan pemanjangan bola mata. Kanta ini selalunya sukar diterima, walau bagaimanapun, dengan lebih separuh kanak-kanak tidak melengkapkan rawatan dalam beberapa kajian.

• Jenis kanta sentuh lain, seperti kanta sentuh lembut multifokal, mungkin juga mengurangkan progresi rabun jauh, tetapi, sekali lagi, kami masih tidak pasti tentang kesan manfaatnya.

• Kesan yang tidak diingini berkaitan intervensi kawalan miopia tidak dilaporkan secara konsisten. Ketidakselesaan mata dalam cahaya terang dan penglihatan dekat yang kabur adalah kesan tidak diingini berkaitan rawatan yang paling lazim dalam kajia-kajian yang menggunakan atropin. • Dos atropin yang lebih rendah menunjukkan kurang kesan yang tidak diingini.

• Walaupun kajian-kajian yang menguji kanta sentuh tidak melaporkan sebarang kesan tidak diingini yang serius,oleh itu tidak jelas apakah kadar sebenar kesan yang tidak diingini untuk kanak-kanak di luar kajian penyelidikan atau apabila memakai kanta sentuh untuk tempoh yang lebih lama.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan bukti adalah daripada kajian yang dijalankan dengan cara yang mungkin telah memperkenalkan ralat dalam keputusannya, dan potensi kesan yang tidak diingini tidak dilaporkan dengan baik. Majoriti kajian menyusul peserta selama 2 tahun atau kurang. oleh itu tiada bukti yang cukup sama ada manfaat tambahan di masa akan datang dan sama ada kesannya dikekalkan.

Sejauh mana bukti terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Iismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information