Apakah pecahan kanak-kanak berumur prasekolah yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme kekal dengan diagnosis mereka satu atau lebih tahun kemudian?

Mesej utama

- Sembilan daripada 10 kanak-kanak umur prasekolah yang didiagnosis dengan autisme dalam persekitaran penyelidikan mungkin terus memenuhi kriteria diagnostik satu atau lebih tahun kemudian.

- Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, penemuan ini mungkin tidak dapat digeneralisasikan kepada kanak-kanak di luar persekitaran penyelidikan, dan kami tidak dapat mengenal pasti mana-mana kanak-kanak atau faktor kajian penyelidikan yang mempengaruhi jika kanak-kanak kekal dengan diagnosis mereka.

- Penyelidikan masa depan harus tertumpu pada mereka bentuk kajian yang teguh meneroka sama ada kanak-kanak kekal dengan diagnosis autisme dari semasa ke semasa dalam amalan klinikal dan apakah faktor lain, jika ada, boleh mengubah kemungkinan kanak-kanak kekal dengan diagnosis mereka.

Apakah itu autisme?

Autisme (gangguan spektrum autisme) adalah keadaan perkembangan saraf biasa yang umumnya dianggap berlaku seumur hidup. Ia dicirikan oleh kesukaran dalam komunikasi sosial, dan minat terhad dan tingkah laku yang berulang. Sejauh mana cabaran yang dihadapi oleh bidang ini untuk setiap individu adalah sangat berbeza.

Bagaimanakah autisme didiagnosis?

Autisme didiagnosis dengan menilai sama ada individu memenuhi satu set kriteria diagnostik piawai.

Kepada kanak-kanak, penilaian diagnostik autisme mungkin melibatkan pakar pediatrik, psikiatri kanak-kanak, ahli patologi pertuturan, ahli terapi pekerjaan dan psikologi. Seorang atau lebih daripada profesional kesihatan ini mungkin memerhati dan bertanya soalan tentang kemahiran sosial dan komunikasi kanak-kanak, sebarang kesukaran dalam minat terhad dan tingkah laku yang berulang, dan cara mereka memproses dan bertindak balas terhadap maklumat deria dari dunia sekeliling mereka. Terdapat alat penilaian diagnostik yang boleh digunakan oleh profesional ini, secara bersendirian atau secara gabungan, untuk membantu membuat diagnosis.

Apakah kestabilan diagnostik, dan mengapa ia penting?

Kestabilan diagnostik merujuk kepada sama ada individu mengekalkan diagnosis mereka dari semasa ke semasa. Kestabilan diagnostik autisme adalah penting untuk membantu profesional kesihatan, individu autistik dan keluarga mereka memahami kemungkinan diagnosis gangguan spektrum autisme untuk sepanjang hayat. Selain itu, ia membantu kumpulan kerajaan dan komuniti untuk merancang sumber kesihatan, pendidikan dan pekerjaan yang diperlukan untuk menyokong kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Kestabilan diagnostik juga membantu kita memahami sama ada ciri-ciri kanak-kanak autistik dan cara gangguan spektrum autisme didiagnosis pada masa ini mempengaruhi sama ada kanak-kanak itu terus memenuhi kriteria untuk diagnosis autisme dari semasa ke semasa.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kanak-kanak prasekolah yang diberi diagnosis gangguan spektrum autisme sebelum umur enam tahun kekal dengan diagnosis mereka pada penilaian diagnostik ulangan satu atau lebih tahun kemudian.

Kami juga ingin mengetahui lebih lanjut tentang sama ada sebarang faktor yang berkaitan dengan individu kanak-kanak, cara kanak-kanak itu didiagnosis dengan autisme atau kaedah penyelidikan yang digunakan dalam kajian, menjadikannya lebih kurang berkemungkinan untuk kanak-kanak itu terus memenuhi kriteria diagnostik untuk gangguan spektrum autisme dari semasa ke semasa. Faktor-faktor yang berkaitan dengan individu kanak-kanak termasuk umur kanak-kanak pada penilaian diagnostik awal dan susulan, skor kecerdasan (IQ) mereka, keupayaan mereka untuk menyelesaikan tugas hidup harian untuk kanak-kanak seusia mereka (skor tingkah laku penyesuaian), dan kebolehan berkomunikasi dengan orang sekeliling (skor bahasa). Faktor yang berkaitan dengan cara kanak-kanak didiagnosis termasuk jenis alat atau kriteria yang digunakan untuk membuat diagnosis, tempoh masa antara penilaian diagnostik dan sama ada diagnosis dibuat oleh pasukan pelbagai disiplin. Faktor-faktor yang berkaitan dengan kaedah penyelidikan termasuk tahun kajian diterbitkan dan keteguhan bukti.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian melihat kanak-kanak berumur prasekolah yang didiagnosis dengan autisme. Kami kemudiannya merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Secara keseluruhan, 49 kajian memenuhi kriteria kemasukan kami dan 42 daripada ini (11,740 kanak-kanak) mempunyai data yang boleh digunakan. Kajian paling besar melibatkan 8564 pesakit dan kajian paling kecil melibatkan 11 pesakit. Kajian ini adalah dari 13 negara, dengan 16 dari Amerika Syarikat. Umur purata kanak-kanak adalah tiga tahun pada diagnosis pertama mereka dan enam tahun pada susulan. Purata tempoh susulan ialah 2.86 tahun.

Kami mendapati bahawa, dalam suasana penyelidikan, sembilan daripada 10 kanak-kanak prasekolah yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme mungkin kekal dengan diagnosis mereka satu atau lebih tahun kemudian.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana tidak semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati, dan kajian dilakukan dengan pelbagai jenis orang dan penilaian diagnostik.

Bagi satu daripada 10 kanak-kanak yang tidak lagi memenuhi kriteria diagnostik untuk diagnosis autisme semasa susulan, kami tidak dapat memberitahu sama ada mereka telah ‘keluar' daripada autisme kerana mereka menjadi lebih matang dari semasa ke semasa, atau kerana mereka telah menerima intervensi, atau sama ada diagnosis asal tidak tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information