Keberkesanan jadual setera dos penuh vaksin poliovirus yang tidak aktif yang disuntik ke dalam otot berbanding dengan dos yang lebih kecil yang disuntik ke dalam kulit

Latar belakang

Polio adalah penyakit yangmencacatkan dan hanya boleh dicegah melalui vaksinasi. Terdapat dua jenis vaksin polio: vaksin poliovirus hidup yang diberikan secara oral (melalui mulut - dikenali sebagai OPV) dan vaksin poliovirus yang dinyahaktifkan (dibunuh) (IPV). OPV adalah tulang belakang pembasmian polio tetapi membawa risiko menyebabkan polio yang berkaitan dengan vaksin. Ini jarang berlaku untuk dengan IPV, yang juga mempunyai kurang kesan sampingan dan boleh diberikan kepada orang yang mempunyai imuniti yang rendah, menjadikannya penting untuk penghapusan poliovirus. Vaksin yang tidak teraktif boleh diberikan melalui suntikan sama ada ke dalam otot (intramuskular) atau ke kulit (intradermal).

Soalan ulasan

Seberapa berkesan dos kecil IPV yang disuntik ke dalam kulit berbanding dengan dos penuh IPV yang disuntik ke dalam otot yang diberikan dengan jadual yang sama?

Ciri-ciri kajian

Pencarian pangkalan data, terkini hingga Februari 2019, mendapati 13 kajian terkawal rawak (sejenis eksperimen di mana peserta dimasukkan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rambang). Tiga kajian terdiri daripada 890 peserta dewasa; 10 lagi kajian terdiri daripada 6402 bayi dan kanak-kanak.

Sembilan kajian telah dijalankan di negara berpendapatan sederhana; tiga kajian di negara berpendapatan tinggi; dan satu kajian di negara berpendapatan rendah. Kajian-kajian ini dijalankan untuk tempoh 2 hingga 19 bulan. Tiga kajian telah dibiayai syarikat-syarikat farmaseutikal, dan tiga kajian telah menerima vaksin daripada syarikat farmaseutikal. Terdapat keyakinan terhad secara keseluruhan dalam kualiti kajian yang disertakan. Contohnya, dalam kebanyakan kajian, penerima atau penilai (atau kedua-duanya) mengetahui jenis vaksin yang diberikan.

Keputusan-keputusan Utama

Sebanyak 13 kajian yang melibatkan 7292 orang peserta termasuk dalam ulasan ini (6402 kanak-kanak dan 890 dewasa). Di mana yang boleh, kami menggabungkan hasil kajian yang serupa dalam suatu meta-analisis (iaitu suatu kaedah statistik untuk menggabungkan keputusan beberapa kajian tunggal untuk mengira kesan keseluruhan).

Terdapat tiga jenis poliovirus liar: jenis 1, 2, dan 3. Kami mendapati bahawa bilangan tindak balas antibodi terhadap vaksin (diukur menggunakan sesuatu yang dipanggil kadar serokonversi) pada kanak-kanak adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang menerima vaksin suntikan intramuskular berbanding dengan kumpulan yang mempunyai bilangan suntikan yang sama diberikan secara intradermal, selepas satu dos (6 kajian, 2571 kanak-kanak) dan dua dos (3 kajian, 981 kanak-kanak) untuk ketiga-tiga jenis poliovirus, dan selepas tiga dos untuk poliovirus jenis 2 (3 kajian, 973 kanak-kanak).

Vaksin menghasilkan antibodi terhadap ketiga-tiga jenis poliovirus. Kuantiti antibodi yang dihasilkan oleh vaksin (diukur sebagai titer median geometri) adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang menerima dos penuh IPV melalui laluan intramuskular untuk ketiga-tiga jenis poliovirus (7 kajian, 4887 kanak-kanak).

Lima kajian (2217 kanak-kanak) melaporkan lebih banyak peristiwa sampingan, seperti demam dan kemerahan, dalam kumpulan intradermal, manakala dua kajian (1904 kanak-kanak) melaporkan lebih banyak peristiwa sampingan dalam kumpulan intramuskular.

Tiada kajian yang melaporkan data mengenai kejadian poliomielitis lumpuh.

Kepastian bukti

Berdasarkan bukti kajian, dos penuh intramuskular IPV mungkin menyebabkan peningkatan sedikit kadar serokonversi untuk ketiga-tiga jenis poliovirus liar apabila dibandingkan dengan IPV dos pecahan intradermal. Kami tidak pasti jika dos pecahan IPV yang diberikan secara intradermal adalah lebih baik daripada dos penuh IPV yang diberikan secara intramuskular dalam penghasilan antibodi untuk ketiga-tiga jenis poliovirus atau mengurangkan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information