Adakah intervensi psikologi dan sosial mencegah gangguan kesihatan mental di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas oleh krisis kemanusiaan?

Kesihatan mental semasa krisis kemanusiaan

Krisis kemanusiaan adalah peristiwa, atau rangkaian peristiwa, yang mengancam kesihatan, keselamatan atau kesejahteraan komuniti atau kumpulan orang yang besar, biasanya meliputi kawasan yang luas. Contohnya termasuk: perang, kebuluran, dan bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan banjir.

Orang yang hidup dalam krisis kemanusiaan boleh mengalami tekanan fizikal dan mental yang menjadikan mereka terdedah kepada mendapat gangguan kesihatan mental. Ini termasuk gangguan tekanan pasca-trauma, kemurungan dan kegelisahan.

Apakah intervensi psikologi dan sosial?

Intervensi psikologi bersifat pencegahan biasanya menawarkan sokongan dan bantuan praktikal untuk membina cara-cara bertahan, harapan, dan menumpu kepada pembinaan daya tahan. Intervensi sosial bersifat pencegahan biasanya bertujuan menguatkan sistem sokongan sosial dan membantu orang berasa lebih berhubung.

Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui jika intervensi psikologi dan sosial (intervensi psikososial) dapat membantu menghentikan gangguan kesihatan mental bagi mereka yang hidup dalam krisis kemanusiaan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kami berminat dengan:

1) berapa banyak orang mengalami gangguan kesihatan mental selepas mengambil bahagian dalam suatu intervensi; dan

2) berapa banyak orang yang keluar dari suatu program atau mempunyai kesan-kesan tidak diingini berkaitan dengan intervensi.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada kesan-kesan pencegahan intervensi psikososial terhadap kesihatan mental di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas oleh krisis kemanusiaan. Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana intervensi ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan-kesan suatu intervensi.

Tarikh carian

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Februari 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui tujuh kajian pencegahan dengan sejumlah 2398 peserta. Lima kajian dilakukan pada kanak-kanak dan remaja (berumur 7 hingga 18 tahun), dan dua dilakukan pada orang dewasa (berumur lebih dari 18 tahun). Dua kajian dilakukan di Nepal, dan satu kajian masing-masing di Republik Demokratik Kongo, Haiti, Syria, Uganda dan Sri Lanka. Enam intervensi psikososial yang berbeza dikaji. Kajian-kajian itu mengukur simptom kemurungan, kegelisahan dan gangguan tekanan pasca-trauma dalam kanak-kanak dan remaja, dan simptom kegelisahan dan kemurungan dalam orang dewasa, pada permulaan kajian, akhir intervensi, selepas empat minggu dan sehingga empat bulan kemudian. Mereka membandingkan keputusan-keputusan itu dengan simptom yang diukur dalam mereka yang berada dalam senarai menunggu untuk mengambil bahagian dalam intervensi.

Apakah keputusan ulasan kami?

Tiada kajian mengukur berapa banyak orang mengalami gangguan mental selepas mengambil bahagian dalam intervensi psikososial, dan tiada yang mengukur kesan-kesan tidak diingini intervensi. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kanak-kanak dan remaja keluar dari suatu intervensi ketika mengambil bahagian, berbanding mereka yang berada dalam senarai menunggu (5 kajian). Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan dalam jumlah orang dewasa yang keluar dari kajian (2 kajian). Dalam kanak-kanak dan remaja, terdapat perbezaan yang sangat kecil dalam simptom gangguan tekanan pasca-trauma, kemurungan dan kegelisahan pada akhir intervensi, berbanding mereka yang berada dalam senarai menunggu, menunjukkan tiada bukti adanya perbezaan. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin bahawa keputusan-keputusan ini boleh dipercayai: keputusan tersebut berkemungkinan berubah apabila bukti lebih lanjut tersedia. Dalam orang dewasa, keputusan daripada satu kajian pencegahan menunjukkan bahawa kaunseling psikologi mungkin mengurangkan simptom kemurungan dan kegelisahan; tetapi keputusan ini hanya daripada satu kajian dan kami tidak yakin keputusan itu boleh dipercayai. Keputusan ini mungkin akan berubah apabila lebih banyak bukti tersedia.

Kesimpulan

Kami tidak menemui sebarang bukti sama ada intervensi psikososial dapat menghentikan gangguan kesihatan mental dalam orang yang hidup dalam krisis kemanusiaan di negara-negara berpendapatan rendah ke sederhana. Kami tidak menemui bukti yang boleh dipercayai yang mencukupi mengenai manfaat intervensi-intervensi ini dalam mengurangkan simptom kesihatan mental. Kajian-kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk memberikan bukti yang lebih dipercayai mengenai kesan-kesan jangka pendek dan panjang intervensi psikososial untuk mencegah gangguan mental dalam orang yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas oleh krisis kemanusiaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information