Sejauh manakah ketepatan ultrasound di sisi katil untuk mendiagnosis kecederaan kepada abdomen atau dada pesakit dengan kecederaan tumpul?

Latar belakang dan matlamat

Mereka yang mengalami kemalangan jalan raya atau jatuh dari tempat yang tinggi mempunyai risiko untuk mendapat trauma yang tumpul kepada badan (iaitu trauma yang tidak menembusi) dan pelbagai kecederaan. Golongan profesional perubatan yang menjaga pesakit ini di hospital perlu mengetahui sama ada organ penting atau saluran darah rosak, dan sama ada terdapat sebarang pendarahan utama yang memerlukan intervensi segera. “Point-of-Care” Sonografi (POCS) merupakan satu bentuk ultrasound, yang tidak invasif, bebas radiasi, pengimejan mudah alih yang boleh digunakan di sisi katil pesakit. Ia sering digunakan untuk diagnosis kecederaan di jabatan kecemasan. Kami mengulas bukti saintifik yang terbaik tentang ketepatan POCS, iaitu keupayaannya untuk mengenal pasti atau mengecualikan kecederaan dengan betul, berbanding dengan ujian diagnostik yang lain. Kami memilih CT scan, laparotomy, dan bedah siasat sebagai ujian perbandingan yang baik untuk membandingkan ketepatan POCS.

Ciri-ciri kajian

Kami meneliti kajian-kajian dari tahun di mana kajian pertama tentang penggunaan ultrasound untuk mendiagnosis pesakit trauma telah diterbitkan sehingga 15 Julai 2017. Kami telah meneliti 2296 rekod dan telah memasukkan 34 kajian yang bersesuaian yang melibatkan 8635 peserta. Kesemua 34 kajian telah diterbitkan antara tahun 1992 sehingga 2017, dengan bilangan peserta dalam setiap kajian terdiri daripada 51 ke 3181 orang peserta. Sepuluh kajian melibatkan hanya kanak-kanak, dua kajian melibatkan hanya orang dewasa, dan selebihnya terdapat 22 kajian yang melibatkan kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kualiti bukti

Dalam kebanyakan kajian ini, maklumat penting mengenai pemilihan peserta dan pilihan ujian diagnostik yang digunakan untuk membandingkan POCS tidak dilaporkan. Sehubungan dengan itu, kami menilai kualiti metodologi kebanyakan bukti yang sedia ada sebagai tidak jelas.

Keputusan-keputusan Utama

“Point-of-Care” sonografi mempunyai kadar kepekaan (iaitu keupayaan untuk mengesan seseorang yang mempunyai penyakit) sebanyak 74% dan kekhususan (iaitu keupayaan untuk mengecualikan seseorang yang tidak mempunyai penyakit) sebanyak 96%. Kepekaan dan kekhususan dalam kajian-kajian ini adalah pelbagai, yang disebabkan oleh variasi dalam kajian, peserta, dan ciri-ciri kecederaan. Dalam kanak-kanak, kedua-dua sensitiviti dan kekhususan POCS adalah lebih rendah berbanding dalam kalangan dewasa atau populasi bercampur, bermakna POCS kurang mampu untuk mengenal pasti atau mengecualikan kecederaan. Berdasarkan keputusan kami, kami menganggarkan bahawa dalam kalangan 1000 pesakit dengan pelbagai umur yang disyaki mempunyai trauma di perut atau dada, POCS tidak mampu untuk mengesan 73 pesakit yang mempunyai kecederaan dan akan membuat kesilapan dalam mengesan 29 pesakit yang sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kecederaan. Keputusan kajian ini menekankan keperluan untuk pengimejan tambahan dalam kalangan pesakit trauma yang mana POCS tidak menunjukkan sebarang kecederaan (iaitu keputusan yang negatif), untuk memeriksa sama ada mereka benar-benar bebas daripada sebarang kecederaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Farhah Aqilah Anuar (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information