Rangsangan magnetik periferal berulang untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti harian dalam kalangan pesakit strok

Soalan ulasan

Adakah rangsangan magnetik periferal berulang (rPMS) berkesan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti harian dalam kalangan pesakit strok?

Latar belakang

Strok, punca yang paling biasa menyebabkan hilang-upaya, berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian daripada otak terganggu atau terkurang. Terdapat dua jenis strok yang diketahui: iskemik (disebabkan oleh kekurangan aliran darah) dan hemoragik (disebabkan oleh pendarahan). Kelumpuhan lengan atau kaki selepas strok menyebabkan kesusahan untuk menjalankan aktiviti dan fungsi harian, termasuklah makan, mandi, menyalin pakaian dan berjalan. Orang yang mengalami strok selalunya memerlukan pemulihan fizikal, iaitu latihan anggota-anggota atas dan bawah, senaman yang tertumpu kepada aktiviti seharian, dan pemasangan alat bantuan berjalan yang sesuai (contohnya tongkat). Walau bagaimanapun, rawatan yang berkesan pada masa ini terhad. Rangsangan magnet periferal berulang (rPMS) ialah rawatan bukan invasif (rawatan yang tidak melibatkan memasukkan instrumen ke dalam badan) yang boleh meningkatkan pergerakan pada orang yang mengalami kelemahan otot akibat kerosakan otak atau saraf dengan merangsang cabang hujung saraf motor untuk menyebabkan pengecutan otot. rPMS boleh menembusi lapisan dalam otot dan hampir tidak menyakitkan dengan hampir tiada kesan sampingan.

Tarikh carian

Carian terkini adalah sehingga 5 Oktober 2021.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah pengemaskinian untuk ulasan yang telah diterbitkan pada tahun 2019. Kami meneliti bukti daripada empat kajian terkawal rawak (kajian di mana peserta secara rawak diberikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang rPMS melibatkan sejumlah 139 peserta. Dua kajian telah membandingkan rPMS terhadap rangsangan 'palsu' (rangsangan yang sangat lemah atau bunyi sahaja). Dua kajian telah membandingkan rPMS bersama pemulihan dengan palsu bersama pemulihan.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak mendapat bukti yang banyak untuk penggunaan rPMS bagi meningkatkan aktiviti kehidupan harian, kekuatan otot, fungsi anggota atas, dan spastisiti (ketegangan luar biasa otot) pada pesakit strok. Keputusan semasa tidak berubah daripada ulasan yang diterbitkan pada 2019. Walaupun satu kajian melaporkan bahawa rPMS mengurangkan spastisiti anggota atas, kesannya adalah kecil dan masih tidak jelas.

Kualiti bukti

Kami berpendapat kualiti bukti untuk peningkatan aktiviti kehidupan harian adalah rendah, disebabkan satu kajian mempunyai saiz sampel yang kecil.

Rumusan pengarang

Ia masih tidak jelas sama ada rPMS adalah berguna dalam meningkatkan aktiviti kehidupan harian dan keupayaan berfungsi pada pesakit strok. Lebih banyak kaian yang melibatkan bilangan peserta yang lebih besar adalah diperlukan untuk menentukan kesan rPMS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information