Persepsi dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan terhadap integrasi penjagaan kesihatan primer: ulasan luas bukti kualitatif

Apakah integrasi penjagaan kesihatan primer?

Penyepaduan penjagaan kesihatan primer ialah satu cara untuk menggabungkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer yang berbeza yang sebelum ini telah diberi secara berasingan. Matlamat integrasi ini biasanya adalah untuk memberi orang ramai akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan dan untuk menggunakan sumber kesihatan yang terhad dengan lebih cekap.

Mengapa penting untuk mengetahui pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan?

Integrasi penjagaan kesihatan primer telah dilaksanakan di banyak negara dengan kejayaan yang berbeza-beza. Pekerja penjagaan kesihatan boleh mempengaruhi sejauh mana perubahan tersebut dalam perkhidmatan kesihatan dilaksanakan dengan jayanya. Mempelajari pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan tentang integrasi penjagaan kesihatan primer boleh membantu kami memahami cara pekerja penjagaan kesihatan mungkin mempengaruhi pelaksanaannya dan kejayaan atau kegagalannya.

Apakah tujuan ulasan skop ini?

Ulasan skop ini telah mencari dan memetakan kajian kualitatif (kajian tanpa data berangka) tentang pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan terhadap integrasi penjagaan kesihatan primer. Kami ingin menerangkan penyelidikan yang ada untuk membantu memaklumkan ulasan sistematik dan kajian penyelidikan masa depan dalam bidang ini.

Bagaimana kita mengenal pasti dan memetakan bukti?

Kami telah mencari semua kajian kualitatif yang diterbitkan yang melaporkan pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan terhadap integrasi penjagaan kesihatan primer sehingga 28 Julai 2020. Kami telah menghuraikan kaedah kajian yang berbeza, negara, skop dan jenis pendekatan integrasi penjagaan kesihatan primer, dan pelbagai jenis pekerja penjagaan kesihatan dan kumpulan pelanggan yang terlibat. Seterusnya, kami telah mengumpulkan kajian ke dalam kategori.

Apa yang kami dapati?

Kami telah menyertakan 184 kajian. Kajian-kajian tersebut adalah dari 37 negara. Sekitar separuh kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi dan separuh lagi di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Kajian yang kami temui meliputi pelbagai tetapan, peserta dan jenis integrasi penjagaan kesihatan primer. Terdapat konfigurasi berbeza yang mana program perkhidmatan penjagaan kesihatan digabungkan untuk penyampaian perkhidmatan bersepadu. Ini telah dikategorikan kepada enam konfigurasi berikut: kesihatan mental; HIV, tuberkulosis, dan kesihatan reproduktif seksual; kesihatan ibu, wanita dan anak; penyakit tidak berjangkit (contohnya, penyakit jantung, diabetes); integrasi kesihatan primer am, dan perkhidmatan bersekutu dan khusus. Kami juga meneroka sama ada penyampaian perkhidmatan bersepadu telah disepadukan sepenuhnya atau sebahagiannya, dan strategi penyepaduan berbeza yang digunakan untuk menghubungkan dan menyelaraskan perkhidmatan.

Orang yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan intervensi integrasi termasuk penggubal dasar, pengurus kanan, pengurus pertengahan dan barisan hadapan, doktor, profesional penjagaan kesihatan bersekutu, pekerja kesihatan awam dan kakitangan sokongan sistem kesihatan. Pelbagai pelanggan adalah penerima perkhidmatan bersepadu.

Rumusan pengarang

Ulasan skop ini menunjukkan pelbagai pendekatan integrasi penjagaan kesihatan primer yang telah dikaji. Para penyelidik dan pembuat keputusan perlu memahami hubungan antara pendekatan dan konteks penyepaduan yang berbeza, dan cara pekerja penjagaan kesihatan mempengaruhi kesan penyepaduan ini. Kategori kajian yang telah kami bangunkan boleh membantu para penyelidik memahami pelbagai jenis pendekatan integrasi ini dan untuk mengenal pasti soalan yang lebih tertumpu untuk ulasan sistematik masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information