Terapi untuk merawat anemia kekurangan zat besi bagi penyakit Crohn (Crohn’s disease) dan kolitis ulseratif (ulcerative colitis)

Apakah matlamat kajian ini?

Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada rawatan untuk orang dengan penyakit Crohn dan kolitis ulseratif dapat membaik pulih anemia kekurangan zat besi.

Kami meneliti maklumat daripada 11 kajian untuk menjawab persoalan ini.

Mesej-mesej utama

Besi dalam bentuk karboksimaltosa besi (ferric carboxymaltose) yang diberi intravena mungkin lebih baik daripada besi sukrosa (iron sucrose) yang diberi secara intravena dalam membaik pulih anemia kekurangan zat besi, walaupun pesakit bertambah pulih menggunakan kedua-dua rawatan ini.

Besi oral dalam bentuk ferrik maltol (ferric maltol) mungkin lebih baik berbanding dengan plasebo (rawatan dummy).

Tidak jelas sama ada rawatan lain yang dipertimbangkan lebih baik daripada satu sama lain. Hanya bukti terhad yang dijumpai disebabkan jumlah kajian dan isu kualiti pelaporan kajian penyelidikan yang rendah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit kolitis ulseratif dan penyakit Crohn biasanya mempunyai paras zat besi rendah yang menurunkan paras hemoglobin (darah) mereka (ini dinamai anemia). Gejala-gejala anemia termasuk keletihan dan kesakitan.

Terdapat beberapa rawatan untuk mengatasi anemia kekurangan zat besi, yang terdiri daripada memberikan zat besi tambahan secara makan atau intravena. Rawatan tambahan, eritropoietin, turut dikaji boleh merangsang tubuh badan untuk menghasilkan lebih banyak darah.

Pada masa ini, belum ada kata sepakat antara doktor rawatan manakah yang lebih baik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mencari ujian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal yang mana orang dimasukkan secara rawak dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan mana-mana rawatan antara satu sama lain ataupun plasebo. Kami menemui 11 RCT yang melibatkan 1670 peserta. Kajian itu hanya meneliti peserta golongan dewasa sahaja.

1) Zat besi intravena dalam bentuk karboksimaltosa besi (ferric carboxymaltose) mungkin menyebabkan lebih banyak orang mengalami penambahbaikan dalam anemia kekurangan zat besi daripada sukrosa besi intravena (satu orang tambahan akan bertambah baik untuk setiap 9 yang dirawat dan lima daripada 10 orang akan bertambah baik dengan kedua-dua terapi tersebut).

2) Besi oral seperti ferrik maltol dapat menyebabkan lebih banyak orang mengalami resolusi kekurangan zat besi daripada rawatan dummy.

3) Tidak jelas sama ada terdapat perbezaan antara rawatan lain yang dikaji untuk merawat anemia kekurangan zat besi.

4) Adalah tidak jelas sama ada mana-mana terapi boleh mengakibatkan perbezaan dalam kesan buruk (kecil ataupun serius) apabila dibandingkan dengan terapi lain.

Kesimpulan

Zat besi yang disalurkan melalui vena sebagai karboksimaltosa besi mungkin menambahbaikkan anemia dalam lebih banyak orang berbanding dengan besi sukrosa melalui vena. Namun, kedua-dua kumpulan ini bertambah baik pulih. Besi oral dalam bentuk ferrik maltol dapat menambah baik lebih banyak pesakit daripada rawatan dummy. Tiada kesimpulan yang dapat diambil untuk rawatan lain disebabkan kekurangan bukti dan masalah kualiti dengan kajian yang dijumpai. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan, terutamanya untuk menyiasat sama ada zat besi yang disalurkan melalui vena lebih baik daripada zat besi yang dimakan dan juga berapa rawatan anemia dalam golongan pesakit IBD membawa perbezaan dari segi gejala yang mungkin mereka alami.

Sejauh manakah ulasan ini telah dikemaskinikan?

Ulasan ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Joo Howe Ong). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save