Apakah faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan ibu bapa mengenai vaksin rutin zaman kanak-kanak?

Matlamat ulasan

Bukti kualitatif sintesis Cochrane ini bertujuan untuk meneroka faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan ibu bapa mengenai vaksin rutin zaman kanak-kanak. Untuk hal ini, kami telah mencari dan menganalisis kajian kualitatif tentang pandangan, pengalaman dan amalan ibu bapa.

Sintesis ini melengkapkan Ulasan Cochrane lain yang menilai kesan strategi yang meningkatkan pengambilan vaksin zaman kanak-kanak.

Mesej utama

Banyak faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan vaksinasi ibu bapa, termasuk yang berkaitan dengan persepsi individu, hubungan sosial, dan konteks yang lebih luas di mana ibu bapa hidup. Apabila ibu bapa membuat keputusan berkenaan vaksin untuk anak-anak mereka, mereka sering berkomunikasi bukan sahaja apa yang mereka fikirkan tentang vaksin, tetapi juga siapakah mereka, apa yang mereka hargai, dan dengan siapa mereka kenal pasti.

Apakah yang dikaji dalam sintesis ini?

Vaksinasi zaman kanak-kanak adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan kematian dalam kanak-kanak. Namun, di seluruh dunia, ramai kanak-kanak yang tidak menerima semua vaksinasi yang disyorkan. Terdapat beberapa sebab yang berpotensi untuk ini. Vaksin mungkin tidak tersedia, atau ibu bapa mungkin mengalami kesusahan untuk mengakses perkhidmatan vaksinasi. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak dapat menerima vaksin dan perkhidmatan vaksin yang tersedia ada.

Pemahaman kami tentang perkara yang mempengaruhi pandangan dan amalan ibu bapa mengenai vaksinasi zaman kanak-kanak, dan sebab sesetengah ibu bapa mungkin tidak menerima vaksin untuk anak-anak mereka adalah masih terhad. Kajian kualitatif meneroka bagaimana masyarakat melihat dan mengalami dunia di sekeliling mereka, dan sebab itu sesuai untuk mengkaji isu-isu ini.

Apakah penemuan-penemuan utama ulasan ini?

Kami telah memasukkan 27 kajian dalam analisis kami. Kajian-kajian telah dijalankan di Afrika, Amerika, Asia Tenggara, Eropah dan Pasifik Barat, dan menyertakan tetapan bandar dan luar bandar, serta tetapan berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Banyak faktor kompleks didapati mempengaruhi pandangan dan amalan vaksinasi ibu bapa, di mana kami bahagikan kepada empat tema.

Pertama sekali, idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh idea dan amalan mereka yang lebih luas berkenaan kesihatan dan penyakit secara amnya, dan khususnya berkaitan dengan anak-anak mereka, dan persepsi mereka tentang peranan vaksinasi dalam konteks ini. Kedua, banyak idea dan amalan vaksinasi ibu bapa dipengaruhi oleh idea dan amalan vaksinasi orang yang mereka bercampur gaul secara sosial. Pada masa yang sama, idea dan amalan vaksinasi yang dikongsi bersama telah membantu sesetengah ibu bapa menjalinkan hubungan sosial, yang seterusnya memperkukuhkan pandangan dan amalan mereka mengenai vaksinasi. Ketiga, idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh isu dan kebimbangan politik yang lebih meluas, dan terutamanya kepercayaan (atau ketidakpercayaan) terhadap mereka yang terlibat dalam program vaksinasi. Akhir sekali, idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh akses dan pengalaman mereka terhadap perkhidmatan vaksinasi dan pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan mereka.

Kami telah membentuk dua konsep untuk memahami laluan yang berkemungkinan untuk mengurangkan penerimaan vaksin zaman kanak-kanak.

Konsep yang pertama, ‘logik neoliberal’, mencadangkan bahawa ramai ibu bapa, terutamanya dari negara berpendapatan tinggi, memahami keputusan kesihatan dan penjagaan kesihatan sebagai persoalan risiko, pilihan, dan tanggungjawab individu. Sesetengah ibu bapa mengalami pemahaman ini sebagai bercanggah dengan program vaksinasi, yang menekankan risiko umum dan kesihatan penduduk. Konflik yang dirasakan ini menyebabkan sesetengah ibu bapa kurang menerima vaksinasi untuk anak-anak mereka.

Konsep yang kedua, ‘pengecualian sosial’, mencadangkan bahawa sesetengah ibu bapa, terutamanya dari negara berpendapatan rendah dan sederhana, kurang menerima vaksinasi zaman kanak-kanak disebabkan pengalaman mereka tentang pengecualian sosial. Pengecualian sosial mungkin merosakkan hubungan yang boleh dipercayai antara kerajaan dan orang ramai, menjana perasaan terasing dan dendam, dan menimbulkan penurunan semangat dalam menghadapi perkhidmatan awam yang berkualiti rendah dan sukar diakses. Faktor-faktor ini seterusnya menyebabkan sesetengah ibu bapa yang dikecualikan secara sosial untuk tidak mempercayai vaksinasi, untuk menolak vaksinasi sebagai satu bentuk rintangan atau cara untuk membawa perubahan, atau untuk mengelakkan vaksinasi disebabkan masa, kos dan kesusahan yang ditimbulkannya.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sebelum 3 Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Dterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information