Adakah pelekatan saluran perkumuhan pankreas ke bahagian kedua usus kecil lebih baik daripada kaedah pembinaan semula yang lain untuk mengurangkan kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen?

Mesej utama

- Pengulas tidak tahu sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa (pelekatan saluran perkumuhan pankreas ke bahagian kedua usus kecil) mengurangkan fistula pankreas selepas pembedahan (kebocoran jus dari pankreas ke tisu abdomen) berbanding pankreatikojejunostomi invaginasi (pemasukan pankreas ke dalam bahagian kedua usus kecil).

- Pengulas tidak tahu sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa yang diubah suai adalah mengatasi, setara atau lebih rendah daripada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa tradisional.

- Kajian pada masa depan harus menggunakan kaedah yang mencukupi untuk meningkatkan keyakinan pengulas terhadap bukti.

Apakah fistula pankreas selepas pembedahan?

Pankreas ialah kelenjar pencernaan yang terletak di bahagian atas abdomen dan penting untuk mengawal paras gula darah secara normal. Rawatan pembedahan standard untuk kanser atau radang pankreas ialah pembuangan sebahagian kepala pankreas bersama-sama dengan usus yang berdekatan melalui satu prosedur yang dikenali sebagai pankreatikoduodenektomi. Pankreatikoduodenektomi melibatkan penyambungan semula pankreas dan bahagian kedua usus kecil (suatu prosedur yang dikenali sebagai pankreatikojejunostomi) untuk membenarkan jus pankreas yang mengandungi enzim pencernaan memasuki sistem pencernaan. Fistula pankreas selepas pembedahan berlaku apabila penyambungan semula tidak sembuh dengan baik, menyebabkan kebocoran jus pankreas daripada pankreas ke tisu abdomen. Fistula pankreas selepas pembedahan merupakan satu komplikasi yang melambatkan pemulihan daripada pembedahan dan sering memerlukan rawatan lebih lanjut untuk memastikan penyembuhan yang lengkap.

Apakah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan fistula pankreas selepas pembedahan?

Kaedah menyambung semula pankreas dan bahagian kedua usus kecil untuk orang yang menjalani pankreatikoduodenektomi termasuk:

-pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa;

-pankreatikojejunostomi invaginasi;

-pankreatikojejunostomi ikatan (mengikat pankreas dan bahagian kedua usus kecil).

Pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa ialah kaedah yang biasa digunakan di seluruh dunia untuk mengurangkan fistula pankreas selepas pembedahan pancreatikoduodenektomi. Walau bagaimanapun, keselamatan dan keberkesanan pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa masih tidak pasti.

Apakah yang pengulas ingin ketahui?

Pengulas ingin mengetahui sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa adalah lebih baik daripada mana-mana jenis pankreatikojejunostomi lain untuk meningkatkan:

- kadar fistula pankreas selepas operasi (perkadaran peserta dengan fistula pankreas selepas pembedahan);

- kadar kematian.

Pengulas juga ingin mengetahui sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan:

- pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa dengan sebarang jenis pankreatikojejunostomi yang lain; atau

- pelbagai jenis pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa selepas pankreatikoduodenektomi.

Pengulas telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan mereka terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah pengulas temui?

Pengulas menemui 10 kajian melibatkan 1472 orang yang pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa dibandingkan dengan pankreatikojejunostomi invaginasi terhadap orang yang menjalani pankreatikoduodenektomi. Kajian terbesar menyertakan 308 orang, dan kajian terkecil menyertakan 64 orang. Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; kebanyakannya dilakukan di China (4). Kebanyakan kajian berlangsung selama lebih kurang 2 tahun; hanya tiga kajian yang berlangsung selama 4 tahun atau lebih. Geran bukan komersial membiayai empat daripada kajian tersebut. Pengulas tidak dapat mengetahui daripada hasil kajian ini sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa mengurangkan:

- kadar fistula pankreas selepas pembedahan; atau

- kadar kematian.

Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sebarang kesan sampingan.

Pengulas mendapati hanya satu kajian pusat tunggal yang melibatkan 224 orang yang pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa diubah suai dibandingkan dengan pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa tradisional pada orang yang menjalani pankreatikoduodenektomi. Kajian ini dijalankan di Jepun dan berlangsung selama lebih kurang 4 tahun. Kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan. Pengulas tidak dapat memberitahu daripada hasil kajian ini sama ada pankreatikojejunostomi duktus-ke-mukosa yang diubah suai mengurangkan:

- kadar fistula pankreas selepas pembedahan; atau

- kadar kematian.

Kajian itu tidak melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti tersebut?

Pengulas mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kebanyakan kajian yang disertakan mempunyai beberapa batasan dari segi cara ia dijalankan atau dilaporkan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information