Ubat perencat cyclo-oxygenase profilaksis untuk mencegah morbiditi dan kematian pada bayi pramatang

Soalan ulasan

Antara ubat perencat cyclo-oxygenase (COX-I) yang tersedia (indomethacin, ibuprofen, acetaminophen), yang mana satu adalah paling selamat dan paling berkesan dalam mencegah kematian dan kesan buruk pada bayi pramatang apabila diberikan secara profilaksis tanpa pengetahuan awal tentang kehadiran patent ductus arteriosus (PDA) dalam tempoh 72 jam pertama selepas kelahiran?

Latar belakang

PDA adalah komplikasi yang biasa berlaku dalam kalangan bayi pramatang atau bayi yang lahir dengan berat badan yang rendah. PDA merupakan saluran vaskular terbuka di antara paru-paru dan jantung yang biasanya tutup sejurus selepas kelahiran. Dalam bayi pramatang, PDA sering terbuka dan boleh menyumbang kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Ubat COX-I seperti indomethacin, ibuprofen dan acetaminophen boleh mencegah PDA dan hasil buruk yang berkaitan. Kontroversi wujud antara tiga ubat COX-I yang manakah, jika ada, meningkatkan hasil klinikal pada bayi pramatang.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk percubaan rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang disertakan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bayi pramatang (lahir kurang dari 37 minggu kehamilan) atau bayi yang lahir dengan berat rendah (berat kurang dari 2500 gram) di mana ubat COX-I diberikan tanpa pengetahuan awal tentang kehadiran PDA, dalam tempoh 72 jam pertama selepas kelahiran. Kajian yang disertakan membandingkan pemberian indomethacin atau ibuprofen atau acetaminophen berbanding satu sama lain, plasebo atau tiada rawatan.

Keputusan utama

Ulasan terhadap 28 ujian klinikal (3999 bayi pramatang) mendapati bahawa indometacin profilaksis mungkin mengakibatkan pengurangan kecil dalam pendarahan otak yang teruk, pengurangan sederhana dalam kematian dan keperluan untuk pembedahan PDA, dan mungkin mengakibatkan peningkatan kecil dalam penyakit paru-paru kronik. Indomethacin profilaksis berkemungkinan mengakibatkan perbezaan kecil dalam necrotizing enterocolitis, perforasi gastrousus dan cerebral palsy. Ibuprofen profilaksis mungkin mengakibatkan pengurangan kecil dalam pendarahan otak yang teruk dan pengurangan sederhana dalam keperluan untuk pembedahan PDA. Ibuprofen profilaksis boleh mengakibatkan pengurangan sederhana dalam kematian dan perbezaan remeh dalam penyakit paru-paru kronik dan necrotizing enterocolitis. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan acetaminophen terhadap mana-mana hasil yang berkaitan secara klinikal. Pada masa ini terdapat dua percubaan berterusan mengenai penggunaan acetaminophen secara profilaksis.

Kepastian bukti

Menurut GRADE (satu kaedah untuk menentukan skor kepastian kajian yang menyokong setiap hasil), kepastian bukti bervariasi dari sangat rendah hingga sederhana tetapi adalah sederhana untuk hasil yang paling penting iaitu pendarahan otak dan kematian.

Sejauh manakah bukti ini terkini

Carian adalah terkini hingga 9 Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information