Radioterapi/kemoterapi dengan dos rendah berbanding dengan rawatan dos standard selepas pembedahan ‘keyhole’ untuk kanser tekak yang disebabkan oleh papillomavirus manusia

Soalan ulasan

Apakah kesan rawatan radioterapi/kemoterapi dengan dos rendah berbanding rawatan dos standard selepas pembedahan ‘keyhole’ untuk kanser tekak yang disebabkan oleh papillomavirus manusia (human papillomavirus, HPV)?

Latar belakang

Lebih daripada 400,000 kes kanser tekak dikesan setiap tahun dan ini semakin meningkat, dengan HPV sebagai faktor penting. Kanser tekak yang disebabkan oleh virus ini selalunya menyerang pesakit yang lebih muda tetapi mempunyai prognosis yang lebih baik daripada kanser tekak bukan virus. Rawatan tradisional untuk kanser tekak adalah dengan radioterapi dan kemoterapi kerana ini terbukti mempunyai hasil kelangsungan hidup yang serupa dengan pembedahan tetapi dengan kesan-kesan sampingan yang lebih sedikit. Walau bagaimanapun, rawatan telah berkembang, seperti perancangan berkomputer dan penambahbaikan radioterapi, dan perkembangan pembedahan ‘keyhole’, yang mempunyai potensi untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan. Kemoterapi dan radioterapi mempunyai kesan negatif pada jangka panjang terhadap kualiti hidup. Dengan terlibatnya pesakit yang lebih muda, sebarang cara untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan ini perlu disiasat.

Ciri-ciri kajian

Pada April 2018, kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan rawatan radioterapi/kemoterapi dos rendah dengan rawatan dos standard. Kami berminat kepada hasil keseluruhan kemandirian dan bebas dari penyakit, serta kesan ke atas keupayaan menelan dan bersuara. Carian kami tidak dapat mengenal pasti sebarang RCT yang lengkap, namun tiga kajian yang berkaitan sedang dijalankan dan keputusan pertama dijangka dilaporkan antara 2021 dan 2023.

Keputusan utama

Pada masa ini, tiada bukti berkualiti tinggi yang membandingkan kedua-dua rawatan ini, namun kajian-kajian tersebut sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau) dan disunting oleh Chan Mei Wai. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information