Sejauh manakah kejayaan program pemakanan sihat di prasekolah, tadika dan tetapan penjagaan kanak-kanak?

Mesej utama

• Program pemakanan sihat yang disampaikan dalam tetapan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECEC) (cth. prasekolah, tadika, jagaan harian keluarga) boleh meningkatkan kualiti diet kanak-kanak, berkemungkinan meningkatkan pengambilan buah-buahan, mungkin memberi kesan yang baik terhadap pengambilan sayur-sayuran, dan berkemungkinan tidak memberi kesan kepada pengambilan makanan yang kurang sihat dan minuman bergula. Mereka mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap berat badan kanak-kanak dan boleh mengurangkan risiko berat badan berlebihan atau obes.

• Kami tidak tahu sama ada intervensi pemakanan sihat menjimatkan wang atau menyebabkan kesan yang tidak diingini kerana sangat sedikit kajian memberikan maklumat tentang perkara ini.

• Kami menemui sedikit bukti daripada negara berpendapatan rendah dan sederhana, tetapi program pemakanan sihat di negara berpendapatan tinggi boleh memberi manfaat kepada kesihatan kanak-kanak. Kami tidak tahu bagaimana untuk menyokong pendidik dan kakitangan untuk melaksanakan program ini dilapangan. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan tentang penyampaian program dan tentang kesannya di negara berpendapatan rendah.

Mengapa penting untuk menambahbaik diet kanak-kanak?

Mempunyai diet yang tidak baik menyebabkan orang ramai berisiko mendapat banyak penyakit jangka panjang termasuk penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan jenis kanser tertentu. Penyelidikan menganggarkan bahawa lebih 11 juta kematian di seluruh dunia disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat. Tingkah laku dan keutamaan pemakanan ditetapkan pada awal kehidupan dan berterusan sehingga dewasa.

Apakah program pemakanan sihat?

Program pemakanan sihat bertujuan menggalakkan kanak-kanak mengamalkan diet yang lebih sihat. Ia mungkin melibatkan perubahan kepada pelajaran dan budaya di prasekolah, tadika dan pusat jagaan harian (tetapan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECEC)), dan bekerja dengan keluarga kanak-kanak, guru dan kakitangan penjagaan kesihatan. Contohnya, memperkenalkan buah-buahan dan sayur-sayuran baharu kepada kanak-kanak, menukar menu untuk memasukkan pilihan yang lebih sihat atau menyediakan keluarga dengan maklumat tentang pemakanan sihat kanak-kanak. Program pemakanan sihat boleh mewujudkan corak pemakanan sihat sepanjang hayat, mengurangkan pertambahan berat badan yang berlebihan dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui kesan intervensi pemakanan sihat terhadap diet dan kesihatan kanak-kanak. Kami berminat dengan perubahan pada diet, berat badan, bahasa dan prestasi kognitif, sosial, emosi dan kualiti hidup dalam kalangan kanak-kanak berumur enam bulan hingga enam tahun yang menghadiri prasekolah, penjagaan harian panjang, taska, tadika dan perkhidmatan penjagaan harian keluarga. Kami juga ingin mengetahui kos intervensi dan sama ada ia mempunyai potensi kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan program pemakanan sihat dengan tiada tindakan, penangguhan penyampaian program atau program yang tidak bertujuan untuk mengubah diet kanak-kanak.

Berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian, kami telah membuat perbandingan dan rumusan hasil-hasil kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami menemui 52 kajian yang melihat kesan 58 program pemakanan sihat dalam tetapan ECEC untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga enam tahun. Semua kajian diterbitkan di negara berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi. Program-program itu sangat berbeza antara satu sama lain. Ianya:

• berlangsung dari 4 minggu hingga 3 tahun;

• dihantar oleh pelbagai orang termasuk penyedia penjagaan kesihatan, kakitangan ECEC dan penyelidik;

• menggunakan kaedah penghantaran yang berbeza (telefon, bersemuka, dalam talian, bahan bercetak); dan

• keputusan diukur dalam pelbagai cara (cth. tinjauan ibu bapa atau kakitangan, pemerhatian terhadap pemakanan kanak-kanak, dan menimbang makanan sebelum dan selepas makan).

Secara keseluruhannya, program ini bertujuan untuk:

• mengubah persekitaran ECEC (cth. kakitangan menunjukkan pemakanan sihat kepada kanak-kanak, dan menyediakan makanan yang lebih sihat);

• menukar kurikulum (cth mereka menyediakan pelajaran tentang makanan dan pemakanan sihat); dan

• mewujudkan perkongsian (cth mereka menyediakan sumber pendidikan kepada keluarga); dan

• meningkatkan aktiviti fizikal kanak-kanak (cth dengan pelajaran aktiviti fizikal berstruktur dan menggalakkan kurang masa skrin).

Program pemakanan yang sihat boleh membawa kepada peningkatan kecil dalam kualiti diet kanak-kanak, meningkatkan penggunaan buah sebanyak 0.11 hidangan, berpotensi meningkatkan penggunaan sayur-sayuran sebanyak 0.12 hidangan dan mungkin tidak mempunyai kesan ke atas pengambilan makanan yang kurang sihat dan minuman manis. Selanjutnya, kami mendapati berat kanak-kanak berpotensi dikurangkan sebanyak 230 g dan bagi setiap 100 kanak-kanak, 19 akan mempunyai status berat badan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui bukti kesan ke atas indeks jisim badan. Program ini mungkin kos efektif dan mungkin tidak mempunyai kesan yang tidak diingini, walaupun beberapa kajian melaporkan perkara ini. Beberapa kajian melaporkan hasil pembelajaran, sosial dan perkembangan lain.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah kerana program pemakanan sihat telah dijalankan, disampaikan dan dinilai dengan cara yang berbeza. Selain itu, ramai orang yang menerima program pemakanan sihat sedar bahawa mereka sedang dinilai dan ini kadangkala boleh mempengaruhi cara mereka melaporkan kesannya. Sebagai contoh, ibu bapa yang melaporkan diet anak mereka mungkin lebih cenderung untuk memberikan jawapan yang positif kerana mereka merasakan mereka melakukan apa yang diharapkan masyarakat atau kerana mereka berterima kasih atas sokongan dan ingin menggembirakan penyelidik. Selain itu, tidak semua kajian memberikan maklumat tentang semua yang kami minati dan sering terdapat data yang hilang apabila kanak-kanak disusuli selepas kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (KP Kok Lanas). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information