Intervensi penyekat TNF-α berbanding plasebo atau rawatan tambahan untuk kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki

Latar belakang

Penyakit Kawasaki (KD) adalah keradangan akut saluran darah yang terutamanya mempengaruhi kanak-kanak di antara enam bulan dan lima tahun. Pengurusan perubatan standard KD termasuklah imunoglobulin intravena (IVIG) dengan aspirin. Rawatan standard adalah efektif tetapi tidak berkesan untuk hampir 15% hingga 20% kanak-kanak. Apabila rawatan tidak efektif, kanak-kanak mungkin mengalami penyakit jantung yang serius. Kebelakangan ini, para penyelidik mendapati penyekat faktor nekrosis tumor-alfa (TNF-α) mungkin efektif untuk kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki yang tidak disembuhkan oleh rawatan standard. Walau bagaimanapun, kami masih tidak jelas tentang manfaat dan risiko penyekat TNF-α untuk rawatan KD, dan potensi untuk memperbaiki efikasi dan keselamatan adalah tidak jelas. Oleh itu, ulasan ini menilai manfaat dan mudarat penyekat TNF-α untuk rawatan KD.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan kajian-kajian yang menggunakan penyekat TNF-α untuk rawatan kanak-kanak dengan KD dan mengukur rintangan kepada rawatan, kejadian kardiovaskular, dan kesan-kesan sampingan seperti reaksi infusi dan jangkitan, ataupun simptom-simptom lain. Kami menemui lima kajian lengkap dengan sejumlah 494 peserta (carian terkini bagi kajian-kajian adalah September 2018). Empat kajian menggunakan penyekat TNF-α sebagai rawatan tambahan selepas rawatan IVIG dan satu kajian menggunakan penyekat TNF-α sebagai rawatan utama bagi kanak-kanak dengan KD.

Keputusan-keputusan utama

Analisis menunjukkan penyekat TNF-α mungkin mengurangkan rintangan rawatan sebanyak 14% hingga 62% (bukti kepastian rendah) dan reaksi infusi sebanyak 55% hingga 99% (bukti kepastian rendah). Adalah tidak jelas sama ada penyekat TNF-α efektif dalam mengurangkan penyakit jantung yang serius seperti keabnormalan arteri koronari. Tiada perbezaan jelas bagi insiden jangkitan di antara kanak-kanak yang telah menerima dan tidak menerima penyekat TNF-α.

Kepastian bukti

Adalah penting untuk mengerti kepastian bukti adalah rendah kerana kajiian-kajian melibatkan bilangan peserta yang kecil. Oleh itu, satu kajian klinikal berskala besar diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi msmoh50@mikotosyameer.com

Tools
Information
Share/Save