Xpert Ultra untuk mendiagnosis batuk kering dan rintangan rifampicin pada kanak-kanak

Mengapakah penambahbaikan diagnosis batuk kering adalah penting?

Setiap tahun, dianggarkan satu juta kanak-kanak dan remaja muda menghidap batuk kering, dan lebih kurang 226,000 orang mati akibat penyakit tersebut. Batuk kering disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan kebanyakannya menjejaskan paru-paru (batuk kering pulmonari), walaupun ia boleh menjejaskan kawasan lain di dalam badan (batuk kering ekstrapulmonari). Tanda-tanda dan gejala tuberkulosis pulmonari termasuk batuk, demam, berpeluh malam, dan penurunan berat badan. Tanda-tanda dan gejala batuk kering ekstrapulmonari bergantung pada kawasan penyakit. Apabila dikesan awal dan dirawat dengan berkesan, kebanyakan batuk kering dapat disembuhkan.

Tidak mengesan tuberkulosis (negatif palsu) awal mungkin mengakibatkan kelewatan diagnosis dan rawatan, penyakit teruk, dan kematian. Diagnosis batuk kering yang salah (positif palsu) boleh mengakibatkan kebimbangan, rawatan yang tidak perlu (yang boleh melibatkan kesan sampingan ubat), dan kemungkinan terlepas diagnosis alternatif yang memerlukan rawatan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menentukan ketepatan Xpert Ultra pada kanak-kanak dengan gejala batuk kering bagi mendiagnosis batuk kering pulmonari, batuk kering meningitis (menjejaskan membran yang mengelilingi otak dan saraf tunjang), batuk kering nodus limfa (bengkak yang menyakitkan pada satu atau lebih nodus limfa, yang merupakan struktur berbentuk kacang yang membantu melawan jangkitan), dan rintangan rifampicin.

Apakah yang dikaji oleh ulasan ini?

Xpert Ultra, ujian pantas yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengesan batuk kering dan rintangan rifampicin secara serentak pada orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami gejala batuk kering. Rifampicin adalah ubat penting yang digunakan untuk merawat batuk kering. Untuk diagnosis batuk kering, kami menilai keputusan berdasarkan dua penanda aras yang berbeza: kultur batuk kering (kaedah yang digunakan untuk membiak bakteria pada media yang kaya dengan nutrien) dan definisi komposit berdasarkan gejala, X-ray dada, mikroskop kahak (pemeriksaan di bawah mikroskop lendir dan bahan lain yang terbatuk dari paru-paru), dan kultur. Untuk pengesanan rintangan rifampicin, kami menilai keputusan terhadap ujian kerentanan dadah atau ujian probe talian (ujian berasaskan makmal pantas untuk mengesan bakteria batuk kering).

Apakah keputusan utama dalam ulasan ini?

Ulasan ini melibatkan 14 kajian. Bagi batuk kering pulmonari, kami menganalisis 335 set data (lebih kurang 26,000 peserta). Tiada kajian yang menilai ketepatan Xpert Ultra untuk batuk kering meningitis atau batuk kering nodus limfa. Tiga kajian menilai ketepatan Xpert Ultra untuk pengesanan rintangan rifampicin.

Bagi setiap populasi 1000 kanak-kanak:

• di mana 100 orang menghidap batuk kering pulmonari dalam kahak berdasarkan keputusan kultur:

- 101 orang adalah Xpert Ultra-positif, dan daripada jumlah ini, 26 orang (26%) tidak akan menghidap batuk kering pulmonari (positif palsu); dan
- 899 orang adalah Xpert Ultra-negatif, dan daripada jumlah ini, 25 orang (3%) akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

• di mana 100 orang menghidap batuk kering pulmonari dalam aspirasi gastrik (pengumpulan rembesan paru-paru dan mulut dari perut) berdasarkan keputusan kultur:

- 97 orang adalah Xpert Ultra-positif, dan daripada jumlah ini, 27 orang (28%) tidak akan menghidap batuk kering pulmonari (positif palsu); dan
- 903 orang adalah Xpert Ultra-negatif, dan daripada jumlah ini, 30 orang (3%) akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

• di mana 100 orang menghidap batuk kering pulmonari dalam najis berdasarkan keputusan kultur:

- 74 orang adalah Xpert Ultra-positif dan daripada jumlah ini, 18 orang (24%) tidak akan menghidap batuk kering pulmonari (positif palsu); dan
- 926 orang adalah Xpert Ultra-negatif, dan daripada jumlah ini, 44 orang (5%) akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

• di mana 100 orang menghidap batuk kering pulmonari dalam aspirasi nasofaring (rembesan dari bahagian paling atas tekak, di belakang hidung) berdasarkan keputusan kultur:

- 66 orang adalah Xpert Ultra-positif, dan daripada jumlah ini, 22 orang (33%) tidak akan menghidap batuk kering pulmonari (positif palsu); dan
- 934 orang adalah Xpert Ultra-negatif, dan daripada jumlah ini, 56 orang (6%) akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

Xpert Ultra mengesan rintangan rifampicin dengan tepat, tetapi terdapat sedikit kajian dan hanya tiga kanak-kanak dengan rintangan rifampicin yang terlibat.

Sejauh manakah kami yakin dengan keputusan ulasan ini?

Untuk batuk kering pulmonari, kami agak yakin kerana kami memasukkan kajian dari negara yang berbeza dan menggunakan dua penanda aras yang berbeza, walaupun kedua-duanya tidak sempurna. Walau bagaimanapun, asas bukti masih terhad dan terdapat sedikit kajian dengan sedikit bilangan kanak-kanak untuk satu daripada jenis spesimen (aspirat nasofaring).

Untuk rintangan rifampicin, kami mengenal pasti beberapa kajian dengan sangat sedikit kanak-kanak dengan rintangan rifampicin, jadi kami kurang yakin.

Bagi kanak-kanak manakah keputusan ulasan ini terpakai?

Kanak-kanak dan remaja muda (sejak lahir hingga 14 tahun) yang HIV-positif atau HIV-negatif, dengan tanda-tanda atau gejala batuk kering pulmonari. Keputusan ini juga terpakai kepada kanak-kanak yang mengalami radang paru-paru yang teruk atau kekurangan zat makanan dan gejala batuk kering. Dalam ulasan ini, kami tidak mengenal pasti mana-mana kajian yang menilai ketepatan Xpert Ultra untuk batuk kering meningitis atau batuk kering nodus limfa.

Apakah implikasi ulasan ini?

Keputusan menunjukkan bahawa Xpert Ultra dalam kahak, aspirasi gastrik, najis, dan aspirasi nasofaring adalah kaedah yang tepat untuk mengesan batuk kering pulmonari dan rintangan rifampicin pada kanak-kanak.

Menggunakan Xpert Ultra dalam kahak, aspirasi gastrik, najis, dan aspirasi nasofaring, risiko kehilangan diagnosis batuk kering pulmonari (disahkan oleh kultur) adalah rendah, menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil kanak-kanak yang tidak akan menerima rawatan. Risiko salah mendiagnosis kanak-kanak sebagai menghidap batuk kering pulmonari adalah sedikit tinggi. Ini mungkin mengakibatkan sebilangan kanak-kanak diberikan rawatan yang tidak perlu.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu dan menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 9 Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information