Probiotik (‘bakteria sihat’) untuk mencegah jangkitan akut telinga tengah dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Adakah mengambil probiotik ('bakteria sihat') mencegah kanak-kanak daripada mendapat jangkitan akut telinga tengah?

Latar belakang

Jangkitan akut telinga tengah adalah sangat biasa dalam kalangan kanak-kanak. Jangkitan ini adalah disebabkan oleh bakteria yang bergerak dari bahagian atas tekak, melalui liang (dipanggil tiub Eustachian), ke telinga tengah. Simptom jangkitan ini termasuk demam, sakit telinga, dan kadangkala penebukan pada gegendang telinga yang melepaskan nanah ke dalam liang telinga.

Antibiotik biasanya diberikan untuk jangkitan akut telinga tengah, walaupun ia hanya mempunyai kesan yang sederhana untuk mengurangkan gejala-gejala. Lebih-lebih lagi, penggunaan antibiotik yang berlebihan boleh membawa kepada rintangan antibiotik, menjadikan ia kurang berkesan untuk jangkitan ini dan jangkitan-jangkitan lain. Oleh itu, pencegahan jangkitan akut telinga tengah adalah amat wajar.

Probiotik lazimnya dijual sebagai tablet atau serbuk, sebagai bahan makanan (contohnya dalam yogurt), dan juga disembur terus ke dalam kerongkong. Walau bagaimanapun, sama ada probiotik dapat mencegah jangkitan akut telinga tengah masih belum jelas. Kami telah menganalisis bukti saintifik untuk menjawab soalan ini.

Ciri-ciri dan carian kajian

Kami telah mencari dan mengenal pasti 17 ujian terkawal rawak (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan-kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang diterbitkan sebelum Oktober 2018. Semua kajian telah dijalankan di Eropah, dan secara kolektifnya melibatkan 3488 orang kanak-kanak. Dua belas ujian melibatkan kanak-kanak yang tidak cenderung untuk mendapat jangkitan akut telinga tengah, manakala lima ujian melibatkan kanak-kanak yang cenderung untuk mendapat jangkitan tersebut.

Keputusan utama

Jumlah kanak-kanak yang tidak cenderung mendapat jangkitan akut telinga tengah yang mengambil probiotik adalah satu pertiga lebih sedikit berbanding kanak-kanak yang tidak mengambil probiotik. Walau bagaimanapun, probiotik mungkin tidak memberi manfaat kepada kanak-kanak yang cenderung mendapat jangkitan akut telinga tengah. Mengambil probiotik tidak memberi kesan kepada bilangan hari sekolah yang terlepas oleh kanak-kanak tersebut. Tiada kajian yang melaporkan kesan probiotik terhadap keterukan jangkitan akut telinga tengah. Tidak ada perbezaan antara kumpulan yang mengambil probiotik dan kumpulan yang tidak mengambil probiotik dari segi bilangan kanak-kanak yang mengalami kesan buruk (kemudaratan).

Kualiti bukti

Kualiti (atau kepastian) bukti secara umumnya adalah sederhana (ini bermakna penyelidikan lanjutan mungkin boleh mengubah anggaran kami) atau tinggi (penyelidikan lanjutan tidak mungkin mengubah anggaran kami). Walau bagaimanapun, ujian-ujian tersebut berbeza dari segi jenis probiotik yang dinilai, kekerapan dan jangka masa probiotik yang diambil, dan cara keputusan ujian dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my

Tools
Information