Pandangan komuniti tentang pemberian ubat besar-besaran untuk filariasis: sintesis bukti kualitatif

Apakah yang dikaji dalam sintesis ini?

Pemberian ubat besar-besaran (MDA) melibatkan penghantaran ubat-ubatan rawatan secara berkala kepada seluruh populasi, tidak mengira sama ada seseorang individu menghidap penyakit itu atau tidak, dan bertujuan untuk mencegah penularan seterusnya (berlalu dari satu orang kepada orang lain). Perkara ini kini disyorkan untuk beberapa program kawalan penyakit di negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk penyakit parasit filariasis limfatik, yang boleh mengakibatkan bengkak anggota badan dan hilang upaya. Bagi kerajaan dan perkhidmatan kesihatan mereka hal ini adalah tugas logistik yang besar yang memerlukan wang dan kakitangan, dan kejayaan bergantung kepada komuniti yang mengambil ubat yang diberikan.

Dalam ulasan ini, kami mencari kajian yang meneroka cara orang melihat dan mengalami program ini. Kami mengumpul semua kajian yang relevan dan memasukkan 29 kajian di dalam sintesis ini.

Apakah matlamat sintesis ini?

Dalam sintesis penyelidikan kualitatif ini, kami menyasarkan untuk meneroka pandangan orang ramai tentang program MDA untuk merawat filariasis limfatik di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mesej utama

Orang ramai mesti mempertimbangkan beberapa faktor sebelum membuat keputusan untuk mengambil ubat. Tidak semua orang mendapat manfaat daripada MDA dan sesetengahnya mungkin mengalami mudarat. Oleh itu, keputusan untuk mematuhi, bergantung pada keseimbangan yang kompleks antara kepercayaan mereka terhadap kerajaan yang mengedarkan ubat-ubatan; pemahaman awal mereka tentang penyakit dan pengetahuan yang mereka terima mengenai program; pengalaman mereka tentang mudarat; pengaruh keluarga, jiran, dan kakitangan kesihatan; dan pengalaman dan persepsi mereka terhadap orang yang mengedarkan ubat-ubatan tersebut.

Apakah penemuan utama?

Kami memasukkan 29 kajian dalam analisis kami. Kajian meliputi pelbagai negara di Afrika, Asia Tenggara, dan Amerika Selatan, walaupun kebanyakannya dijalankan di India. Kajian ini terutamanya meneroka pandangan dan pengalaman ahli komuniti dan mereka yang mengedarkan ubat-ubatan di negara berpendapatan rendah di mana filariasis limfatik dianggap sebagai masalah. Daripada data, empat tema muncul.

Orang ramai menimbang faedah dan mudarat sebelum mengambil bahagian. Orang ramai memahami bahawa mereka boleh mengurangkan penderitaan, stigma dan kos berkaitan penyakit (keyakinan tinggi); namun, faedah ini tidak selalu sepadan dengan pengalaman mereka (keyakinan tinggi). Khususnya, kesan sampingan adalah menakutkan dan tidak diingini (keyakinan tinggi); dan kesan ini diperkuatkan melalui khabar angin dan media sosial (keyakinan sederhana).

Ramai orang curiga dengan program MDA. Apabila orang tidak mempunyai penjelasan terperinci tentang program dan pengalaman mereka mengenainya, mereka sering membangunkan penjelasan berdasarkan latar belakang sejarah dan tahap kepercayaan orang ramai terhadap tokoh pihak berkuasa yang relevan (keyakinan tinggi), walaupun ada yang mempunyai kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan mereka dan lanjutannya program tersebut (keyakinan sederhana).

Program mengharapkan pematuhan, dan boleh menjadi paksaan dan menyalahkan. Pekerja kesihatan dan ahli komuniti memberi stigma pada ketidakpatuhan, yang boleh menjadi paksaan (keyakinan sederhana), jadi komuniti mungkin kelihatan mematuhi secara terbuka, tetapi secara persendirian menolak rawatan (keyakinan sederhana).

Pengedar komuniti selalunya tidak dihormati atau dihargai. Mereka mempunyai sedikit kuasa (keyakinan sederhana), dan tingkah laku sesetengah pihak merosakkan reputasi program MDA (keyakinan tinggi). Komuniti mahukan maklumat tentang program untuk membantu membuat keputusan tentang penyertaan, tetapi pengedar ubat tidak cukup bermaklumat, atau mahir dalam komunikasi ini (keyakinan tinggi).

Kami tidak dapat menilai kesan reka bentuk program terhadap persepsi masyarakat tentang program dan keputusan untuk mematuhi kerana aspek ini terlalu serupa dalam semua kajian.

Sejauh manakah sintesis ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sebelum 8 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information