Terapi sasaran untuk kanser paru-paru bukan sel kecil yang mempunyai mutasi gen limfoma kinase anaplastik (ALK)

Latar belakang

Jenis kanser paru-paru yang paling lazim ialah kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC). Kira-kira 5% daripada NSCLC didorong oleh mutasi gen yang dikenali sebagai limfoma kinase anaplastik (ALK). Rawatan sasaran bagi pesakit kanser NSCLC lanjutan (tidak boleh diubati) dengan mutasi ALK- telah dibangunkan dan didapati lebih berkesan daripada kemoterapi. Perencat ALK yang pertama dibangunkan ialah crizotinib. Ubat-ubatan baru yang menyasarkan ALK juga telah dihasilkan dan termasuk ceritinib, alectinib, brigatinib, ensartinib, dan lorlatinib. Dalam ulasan ini kami melihat pada rawatan-rawatan yang menyasarkan NSCLC yang mengandungi mutasi ALK untuk mengetahui keberkesanan rawatan tersebut.

Objektif

Objektif utama ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada pesakit NSCLC dengan mutasi ALK yang diberikan rawatan menyasarkan ALK hidup lebih lama tanpa pengulangan serta kurang mengalami kesan sampingan berbanding pesakit yang dirawat dengan kemoterapi. Kami juga merancang untuk menilai sama ada ubat-ubatan lebih baru yang menyasarkan ALK mencapai hal ini dengan lebih baik berbanding crizotinib.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan utama dan rekod persidangan sehingga 7 Januari 2021. Kami menemui 11 kajian (2874 peserta): enam kajian membandingkan ubat yang menyasarkan ALK dengan kemoterapi, dan lima kajian membandingkan satu ubat lebih baru yang menyasarkan ALKdengan crizotinib. Kajian-kajian tersebut telah dilakukan pada pesakit NSCLC lanjutan dengan mutasi ALK-, menggunakan ubat-ubatan ini sebagai rawatan pertama atau susulan. Sebanyak lima perencat ALK yang berbeza digunakan dalam kajian-kajian ini: alectinib, brigatinib, ceritinib, crizotinib, dan lorlatinib.

Keputusan

Pesakit yang dirawat dengan ubat yang menyasarkan ALK hidup lebih lama tanpa kanser mereka berkembang berbanding pesakit yang menjalani kemoterapi. Peningkatan ini juga dilihat pada penghidap kanser yang telah merebak ke otak. Pesakit yang menerima ubat-ubatan yang menyasarkan ALK secara keseluruhannya hidup lebih lama, walaupun sebahagiannya telah menjalani kemoterapi terlebih dahulu. Ubat-ubatan yang menyasarkan ALK menyebabkan sejumlah kesan sampingan yang sama dengan kemoterapi. Ubat-ubatan yang menyasarkan ALK menyebabkan lebih banyak tumor mengecil dan dengan sebab itu tempoh untuk gejala menjadi bertambah teruk adalah lebih panjang berbanding kemoterapi.

Pesakit yang dirawat dengan ubat-ubatan yang menyasarkan ALK yang lebih baru, hidup lebih lama tanpa kanser mereka berkembang berbanding pesakit yang menerima crizotinib, termasuk pesakit kanser yang melibatkan otak. Secara keseluruhannya, pesakit yang dirawat dengan ubat-ubatan yang menyasarkan ALK yang lebih baru sebagai rawatan pertama berkemungkinan besar untuk hidup lebih lama dengan bilangan keseluruhan kesan sampingan yang serupa. Ubat-ubatan yang menyasarkan ALK yang lebih baru menyebabkan lebih banyak tumor mengecil berbanding crizotinib.

Bukti bagi kebanyakan rawatan yang dilaporkan adalah berkepastian sederhana atau tinggi.

Kesimpulan

Rawatan pertama terbaik bagi pesakit kanser paru-paru bermutasi ALK yang tidak boleh diubati ialah perencat ALK yang lebih baru seperti alectinib, brigatinib,ceritinib, atau lorlatinib. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk menentukan pilihan mana yang terbaik dan rawatan apa yang harus diberikan apabila kanser berkembang selepas pemberian ubat-ubatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information